Thursday, July 25, 2024
HomeKehidupanKasihnya Ibu

Kasihnya Ibu

Semalam saya berkesempatan pulang ke rumah mak. Perasaan tidak dapat diterjemah dengan kata-kata kerana sudah hampir 6 bulan kami tidak bersua kerana larangan merentas negeri. Tempat tinggal saya tidaklah begitu jauh dengan rumah mak tapi dipisahkan oleh sempadan negeri.

Selalunya kami hanya berbual di telefon. Semalam mak ada temu janji untuk mengambil vaksin tapi saya dimaklumkan mak demam sejak dua hari yang lepas. Mak tinggal seorang tetapi ada seorang adik yang tinggal agak hampir dengan kawasan rumah mak. Dialah yang selalu menziarahi mak kerana kami berempat tinggal di negeri yang lain. Saya beritahu mak, saya akan tetap balik berjumpa mak walaupun keadaan mak tidak mengizinkan untuk menerima vaksin tersebut.

Mak sudah mencecah usia 68 tahun. Dia jarang jatuh sakit sebenarnya. Mak wanita yang cekal. Perbezaan usia yang agak ketara dengan arwah bapa saya, membuatkan mak yang bekerja keras untuk menampung keluarga.

Namun mak tak pernah mengabaikan pendidkan kami berlima. Saya masih ingat ketika menunggu keputusan SPM, saya memutuskan untuk terus bekerja dan tidak mahu menyambung pelajaran. Mak dengan nada tegas langsung tidak membenarkan saya berbuat demikian. Dia mahu saya belajar sehingga peringkat yang paling tinggi.

Mak pada zaman mudanya, seorang yang garang. Saya dan adik pernah dikejar keliling rumah kerana leka bermain hingga lewat petang. Mak yang juga guru mengaji Al-Quran itu amat tegas dengan anak-anak muridnya lagi kan anaknya sendiri. Takut benar saya bila sampai giliran untuk mengaji di depan mak. Pasti mak akan menggunakan senjata tajamnya yang saya panggil “ketam batu”. Ah! Sakitnya dicubit begitu. Pedih!

Saya tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata atau perbuatan mak. Jasanya mengandung, menjaga dan membesarkan kami lima beradik pasti takkan pernah terbalas. Asuhan dan didikan mak yang menjadikan kami di tempat kami berada sekarang.

Walaupun mak selalu berkata dia tiada harta atau sanak-saudara, dia bekalkan kami dengan ilmu agar kami beroleh kehidupan yang baik. Doa dari mak tak pernah berhenti mengalir kepada kami, anak-anaknya. Terima kasih mak.

Saya tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa mak. Mak umpama matahari yang menerangi hidup kami. Tanpa mak, dunia gelap-gelita. Saya berdoa selalu kepada Allah agar mengurnia nikmat kesihatan dan keberkatan hidup kepada mak. Saya akur bahawa ajal itu pasti tiba tetapi saya terus berdoa agar mak  dipanjangkan usia, beroleh bahagia dunia dan akhirat. Kami sayang mak sampai syurga.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular