Malaysia memang terkenal dengan juadah hidangan yang menyelerakan dan pelbagai. Tidak hairanlah Malaysia digelar sebagai syurga makanan. Namun, perkara yang menjadi kebimbangan ialah gaya pemakanan rakyat Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa kadar obesiti di negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.
Percaya atau tidak, gaya pemakanan boleh menentukan nasib anda 20 tahun akan datang? Kesan daripada pengambilan diet yang tidak sihat mungkin tidak dapat dilihat serta-merta namun kesannya mula muncul setelah beberapa tahun. Penyakit yang muncul disebabkan kesan jangka panjang dikenali sebagai penyakit kronik.
Menurut laman web Centers for Disease Control and Prevention, penyakit kronik didefinisikan sebagai penyakit yang dialami oleh individu dalam tempoh lebih setahun dan masih mengalami sehingga kini, yang memerlukan rawatan berterusan dan berkala serta menyebabkan keterbatasan dalam menjalankan aktiviti seharian.
Penyakit kronik yang sering dialami oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan warga emas termasuklah penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, gout dan sebagainya.
Menurut laporan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2022, sebanyak 8.65% daripada keseluruhan jumlah pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital ialah pesakit yang menghidapi penyakit berkaitan sistem peredaran darah dan sebanyak 20.79% daripada kes kematian adalah disebabkan masalah sistem peredaran darah. Kematian disebabkan masalah sistem endokrin, nutrisi dan metabolik pula mencatatkan sebanyak 4.38% daripada jumlah kematian yang dilaporkan di hospital KKM, menjadikan kedua-dua masalah ini menjadi antara 10 sebab utama kematian yang dilaporkan di hospital KKM pada tahun 2022. Bagaimanakah gaya pemakanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan penyakit kronik?
Glukosa boleh didapati dalam sumber makanan berkarbohidrat seperti nasi, roti dan makanan berasaskan gandum. Pelbagai fungsi tubuh contohnya fungsi otak; seperti kecerdasan, dan pergerakan tubuh badan bergantung kepada kehadiran sumber tenaga yang mencukupi. Oleh itu, untuk memastikan tubuh berfungsi secara optimum, badan memerlukan tenaga. Tenaga dijana daripada glukosa melalui proses-proses biokimia dalam tubuh badan. Namun yang demikian, pengambilan makanan yang mengandungi kandungan glukosa yang tinggi dalam jangka masa panjang boleh mendatangkan mudarat, iaitu penyakit kencing manis.
Penyakit kencing manis, atau istilahnya dalam bidang perubatan, Diabetes Mellitus (jenis 2 yang umumnya dihidapi oleh rakyat Malaysia) ialah penyakit disebabkan kandungan gula tinggi dalam darah (hyperglycaemia), kesan jangka panjang daripada pengambilan makanan tinggi kandungan glukosa.
Secara normalnya, kandungan glukosa yang berlebihan dalam tubuh badan akan ditukarkan kepada glikogen oleh tindakan insulin untuk disimpan di dalam organ hati supaya kandungan glukosa tidak tinggi dalam darah. Glikogen yang disimpan di dalam hati pula akan ditukarkan semula kepada glukosa dalam situasi di mana badan kekurangan glukosa seperti berpuasa atau bersukan.
Mekanisma ini disebut sebagai homeostasis, atau dalam erti kata mudah, mekanisma pembetulan, di mana tubuh badan berusaha untuk memastikan persekitaran dalaman tubuh dalam keadaan optimum —tidak berlebihan dan tidak berkurang daripada yang sepatutnya.
Namun, disebabkan kandungan glukosa yang tinggi dalam jangka masa panjang, tubuh badan mula beradaptasi dengan keadaan sekeliling dan tidak lagi menganggap glukosa yang tinggi sebagai perkara yang perlu dibetulkan. Situasi ini dinamakan sebagai rintangan insulin terhadap glukosa (insulin resistance). Kesannya, fungsi insulin tidak lagi efektif dalam tindakannya menukarkan glukosa kepada glikogen, seterusnya menyebabkan kandungan gula tinggi dalam darah.
Penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi (hypertension) dan hati berlemak (fatty liver) boleh dikaitkan dengan pengambilan makanan yang mengandungi lemak berlebihan seperti makanan bergoreng. Tidak mengatakan bahawa pengambilan makanan berlemak berbahaya kepada manusia dan perlu dielakkan serta-merta kerana lemak juga penting untuk tubuh badan. Sebagai contohnya, lemak kolestrol sangat penting untuk tubuh badan menghasilkan hormon-hormon yang mengawal fungsi tubuh seperti aldosterone, testosterone, estrogen, dan progesteron.
Namun, pengambilan lemak yang berlebihan boleh menyebabkan pembentukan plak pada dinding salur darah. Kesannya, salur darah menjadi sempit dan menghalang laluan aliran darah menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Situasi ini boleh dianalogikan seperti berikut: sekiranya salur getah paip dipicit, aliran air akan menjadi sangat deras.
Hal yang demikian kerana tekanan air menjadi tinggi yang disebabkan oleh diameter salur getah yang sempit. Bayangkan keadaan ini berlaku dalam pesakit darah tinggi. Disebabkan itu, pesakit darah tinggi berisiko mengalami angin ahmar (haemorrhagic stroke) iaitu gangguan bekalan darah ke otak akibat salur darah pecah. Pembentukan plak turut membawa kepada komplikasi strok iskemia (ischemic stroke) iaitu gangguan bekalan darah ke otak akibat salur darah tersumbat.
Gout juga antara penyakit kronik yang tidak asing lagi dalam kalangan warga emas. Gout adalah disebabkan kesan jangka panjang pengambilan makanan tingi asid urik seperti ikan bilis dan sardin.
Dapat kita lihat bahawa pengambilan makanan yang tidak seimbang boleh memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya mengeluarkan makanan yang mengandungi glukosa dan lemak dalam diet seharian secara total, namun sebaliknya ambil dengan sekadarnya iaitu tidak berlebihan dan tidak kurang daripada amaun yang sepatutnya diperlukan oleh badan. Allah juga menitikberatkan pengambilan makanan yang tidak berlebihan seperti yang termaktub dalam surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud:
“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid dan makan serta minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang berlebihan”
Solusinya, kita hendaklah mengambil makanan bernutrisi dan seimbang agar tubuh badan dapat berfungsi secara optimum seterusnya dapat menghindari daripada penyakit-penyakit kronik. Namun, kepada pesakit-pesakit yang telah pun menghidapi penyakit kronik, adalah disarankan untuk mentaati nasihat-nasihat yang diberikan oleh doktor terutamanya dalam pantang makanan dan mengambil ubat yang telah dipreskripsikan.
Para pegawai perubatan telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk semua pesakit. Menurut laporan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun 2022, program MENANG telah ditubuhkan dengan objektif memfokuskan kepada pengurusan pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik.
Kesimpulannya, bak kata pepatah Inggeris, we are what we eat. Setiap makanan yang masuk ke perut akan menjadi darah daging kita. Al-Harith bin Abi Kaladah yang merupakan salah seorang ahli perubatan Arab turut menyatakan bahawa perut itu lubuk penyakit. Oleh itu, amalkan gaya pemakanan makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
Penulis: Nur Iesyah Binti Abdul Razak, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.