Setiap manusia di muka bumi ini tidak terlepas daripada melakukan kemungkaran dan dosa termasuk umat Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak Adam melakukan dosa dan yang terbaik dari mereka yang berdosa adalah mereka yang bertaubat.” [Ibn Majah, 4392].
Persoalan yang timbul adalah mengapa manusia selalu melakukan dosa? Jawapannya sudah ada di dalam Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu dalam Surah An-Nisa’ yang bermaksud; “… manusia diciptakan lemah.” [Quran 4:28] di mana manusia itu sifatnya lemah fizikal, lemah azam, lemah kesabaran dan lemah iman jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain seperti malaikat yang selalu patuh dan taat kepada perintah Allah SWT.
Namun begitu, manusia yang lemah itu dikurniakan jalan taubat dek kerana kasih dan cintanya Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah az-Zumar yang bermaksud; “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” [Quran 39: 53-54].
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah merindukan orang-orang yang telah berbuat dosa untuk meminta keampunan, belas kasihan dan rahmat dari-Nya. Allah SWT membuka pintu pengampunan seluas-luasnya bagi orang yang menitiskan air mata keinsafan kerana ingin kembali kepada-Nya.
Oleh itu, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah kerana selagi nyawa dikandung badan, keampunan Allah itu tidak terbatas meskipun dosa seseorang itu sebanyak buih-buih di lautan.
Seseorang hamba Allah itu tidak seharusnya merasa kosong dan sedih ketika kerana berfikir bahawa Allah tidak akan menerima dan mengampuni dosa yang telah dilakukan atau merasakan diri tidak layak untuk meminta keampunan dari-Nya.
Selain menyesali perbuatan dosa dengan taubat nasuha, terdapat juga usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi orang yang ingin bertaubat bagi memudahkan taubat diterima Allah iaitu:
1. Memohon keampunan dan beristighfar
2. Menyesali segala perbuatan
3. Berjanji tidak akan mengulangi
4. Memperbanyakkan amalan soleh
Kelebihan Orang Bertaubat
Seseorang yang ikhlas bertaubat memperoleh banyak kebaikan seperti menerima ketenangan jiwa. Jiwa manusia secara fitrahnya diciptakan untuk mencari kedamaian dan ketenangan dan hanya mampu diperolehi jiwa-jiwa manusia yang bertaubat dan selalu mengingati Allah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud; “Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.” [Ahmad, 18006].
Pelaku maksiat akan selalu merasa gelisah, dihantui oleh dosa-dosa mereka. Hal ini kemudiannya menyebabkan hati mereka kelam dan bertambah gelap dengan sebab dosa yang berterusan sehingga sukar untuk mendapat cahaya dan petunjuk Ilahi. Akhirnya mereka bergelumang dengan dosa dan menjadi sebati dengan maksiat dan dikhuatiri tidak sempat untuk bertaubat kepada Allah sebelum mati menjemput.
Selain itu, Allah akan memberi ganjaran kepada mereka yang bertaubat atas dosa-dosa mereka seperti apa yang difirmankan Allah dalam Al-Quran dalam Surah Nuh, “Maka aku berkata (kepada mereka), “Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, Sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu.” [Quran 71: 10-12].
Ayat di atas menunjukkan bahawa ganjaran Allah terhadap orang-orang yang kembali kepada jalan taubat ini sudah diturunkan oleh Allah di dunia malahan apa lagi di akhirat kelak.
Ganjaran di dunia yang digambarkan dalam ayat ini ialah perluasan pintu rezeki di mana orang-orang yang bertaubat dan mentaati perintah Allah ini mendapat berkat rezeki yang melimpah, diturunkan air hujan dari langit, diberikan kesuburan tanah dan tanaman, dan dikurniakan harta dan anak-anak.
Kesimpulannya, sesungguhnya, rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas sehingga tidak seharusnya seorang hamba berputus asa dengannya dan keindahan taubat itu sebenarnya wujud bagi hamba-hamba Allah yang setulusnya mencari keredhaanNya dan berusaha sebaik mungkin bagi mengetuk pintu-pintu langit dan memperoleh keindahan taubat.
Penulis; Khatijah Najihah binti Ramli, Pelajar Tahun 2 Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.