Saturday, May 18, 2024
HomeArtikelInisiatif Kerajaan Dalam Menangani Isu Banjir di Malaysia

Inisiatif Kerajaan Dalam Menangani Isu Banjir di Malaysia

Baru-baru ini, hujan lebat dan rebut petir telah dilaporkan berlaku di beberapa daerah Negeri Sembilan seperti di daerah Seremban dan Rembau. Kejadian ini telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di daerah-daerah berkenaan. Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 24 Mac yang lalu, kejadian ini berpunca disebabkan oleh fasa peralihan monsun. Ia dijangka bermula pada 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024.

Tiupan angin lemah dari pelbagai arah ini akhirnya boleh membawa kepada hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat. Justeru, mengakibatkan keadaan seperti banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh biarpun ianya tidak berlaku berterusan iaitu hanya pada waktu petang dan awal malam.

Sebenarnya, banjir kilat ini sudah acap kali terjadi. Bukan oleh kerana kejadian alam yang biasa berlaku seperti peralihan monsun sahaja, namun kerana kelemahan sistem perparitan dan saliran air di Malaysia juga. Sistem perparitan yang tidak sempurna seperti parit yang dibina terlalu cetek dan kecil, tidak mampu untuk menampung air hujan yang banyak.

Masalah pembuangan sampah merata-rata juga menyebabkan parit yang sedia ada ini tersumbat. Maka, air akan melimpah keluar daripada parit dan mengakibatkan banjir. Selain itu, peningkatan aktiviti penebangan hutan dan pokok-pokok untuk membangunkan pelbagai jenis penempatan turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat. Pokok-pokok ini sebenarnya mempunyai peranan iaitu dalam membantu menyerap air hujan lebat yang turun masuk ke dalam tanah lantas, mengurangkan risiko banjir. 

Meskipun begitu, hujan sebenarnya merupakan fenomena alam semula jadi dan membawa bermacam faedah dan rahmat kepada manusia dan hidupan lain. Namun, jika tiada langkah berjaga-jaga dari pelbagai pihak, ia boleh mengakibatkan kepada perkara yang tidak diingini seperti banjir kilat mahupun banjir besar. Walaupun begitu, banjir kilat merujuk kepada peningkatan aras air permukaan yang berlaku dengan cepat disebabkan curahan hujan lebat dalam satu tempoh masa yang singkat dan biasanya akan surut dengan cepat selepas hujan berhenti. Maka, pasti ada yang tertanya-tanya apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan dan pihak-pihak yang berkenaan selain mengharapkan kerjasama rakyat dalam membendung isu ini dari kerap berulang. 

Pada tahun 1971, negara kita dilanda banjir besar yang menjejaskan hampir kesemua negeri di Semenanjung dengan Kuala Lumpur dan Pahang sebagai negeri yang dicatat paling teruk terjejas. Ia dikatakan berpunca daripada hujan lebat yang turun selama hampir seminggu selepas Hari Krismas pada tahun sebelumnya. Ia telah menyebabkan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika waktu itu membuat keputusan bersama kabinet kerajaan untuk mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negeri yang berkuat kuasa bermula 5 Januari 1971, iaitu selepas pengisytiharan tersebut.

Pada Ketika itu, pelbagai penubuhan jawatankuasa diwujudkan bagi mengawal dan memulihkan sosial dan ekonomi negara. Selepas daripada peristiwa itu, suruhanjaya tetap telah ditubuhkan untuk mewujudkan pelan induk saliran bagi bandar-bandar dan memperkenalkan sistem amaran banjir. Bertitik tolak dari itu, pelbagai cadangan dan inisiatif daripada pihak kerajaan telah direkodkan bagi membendung dan mengatasi isu banjir ini, lebih-lebih lagi banjir kilat yang tidak dapat diramal dengan pasti. 

Antara inisiatif jangka panjang yang signifikan dalam membendung kejadian banjir adalah Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi. Kerajaan telah memperuntukkan kos sebanyak RM11.8 bilion ringgit untuk melaksanakan 33 projek tebatan banjir pada tahun ini. Peruntukan bagi projek ini sebenarnya telah pun dibentangkan di dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berpendapat bahawa projek ini berimpak tinggi bagi jangka masa yang panjang dan ia sangat ditekankan bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan mengelakkan lebih banyak lagi kehilangan nyawa dan harta benda. 

Projek ini bakal dijalankan di beberapa buah sungai di negeri Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Projek ini melibatkan aktiviti melebar dan mendalamkan sungai, membina kolam takungan banjir, membina kunci air dan meninggikan serta membina lagi ban-ban di sungai-sungai berikut.  Namun begitu, projek ini mengambil tempoh masa yang lama untuk disiapkan. Maka, kerajaan turut melaksanakan langkah lain untuk mengawal bencana banjir.

Perlaksanaan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak juga diberikan perhatian oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau telah menyediakan sejumlah RM20 juta ringgit untuk 150 pihak berkuasa tempatan (BPT) bagi melakukan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang itu. Dasarnya, sistem saliran dibina untuk mengelakkan isu lebihan air di permukaan yang boleh menyebabkan berlakunya banjir dengan fungsinya untuk menampung kapasiti air yang banyak jika ia dibina dengan ciri-ciri yang sepatutnya.

Antara perkara yang perlu ditekankan adalah proses penyelenggaraan dan penambahbaikan reka bentuk saliran. Proses penyelenggaraan ini penting bagi memastikan parit dan longkang bebas daripada sampah sarap dan keladak yang boleh menganggu perjalanan air yang lancar. Pemasangan perangkap keladak juga dapat menapis sisa atau apa-apa bahan yang menahan air daripada mengalir. Reka bentuk saliran seperti bentuk U, Trapezoidal, Terowong Jalan Raya & Pengurusan Air Banjir (SMART) boleh juga digunakan untuk meluaskan lagi saiz saliran bagi menampung lebih banyak jumlah air yang berada di permukaan.

Selain itu, bagi mengatasi banjir dalam keadaan semasa, terdapat penggunaan pam air bagi membantu menurunkan paras air dan mempercepatkan pemulihan banjir yang berlaku. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan ‘banjir termenung’ seperti di bandar Kota Tinggi, Johor tahun lalu. Pam ini berfungsi untuk memindahkan air dari paras rendah ke paras yang lebih tinggi. Dengan Kerjasama pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB), kelancaran penggunaan pam air ini dapat dipastikan kerana ia perlu menggunakan tenaga elektrik iaitu daripada generator. Beberapa negeri seperti di Selangor telah pun dibekalkan dengan 40 pam air selain 30 pam yang sudah sedia ada. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada bulan November yang lalu sebagai persediaan sepanjang musim tengkujuh yang lalu.

Oleh yang demikian, dapat dilihat terdapat pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu banjir ini lebih-lebih lagi banjir kilat berikutan perubahan cuaca dan sebagainya. Selain itu, diharapkan juga pihak kerajaan dapat mempergiatkan lagi usaha dalam membendung isu banjir dengan lebih efektif selain daripada langkah sedia ada kerana malangnya, bencana banjir ini masih lagi menjadi masalah bagi rakyat. Dalam masa yang sama, rakyat juga perlu bergerak bersama bagai aur dengan tebing dalam memastikan tiada sampah sarap yang dibuang merata-rata yang akhirnya boleh menjejaskan usaha pihak kerajaan. Bahkan, sikap kurang bertanggungjawab rakyat sendiri boleh menyebabkan banjir lebih mudah melanda negara ini. Maka, marilah kita bersama-sama menjadi rakyat yang lebih peka di samping menyokong usaha pihak kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi dan sosial negara. 

Penulis: Khairina binti Idris, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular