Sunday, October 6, 2024
HomeArtikelIbadah: Kunci Rahsia Untuk Menyihatkan Tubuh Dan Jiwa

Ibadah: Kunci Rahsia Untuk Menyihatkan Tubuh Dan Jiwa

Kesihatan tubuh dan jiwa adalah dua aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam menjalani kehidupan yang produktif dan berkualiti. Tubuh yang sihat memberi kita semangat dan tenaga yang kuat untuk menjalani aktiviti seharian manakala jiwa yang tenang dan damai juga dapat memberikan kebahagiaan yang sejati.

Masyarakat pada hari ini khususnya masyarakat Muslim, seringkali mencari pelbagai cara untuk meningkatkan kualiti kesihatan fizikal dan mental mereka, bermula dengan melakukan senaman harian sehingga berjumpa pakar psikologi untuk melakukan terapi. Namun, mereka acapkali terlupa bahawasanya ibadah dalam segala bentuk juga memiliki potensi yang besar dalam menyihatkan tubuh dan jiwa kita.

Ibadah ialah satu bentuk pengabdian kepada Sang Pencipta, tidak hanya melibatkan aktiviti spiritual tetapi juga merangkumi aspek fizikal dan mental. Dalam ibadah, solat contohnya, kita akan melakukan beberapa gerakan tertentu serta mengosongkan fikiran untuk fokus dan memperdalam hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa.

Hal ini secara tidak langsung menciptakan kesempatan bagi kita untuk menjaga kesihatan tubuh dan jiwa secara menyeluruh. Dengan memahami bahawa ibadah bukan hanya tentang memenuhi kewajipan agama, tetapi juga tentang mencapai kesejahteraan fizikal dan mental, kita dapat memanfaatkannya sebagai satu inisiatif yang efektif dalam usaha menjaga kesihatan diri.

Dalam artikel ini, kita akan menelusuri tentang bagaimana ibadah menjadi kunci rahsia dalam menyihatkan tubuh dan jiwa manusia.

Solat

Solat boleh menguatkan tubuh badan kita kerana dari segi zahirnya terdapat banyak pergerakan dalam ibadah solat seperti berdiri, rukuk dan sujud. Dalam setiap pergerakan ini, tubuh kita telah melakukan seolah-olah senaman yoga ataupun senaman ringan. Jadi, secara tidak langsung ia membantu kita meningkatkan fleksibiliti, kekuatan otot dan keseimbangan tubuh badan.

Dari segi rohaninya, solat berdiri lebih banyak pahala kerana lebih banyak pergerakan berbanding duduk ataupun tidur. Hal ini bertepatan dengan hadith nabi Muhammad SAW dalam Riwayat al-Bukhari yang bermaksud, “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk”.

Selain itu, suka penulis kongsikan bahawasanya Nabi Muhammad SAW juga diketahui sebagai seorang yang sering bersolat malam dengan jangka waktu yang sangat lama. Maka tidak hairanlah, isterinya Aishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW solat sehingga bengkak-bengkak kakinya. Pastinya ini tidak dapat dilakukan oleh seseorang kecuali Baginda seorang yang sangat cergas dan sihat fizikal tubuh badannya.

Solat malam Rasulullah SAW khususnya mempunyai rutin qiyam (berdiri) yang sangat lama dan panjang. Hal ini jelas melalui hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman dalam kitab ‘Sahih Muslim’ yang menyatakan bahawa Baginda bersolat malam dengan rakaat pertamanya akan dibaca sehingga ayat ke-100 daripada surah al-Baqarah sebelum ruku’.

Baginda kemudian menyambung lebihan ayat daripada surah al-Baqarah dan disusuli pula dengan surah An-Nisa’ dan Ali ’Imran pada rakaat kedua. Bayangkan berapa lama solat Baginda ini? Pastinya ia tidak kurang dari dua jam atau lebih.

Terdapat kajian beberapa profesor di Universiti Malaya melalui buku mereka, “Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains” bahawa posisi rukuk dalam solat dapat memastikan tulang belakang dalam keadaan baik manakala pergerakan yang dilakukan pula dapat mengembalikan fungsi otot seperti sedia kala serta dapat digunakan sebagai terapi rawatan sakit pinggang.

Kedudukan ketika rukuk, sujud dan duduk tahiyat dalam solat pula mampu memberikan kerehatan kepada jantung, dengan kadar denyutan jantung direkodkan lebih rendah berbanding ketika kedudukan berdiri. Maka dengan itu, digalakkan seseorang itu untuk memanjangkan tempoh sujudnya kerana ia bakal menghasilkan kadar denyutan jantung yang lebih rendah.

Oleh yang demikian, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi digalakkan untuk sujud lebih lama dan kerap bagi mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan kadar tekanan darah. Ini kerana kajian menunjukkan lebih banyak darah dapat mengalir ke otak sementara dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding dalam keadaan biasa.

Puasa

Puasa yang biasa dilakukan terutamanya oleh orang Islam pada bulan Ramadan, bukan hanya tentang menahan diri dari makan dan minum dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Ia juga merupakan salah satu proses detoksifikasi oleh tubuh badan. Apabila kita berpuasa, badan kita akan mengeluarkan satu hormon yang dinamakan motilin.

Hormon ini akan membantu membersihkan bendasing yg tidak diserap di dalam perut kita. Maka dengan itu, perut kita akan menjadi lebih bersih dan seterusnya kualiti kesihatan kita akan lebih meningkat. Puasa juga dapat merehatkan tubuh badan dan memperbaiki saraf.

Hal ini kerana apabila tubuh kita mengalami proses detoksifikasi di mana bendasing dan racun dibersihkan dari sel-sel tubuh badan, ia dapat membantu menghilangkan zat-zat yang berpotensi untuk merosakkan saraf. Ia juga dapat merangsang proses pemulihan sel-sel saraf yang rosak atau lemah dan meningkatkan kesihatan saraf secara keseluruhan.

Selain itu, puasa telah terbukti memiliki kesan anti-inflamasi yang dapat membantu mengurangkan peradangan di seluruh tubuh badan termasuk di sekitar saraf. Peradangan yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakkan pada saraf dan fungsi saraf terganggu. Jadi, dengan mengurangkan inflamasi melalui puasa, kita dapat memperbaiki kondisi saraf yang mungkin terpengaruh oleh peradangan.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar dalam penyumbangkan kediaman atau tempat tinggal untuk virus-virus di dalam tubuh”.

Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Oleh kerana kurangnya suapan makanan, maka tubuh akan menggunakan sumber energi alternatif seperti lemak yang disimpan dalam jaringan adiposa. Semua organ dalam tubuh badan mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar menggantikan kerosakan jaringan dan memperkuat sistem imunisasi tubuh kita.

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, ‘Hungry for Healthy’ menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”. Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh akan mulai terurai.

Selain berpuasa pada bulan Ramadan yang merupakan satu kewajipan bagi sekalian umat Islam, sekali lagi suka penulis kongsikan bahawasanya Baginda SAW juga dikenali sebagai seorang yang berpuasa secara tetap pada setiap minggu. Antara amalan Nabi SAW ialah berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis.

Puasa pada hari ‘Ayyamul Bidh’ atau hari-hari putih iaitu pada 13,14 dan 15 pada setiap bulan Hijriyyah. Ini tidak termasuk puasa Baginda pada hari-hari tertentu seperti puasa pada hari ‘Arafah (9 Zulhijah), puasa hari Tasu’a dan ‘Asyuura’ (9 dan 10 Muharam), puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain.

Maka tidak hairanlah sekarang ini, terdapat trend puasa moden yang digelar ‘Intermittent Fasting’ atau IF, di mana antara kaedahnya seseorang itu dikehendaki berpuasa selama 16 jam bermula dari jam 8 malam sehingga 12 tengah hari esoknya, dalam jangka masa tersebut, mereka hanya dibolehkan minum air putih sahaja. 

Sedangkan ianya sudah pun diamalkan oleh Nabi SAW, cuma bezanya dari sudut masa dan waktu sahaja, tetapi kesannya adalah tetap sama dengan tambahan keberkatan dan ganjaran dari Allah SWT.

Zikir

Zikir berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud ingat atau sebut. Di dalam Islam, zikir lebih merujuk kepada ingat kepada Allah atau menyebut nama-nama Allah. Di dalam Islam, zikir kepada Allah adalah sebahagian ibadat dan orang Islam yang melakukannya mendapat pahala.

Alim ulama bersepakat mengatakan zikir yang paling disukai oleh Allah adalah subhanAllahi wa bihamdih. Ini berdasarkan suatu hadis di dalam Sahih Muslim yang bermaksud:“Dari Abu Dhar berkata, lalu beliau bertanya kepada Muhammad Rasullallah ,”Sukakah engkau(Muhammad) memberitahu ucapan apakah yang paling disukai oleh Allah? “(Muhammad menjawab) SubahanAllahi Wabihamdi(Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi-Nya).

Tanpa kita ketahui, zikir sebenarnya mempunyai impak positif bagi kesihatan tubuh dan jiwa kita. Antaranya zikir dapat mengurangi stress dan juga kegelisahan. Melakukan zikir secara teratur dapat membantu menenangkan fikiran dan meredakan stres dan kegelisahan. Apabila kita fokus pada mengingati Allah, fikiran kita akan teralih dari kesibukan dunia dan masalah harian. Penurunan stress dan kegelisahan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan dan juga meningkatkan kualiti tidur.

Zikir juga dapat meningkatkan kesejahteraan mental. Zikir membawa rasa ketenangan dan kedamaian yang mendalam ke dalam jiwa kita. Ketika kita berhubung dengan Allah SWT secara spiritual, kita merasakan kehadiran-Nya yang sangat menenangkan. Hal ini dapat membantu mengatasi perasaan sedih, kegelisahan, dan depresi serta meningkatkan kesejahteraan mental secara keseluruhan. Hal ini bertepatan dengan ayat sl-Quran surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Kesimpulan

Maka dengan itu, dapat penulis simpulkan bahawasanya ibadah ini bukan hanya tentang ritual keagamaan sahaja malah juga tentang kesihatan tubuh dan jiwa. Dengan memahami perkara ini, kita dapat mengambil kesempatan untuk memanfaatkannya sebagai satu inisiatif dan usaha dalam mencapai kesejahteraan fizikal dan mental secara keseluruhannya. Oleh itu, suka penulis mengajak para pembaca untuk kita menjadikan ibadah sebagai salah satu gaya hidup sihat sehingga kita dapat meraih kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Penulis: Nik Adri Irham bin Nik Ghazali, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
RELATED ARTICLES

Most Popular