Akibat pandemik COVID-19 yang nampak gayanya belum berkesudahan, isu bendera diperkatakan di sana-sini. Bagi kami warga sekolah, kami terkenangkan keluarga anak murid yang terkesan.
Kemungkinan faktor anak murid jarang mengikuti PdPR adalah disebabkan situasi terdesak yang terjadi dalam rumah mereka. Bolehkah mereka mengikuti kelas dalam talian, sedangkan pada waktu paginya si anak murid sibuk membantu bapanya menebar roti canai untuk mencari sesuap nasi?
Adakah diri yang kelaparan mampu bertahan mengikuti PdPR seharian dan di dapur cuma ada sekoleh beras? Perkara-perkara beginilah yang kami fikirkan. Walaupun latar belakang kediaman murid-murid adalah di kawasan pinggir bandar, namun kesempitan hidup masih menjadi isu terutama pada masa pandemik ini melanda.
Lalu kami mengatur strategi sebelum melihat apa-apa warna bendera berkibar. Kami lantik seorang bendahari yang akan mengutip dana bagi misi bantuan ini. Kami namakan misi kongsi rezeki.
Tak sampai 3 hari, sumbangan berjumlah kira-kira RM5000 dapat dikumpulkan. Hebat bukan? Tanpa paksaan, tanpa rayuan, sumbangan melimpah-limpah.
Dana itu ditukarkan dalam bentuk pek makanan harian yang diharapkan dapat menampung kelangsungan hidup. Senarai nama mereka yang terkesan dikumpulkan dan misi ini disampaikan melalui kaedah yang mematuhi SOP iaitu secara pandu lalu.
Saya turut berkesempatan menyampaikan sumbangan ini kepada waris murid-murid. Riak wajah mereka menyerlahkan kelegaan. Walaupun sumbangan ini tidaklah sebesar mana, kami harap ia mampu meringankan bebanan yang ditanggung. Ucapan terima kasih tidak henti-henti diucapkan oleh waris-waris ini. Jika ada murid ikut serta, kami berpesan supaya dia tidak ketinggalan mengikuti kelas Pdpr.
Benarlah di sebalik musibah ada hikmah. Kita semua diduga dengan ujian COVID-19, kehidupan sudah tidak senormal dahulu. Ujian ini umpama gelombang, bagaimanakah kita mahu mendepaninya? Jika kita tinggal di atas bahtera, kita wajar menghulur pelampung kepada mereka yang berada di atas bot-bot kecil. Semoga kita semua tidak jatuh dan tenggelam ditelan ombak besar ini.
Ya Allah, Kau angkatlah ujianMu ini daripada muka bumi dan anugerahkanlah kehidupan seperti sedia kala kepada hamba-hambaMu yang lemah ini. Aamin.