Thursday, January 23, 2025
HomeTokohIbnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

Ibnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” Surah Al-Mulk (67):19.

Orang yang berilmu akan bertindak memerhatikan alam dengan akal sekaligus mendorong minat, mencari pengetahuan dan mencipta idea untuk melakukan sesuatu perkara. Bagi pencipta mesin terbang pertama ini, memahami hukum alam melalui bersyukur atas kandungan ayat-ayat Quran dapat membawa manusia untuk lebih dekat kepadaNya.

Dengan memerhatikan alam serta cuba mengaplikasikan bagaimana cara burung terbang di angkasa, membawa tokoh Islam ini untuk mencipta alat bagi percubaan terbang pertama dalam dunia.

Umat Islam selama ini didendangkan dengan kejayaan Saudara Wright yang berjaya mencipta alat terbang pertama pada tahun 1908. Demonstrasi pesawat oleh mereka di Perancis disaksikan oleh penduduk negara tersebut menjadi langkah awal kepada perkembangan dunia penerbangan di Eropah. Tanpa kita sedari bahawa kira-kira seribu tahun sebelum itu sudah lahir seorang tokoh Islam yang berjaya mencipta alatan terbang. 

Beliau ialah Abbas Bin Firnas Bin Wardas dan lebih dikenali sebagai Ibnu Firnas. Ibnu Firnas dilahirkan di Ronda, Sepanyol pada tahun 810 M.  Ronda kini merupakan bandar pelancongan yang terkenal yang terletak di Malaga. Di zaman kerajaan Islam Andalus, kota ini memainkan peranan sebagai pusat bandar di selatan Andalusia dan merupakan satu-satunya bandar yang telah dibina di pergunungan Serenia. 

Pelbagai sumber menyatakan bahawa Abbas Ibn Firnas adalah orang pertama yang telah mencipta alatan terbang. Fakta ini juga diiktiraf oleh seorang cendekiawan Barat, Phillip K. Hitti yang berkata, “Ibn Firnas adalah orang pertama dalam sejarah untuk membuat percubaan saintifik untuk terbang”.

Ibnu Firnas mencipta sepasang sayap untuk terbang di mana sayap tersebut menyerupai konsep burung dan berfungsi seperti mesin peluncur (glider). Ibnu Firnas telah membuat sepasang bingkai kayu yang menyerupai sayap burung dan dilekatkan dengan bulu-bulu. Setelah berjaya menyiapkan model sayap terbang tersebut, Ibnu Firnas telah mengundang penduduk di Cordova untuk datang menyaksikan percubaan penerbangannya pada tahun 875.

Sumber Foto: Webjazba.com


Ibnu Firnas telah berdiri di atas sebuah bukit  Al-Arus (Mount of the Bride) yang terletak di Rusala. Kemudian beliau terjun dari menara tersebut dan kedua-dua belah tangannya bergerak bagi mengibarkan sayap. 

Beliau berjaya terbang seketika sebelum berpatah balik menghala ke arah tempat beliau mula-mula terjun. Ketika inilah dikatakan beliau tidak dapat mengawal sayap tersebut menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah pada punggungnya. 

Selepas kemalangan tersebut, Ibnu Firnas menyedari bahawa struktur akhir ekor adalah bahagian penting untuk mendarat. Strruktur ini adalah sama dengan cara burung menggunakan ekornya untuk mengurangkan kelajuan sebelum mendarat. Struktur ini kemudian dinamakan ornithopter oleh Da Vinci. 

Kegagalan percubaan Ibnu Firnas adalah kerana beliau tidak menambah bahagian ekor pada sayap terbangnya mengakibatkan beliau gagal mendarat dengan baik. Ibnu Firnas bercadang untuk membuat ujian penerbangan kedua, namun kemalangan yang dialaminya menyebabkan beliau luka parah di bahagian punggung.

Kecederaan ini  mengakibatkan aktiviti beliau agak terbatas serta menyebabkan beliau tidak dapat melakukan ujian penerbangan seterusnya. Meskipun demikian, hasil kerja Ibnu Firnas memberi impak besar kepada dunia penerbangan. 

Pencapaiannya dalam penerbangan telah memberi idea kepada Barat untuk membangunkan disiplin penerbangan (Aviation Discipline) terutama pada struktur ornithopter, struktur utama bagi menstabilkan sebuah pesawat. Hasil percubaannya telah  mempengaruhi teknik penerbangan moden hari ini. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa sepatutnya beliau digelar sebagai “bapa penerbangan”.

Rujukan

  • Bosworth, Encyclopaedia of Islam.
  • Ezad Azraai Jamsari, et.al. Ibn Firnas and His Contribution to the Aviation Technology of the World.
  • Shafie Abdul Rahman, 25 cendekiawan Islam.

Artikel ini ditulis oleh Annuar Ramadhan Bin Kasa (A.R Kasa)

Penulis merupakan Pelajar di Jabatan Sejarah dan Tamadun,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Facebook: Melankolia Philosophia 

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

BACA JUGA: 5 Ajaran Sesat Yang Menyalahgunakan Konsep Ilham di Alam Melayu

BACA JUGA: Ijtihad Masa kini Adalah Berdasarkan Penyelidikan Akademik – Mahmood Zuhdi

RELATED ARTICLES

Most Popular