Sunday, October 6, 2024
HomeArtikelKafe FoMO: Merungkai Impak Terhadap Kewangan Peribadi

Kafe FoMO: Merungkai Impak Terhadap Kewangan Peribadi

Menelusuri arus gaya kehidupan moden, di mana budaya kafe dan fear of missing out (FoMO) saling berkaitan antara satu sama lain dalam trend terkini yang melibatkan kopi. Budaya Kafe FoMO, yang bermula dengan hanya secangkir kopi latte sehingga menjadi satu pengembaraan pencarian kafe yang memenuhi kelayakan untuk dipaparkan di Instagram merupakan satu kekalahan baru kepada penggemar kopi.

Dorongan untuk kekal mengikuti trend dan berasa relevan dalam kehidupan sosial yang moden menjadikan Kafe FoMO sebagai sebahagian daripada gaya kehidupan harian. Walaupun begitu, tiada siapa yang mengetahui nasib yang menanti kerana dikaburi kemahuan tersendiri tentang bagaimanakah Kafe FoMO memberi impak terhadap rutin harian, interaksi sosial dan yang paling signifikan terhadap kewangan peribadi?

Fear of missing out (FoMO) merupakan perasaan bimbang kerana menganggap diri ketinggalan berbanding dengan orang lain. Sekian lama FoMO dikaitkan dengan permasalah sosial, namun sejak kebelakangan ini, fenomena ini telah dilihat sebagai permulaan kepada budaya baru.

Kafe FoMO bukan sahaja merangkumi keinginan melampau terhadap kafein namun juga melibatkan aspek psikologi. Ia merupakan trend sosial dalam menjelajahi kawasan kafe baharu yang didorong ketakutan dibelakangi masyarakat. Tanpa mempertimbangkan tujuan yang sebenar adalah kerana untuk mencuba keunikan kopi terbaru atau untuk menyimpan memori menerusi lensa kamera di Instagram, tekanan untuk hidup seiring dengan trend semasa menjerumus kepada perbelanjaan impulsif dan tekanan kewangan. Di mana dapat dilihat, setiap karya seni seorang artisan dan suasana dalaman kafe yang didokumentasi dengan teliti untuk dikongsi di media sosial menunjukkan bahawa tekanan untuk penglibatan budaya baharu telah mencecah hadnya.

Tanpa kita sedari, kita mendapati diri ini melayari media sosial yang dipenuhi dengan hantaran-hantaran menarik seperti secangkir kopi panas di atas meja kayu untuk memberikan nilai klasik dan estetika. Secara tidak langsung keinginan untuk menyertai komuniti pengembara kopi melonjak dengan hanya perkongsian imej dilihat di sosial media.

Namun demikian, di sebalik potret yang sempurna terkandung seribu satu kebenaran yang pahit untuk diterima: impak kewangan peribadi terhadap Kafe FoMO. Penampilan kopi latte secara artisan dan campuran biji kopi yang bermutu tinggi mungkin dilihat bersahaja pada awalnya tetapi mencipta lubang hitam terhadap perbelanjaan impulsif dan kesempitan kewangan jika dilakukan secara repetisi.

Secawan americano memulai pagi hari mungkin dilihat sebagai suatu yang kecil tetapi seiring dengan waktu, setiap transaksi dapat digabungkan sehingga menunjukkan penurunan yang signifikan dalam kewangan individu. Tambahan lagi, rasa kebertanggungjawaban untuk memaparkan gaya hidup di media sosial dapat menguatkan lagi perbelanjaan impulsif menunjukkan seseorang individu lebih mementingkan imej sosial melebihi kestabilan kewangan.

Awalnya, perbelanjaan secangkir kopi mungkin dianggap sebagai rutin harian namun seiring dengan kenaikan toleransi terhadap kafein, secangkir kopi mungkin tidak mencukupi lagi. Ketagihan terhadap bancuhan kopi yang dibina dari masa ke masa dari bandwagon effect dan kesan sampingan ialah mustahil untuk dielakkan.

Idea-idea berkaitan Kafe FoMO seringkali dikaitkan dengan golongan milenial dan generasi Z. Dengan status ekonomi semasa, gaji yang statik, kenaikan kos sara hidup dan hutang pinjaman pelajaran memberi impak kepada ramai generasi muda yang mendapati diri mereka terperangkap dalam krisis kewangan.

Di samping komitmen lain, perbelanjaan di kafe lebih diutamakan untuk menangani perasaan takut ditinggalkan trend terkini. Hal ini menimbulkan rasa ketidakcukupan, inspirasi kepada individu untuk lebih memanjakan diri mereka dalam perbelanjaan sebagai percubaan untuk melepaskan diri dari realiti sekali gus untuk menghindari tekanan sosial.

Dalam konteks ini, dapat diihat Kafe FoMO dapat mendorong individu untuk bertindak diluar norma tingkah laku menjurus kepada pertambahan hutang dan masalah kewangan. Perilaku ini menunjukkan keinginan individu untuk meraih penerimaan sosial di samping menafikan realiti sebenar.

Kafe FoMO dapat menjadi satu kitaran yang merbahaya, didorong oleh perbelanjaan secara emosi berbanding keperluan yang telus menyebabkan sukar untuk bebas daripadanya. Maka, corak perilaku ini dapat menyumbang kepada rasa persaingan diantara komuniti yang tiada rasionalnya. Hal ini kerana rasa persaingan ini mendorong individu untuk bersaing dengan rakan sebaya secara tidak sihat bagi mengelakkan perasaan FoMO tetapi secara tidak langsung membuka ruang untuk perasaan iri hati dan tinggi ego kerana enggan untuk menerima kemenangan yang lain. Natijahnya, budaya Kafe FoMO dapat mewujudkan satu kitaran penjagaan diri di mana individu lebih mementingkan kepuasan jangka masa pendek berbanding hubungan sosial yang berpanjangan.

Dalam pada itu, untuk melawan impak negatif yang dibawa Kafe FoMO terhadap kewangan peribadi adalah dengan mengenal pasti punca yang mendorong kepada budaya Kafe FoMO. Tekan sosial dan budaya pengguna menjadi pengaruh yang dominan dalam tabiat perbelanjaan dan perlu dipertimbangkan untuk memulihkan semula kewangan peribadi. Dengan mengambil langkah kebelakang untuk melihat gambaran keseluruhan punca dan akibatnya, kita dapat membezakan antara keinginan yang perlu dan kehendak yang bersandarkan FoMO.

Pada akhirnya, semuanya berbalik kepada individu untuk mengetahui berapa banyak yang merujuk sehingga terlalu banyak? Dengan menetapkan limitasi dengan mempunyai had batasan dan mengutamakan kestabilan kewangan berbanding bandwagon effect dapat dijadikan sebagai titik permulaan kehidupan baru. Hal ini dapat diselesaikan dengan merancang perbelanjaan harian terutamanya perbelanjaan kopi atau meneroka alternatif lain untuk menikmati secangkir kopi tanpa berbelanja secara impulsif. Misalnya, bancuhan kopi buatan rumah dengan mencuba resipi yang tular di media sosial atau mencuba kafe bajet sebagai satu pilihan lain. Seperti yang diketahui, munculnya idea menarik daripada pemilik kafe dengan menyediakan diskaun kepada pelanggan yang menggunakan cawan peribadi ketika pembelian kopi bukan hanya sebagai bentuk promosi perniagaan malahan cara yang efektif untuk menjimatkan perbelanjaan.

Bagi menutup wacana, setiap permasalahan pasti mempunyai solusinya. Dengan memahami punca yang menjadi dasarnya dan mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah kewangan, kita masih dapat menikmati secangkir kopi tanpa perlu mengorbankan keseronokan yang nyata. Akhir kata, Kafe FoMO merupakan campuran kompleks dalam sudut kewangan, sosial dan psikologi yang menyebabkan kepada perubahan yang signifikan terhadap kehidupan seharian serta tidak dilupakan cara menanganinya merupakan proses yang perlu diberi cakna. Mengetahui berapa banyak ialah terlalu banyak amatlah penting untuk kestabilan kewangan setiap individu.

Penulis: Nayli Nisa binti Zahari, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular