Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelCara-Cara Mengamalkan Gaya Hidup Yang Sihat

Cara-Cara Mengamalkan Gaya Hidup Yang Sihat

Dalam era pasca globalisasi kini, populasi masyarakat yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat kian meningkat peratusnya. Masyarakat kian alpa dengan betapa berertinya kehidupan gaya sihat pada arus zaman kemodenan ini.

Adakah mereka langsung tidak terpikir akan kesihatan tubuh badan yang dipinjamkan oleh Tuhan dengan membiarkan diri dilanda penyakit yang pelbagai risiko itu? Jika dilihat secara rawaknya, kanak-Kanak kian berisiko untuk mendapatkan masalah kesihatan dalam usia setahun jagung ini.

Tidakkah kita sebagai masyarakat kasihan akan kanak-kanak sebegini rupa, diuji oleh Tuhan untuk menderita sejak kecil lagi ? Jika kita berfikir sejenak, semua hal adalah takdir Illahi namun dengan meluaskan horizon minda kita ini bukankah ibu bapa, masyarakat dan semua pihak bertanggungjawab ke atas segala permasalahan ini. Dari usia kecil-kecil cili padi sudah diterapkan dengan amalan gaya-gaya hidup tidak sihat.

Oleh itu, sebelum mata menjadi rabun, sebelum kulit menjadi kendur, sebelum nyawa menjadi lebur eloklah kita melebarkan skop perbincangan mengenai cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.

Mari kita kupaskan satu per satu tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan mengambil makanan seimbang. Sejak dari kecil lagi, kita didedahkan kepada kelas-kelas makanan dalam piramid makanan. Namun, adakah kita mengambil endah akan semua ini?

Jika dilihat melalui susunan mengikut makanan yang diperlukan mengikut tertib menurun semestinya yang pertama ialah karbohidrat contohnya nasi, bijiran dan lain-lain lagi.

Seterusnya, vitamin dan fiber kemudian protein dan akhir sekali adalah lemak dan kolestrol. Bagi makanan yang memberikan tenaga dan untuk pertumbuhan sel, haruslah diambil dalam kuantiti yang banyak namun harus dihadkan contohnya karbohidrat, protein dan vitamin.

Bagi lemak dan kolesterol, hendaklah dimakan sekurang-kurangnya yang mungkin. Minumlah 8 gelas air sehari bagi mengelakkan tubuh mengalami penghidratan. Jika piramid makanan ini tidak diamalkan, penyakit tiga serangkai kemungkinan akan menyerang.

Selain itu, serangan jantung, arteriosklerosis, kolestrol yang tinggi dan lain-lain juga bakal mengundang. Tuntasnya pengambilan makanan seimbang adalah bersesuaian dengan gaya hidup sihat yang seimbang.

Seterusnya, mari kita meluaskan fokus lensa mengenai pengamalan gaya hidup sihat melalui rekreasi. Pada arus kemodenan yang canggih ini, pelbagai aktiviti yang mencabar dan lasak telah diperkenalkan.

Sukan ini telah menjadi norma kepada remaja sekarang ini yang amat menyukai akan hal-hal yang ekstrem dan mencabar. Kegiatan rekreasi ini boleh dilakukan secara kumpulan untuk mendapatkan keseronokan yang tiada tandingannya apabila bersama dengan rakan.

Di samping itu, aktiviti ini dapat menarik kita untuk mensyukuri dan menerokai dengan memutihkan mata dengan melihat khazanah alam yang menghijau ciptaan Tuhan yang tiada tandingannya.

Amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan apabila kita tidak membuang masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Bak Kata pepatah, masa itu ibarat pedang jika kita tidak memotongnya maka dialah akan memotong kita.

Dengan aktiviti rekreasi ini, hubungan kita antara peserta-peserta lain dapat menjalinkan ukhuwah yang lebih rapat. Antara contoh taman-taman rekreasi ini ialah Gua Tempurung, Perak, Lubuk kelah, Lata Kenering dan sebagainya. Tuntasnya di sini, dengan melakukan aktiviti rekreasi dapat melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Indikator seterusnya, aktiviti bersukan dapat diamalkan oleh semua masyarakat tidak mengira umur dan jantina. Apabila kita bersukan, badan kita secara spontannya akan menghasilkan peluh yang mengandungi bahan-bahan toksik yang tidak diperlukan oleh tubuh badan.

Aktiviti ini juga dapat mengisi masa lapang khususnya pelajar dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti kurang sihat di luar sana. Misalnya, pihak kerajaan telah mewajibkan pelajar untuk menyertai satu sukan sebagai aktiviti kokurikulum dalam program mereka iaitu 1 Murid 1 Sukan.

Bersukan juga dikira sebagai bersenam. Dengan bersukan, semangat daya saing yang sihat akan diterapkan dalam diri semua pemain. Pemain mana yang tidak mahu menang walaupun hakikatnya dalam permainan kalah itu adalah adat perlawanan.

Tambahan lagi, bakat mereka yang terpendam sejak sekian hari akan tercungkil kerana kelebihan seseorang akan dilihat melalui usahanya sendiri dan program ini juga akan meningkatkan konsentrasi dalam diri masing-masing mengenai misi dan visi sendiri.

Contohnya, dalam permainan bola tampar, pemain-pemain perlu memberi kerjasama yang baik kerana permainan ini akan dimenangi oleh pasukan yang mempunyai semangat berpasukan yang hebat selain teknik-teknik dan strategi permainan. Tamsilnya, bersukan dapat membantu untuk mengamalkan gaya hidup sihat pada masa akan datang.

Selain itu, kesihatan juga memainkan peranan yang amat penting. Bagaimana gaya hidup sihat hendak diamalkan jika kesihatan diri sendiri sudah terganggu? Rawatan kesihatan adalah perkara yang harus dilakukan oleh semua masyarakat dalam meniti kehidupan dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Kadang-kadang, masyarakat zaman sekarang mengambil jalan mudah dengan makan ubat-ubat yang tidak disahkan oleh orang yang lebih pakar contohnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

Padahal, semua ini boleh dilakukan dengan pengamalan gaya hidup sihat. Contohnya ialah perempuan yang sentiasa ingin kurus namun akhirnya berakhir dengan mengambil dos yang berlebihan. Doktor akan memberitahu pro dan kontra sesuatu produk itu di samping menasihati untuk mengamalkan piramid makanan dan bersenam.

Rawatan kesihatan haruslah dilakukan sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Ironinya, pengamalan gaya hidup sihat dapat diterapkan melalui rawatan kesihatan yang berkala.

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk melestarikan pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Negara kita sepatutnya berusaha untuk menjadi negara yang kurang mempunyai rakyat menghadapi masalah kesihatan.

Seharusnya kita perlulah bersaing untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain yang mempunyai rakyat yang sihat terutama bagi pemuda. Bak kata slogan, Pemuda Tiang Negara. Pemuda Tiang Negara kerana siapakah lagi yang mahu menerajui kepimpinan negara?

Adakah kita mahu pemimpin yang lemah sifat kesihatannya kerana Tun Dr. Mahathir telah meletakkan tanda 20 juta rakyat menjelang Wawasan 2020. Jika pemimpin pun lemah, apatah lagi rakyat, fikir-fikirkanlah. Akhir sekali, amalan gaya hidup sihat akan membawa negara dipandang sebagai negara yang mementingkan kesihatan rakyatnya di seantero dunia.

Penulis; Khairul Ashraf bin Khairuddin, Mahasiswa Tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular