Sunday, March 19, 2023
HomeArtikelKemurungan Tanda Lemah Iman?

Kemurungan Tanda Lemah Iman?

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu kemurungan terutama dalam suasana pandemik ini.

Pada tahun 2019, berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan di Malaysia, kira-kira 2.3 juta orang mengalami kemurungan pada satu tempoh dalam hidup mereka.

Kelaziman kemurungan di Malaysia dianggarkan pada tahap 8% hingga 12% secara keseluruhan dan dialami oleh kira-kira 20% dalam kalangan orang dewasa berusia 13 hingga 17 tahun. Namun, itu sewaktu pandemik belum berlaku.

Mutakhir ini, banyak tersiar di akhbar-akhbar dan media sosial berikutan dengan kes bunuh diri gara-gara kemurungan yang dihadapi oleh mangsa.

Apakah Faktor Yang Mendorong Kepada Kemurungan?

Kemurungan adalah gangguan perasaan yang dihadapi oleh seseorang sehingga menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Penyakit ini boleh dialami oleh semua orang tanpa mengira usia dan mengenal jantina seperti kanak-kanak dan remaja.

Banyak faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan seperti trauma, tekanan besar yang pernah dihadapi, sejarah kemurungan keluarga dan penggunaan media sosial yang berlebihan sehingga boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang terlampau atau buli siber.

Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan juga disebabkan oleh perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia seperti Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine. Akan tetapi, kemurungan semestinya berpunca daripada gaya dan corak pemikiran seseorang tentang persepsi mereka terhadap diri sendiri, masyarakat dan kehidupan.

Adakah Lemah Iman Juga Punca Kemurungan?  

Ramai yang menganggap bahawa lemah iman merupakan punca utama seseorang mengalami kemurungan tetapi tidak kalah juga, ramai yang menafikan kenyataan tersebut.

Terdapat segelintir masyarakat yang berfikiran sedemikian berkemungkinan kerana mereka menganggap bahawa seseorang yang mengalami kemurungan adalah disebabkan mereka tidak redha dengan ketentuan yang Allah tetapkan dalam hidup mereka dan tidak tawakkal sepenuhnya kepada Allah terhadap perjalanan hidup mereka di dunia ini.

Pemikiran bahawa lemah iman merupakan faktor utama kemurungan perlu dibuang dalam kalangan masyarakat terutamanya kerana ianya tidak benar sama sekali.

Hal ini dapat dilihat dengan kisah yang disebutkan dalam al-Quran di dalam suruh Yusuf ayat 8 hingga 18 tentang Nabi Yusuf AS, di mana Nabi Yusuf AS merupakan anak kesayangan Nabi Ya’qub AS, sehingga mengakibatkan saudara-saudaranya yang lain berasa iri hati dan dengki terhadap Nabi Yusuf AS.

Kemudian, suatu hari, saudara-saudaranya merancang untuk membuang Nabi Yusuf AS dari kehidupan mereka. Mereka menyusun strategi dengan lancar sekali untuk menyingkirkan Nabi Yusuf AS, dan dengan izin Allah, rancangan tersebut berhasil. Nabi Yusuf AS telah terperangkap di dalam sebuah perigi seperti mana yang telah dirancang oleh saudara-saudaranya yang berasa dengki terhadap dirinya itu.

Sejak saat itu, Nabi Ya’qub AS dirundung kesedihan yang berpanjangan kerana kehilangan putra tercintanya iaitu Nabi Yusuf AS. Sepanjang hari dia menangisi kepergian Nabi Yusuf AS dan akhirnya dia menjadi buta.

Maka, adakah seorang nabi yang mulia seperti Nabi Ya’qub mempunyai iman yang lemah sehingga dia buta kerana menangisi kepergian putera kesayanganya itu sedangkan dia tahu semua yang berlaku adalah dengan izin Allah?

Semestinya tidak, jadi jelaslah bahawa lemah iman bukan faktor utama kepada kemurungan.

Namun, justeru kerana lemahnya sokongan moral daripada orang sekeliling, yang malah menganggap orang yang kemurungan mempunyai sakit jiwa, atau mengatakan mereka merupakan golongan yang kurang imannya, kurang bertaqwa dan kurang gigih.

Rendahnya pemahaman masyarakat terhadap masalah mental ini menyebabkan keadaan orang yang mengalami kemurungan bertambah teruk dan trauma untuk mengadu kepada orang yang mereka percaya. Lalu, menyebabkan orang kemurungan lebih cenderung menyembunyikan perasaan mereka dan malu untuk mendapatkan rawatan.

Kendatipun demikian, kemurungan boleh menyebabkan iman seseorang lemah dengan mempersoalkan segala perkara yang telah ditakdirkan kepadanya dan merasakan bahawa Allah tidak adil kepada dirinya.

Bagaimanakah Kemurungan Boleh Mempengaruhi Iman?

1.     Kurang Beribadah

Kemurungan boleh menyebabkan seseorang sentiasa rasa tidak bermaya dan tidak bersemangat untuk meneruskan hari-hari yang berikutnya.

Dengan itu, seseorang itu mungkin melakukan sesuatu perkara dengan sambil lewa atau yang lebih teruk tidak melakukan apa-apa pun, misalnya tidak solat atau melewatkan solat.

Mereka juga berkemungkinan besar untuk merasakan bahawa Allah tidak menyayangi mereka dan tidak mendengar doa mereka jadi untuk apa lagi mereka beribadah.

Jika perkara ini berlaku secara terus-menerus dalam keadaan tersebut, maka ianya akan semakin menjauh dari Allah dan keadaan mental mereka akan lebih parah.

2.     Terdedah Kepada Hasutan Syaitan

Kemurungan akan membuatkan otak bekerja lebih keras dengan berfikir perkara-perkara negatif dari biasanya dan lebih sukar untuk mengawalnya. Emosi dan mental akan selalu dipenuhi dengan hal-hal negatif hingga membawa kepada perasaan benci terhadap diri sendiri.

Ketika itulah, kita kan dipenuhi dengan bisikan syaitan sehingga boleh menyebabkan kita melakukan perkara di luar jangkaan seperti bunuh diri.

Terkandung di dalam al-Quran, surah An-Nisaa ayat 29, Allah S.W.T berfirman bahawa “Dan janganlah kamu bunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu“.

Dalam hadis juga riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda, “Mereka yang sebelum kamu, ada seorang lelaki yang mengalami luka dan tidak tahan untuk menanggung deritanya, kemudian diambilnya pisau, lalu menorehkan ke urat nadi tangannya sehingga darah keluar dan tidak berhenti mengalir sehinggalah menemui ajalnya. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah mendahului-Ku dengan (membunuh) dirinya, oleh itu Aku mengharamkan baginya memasuki syurga.”

Justeru, walaupun kita mengalami kemurungan yang teruk, sentiasalah beribadah dan jangan putus harap kepada Allah agar iman kita sentiasa kuat dan dapat elakkan daripada membunuh diri.

Cara Mengatasi Kemurungan

Tidak dinafikan pentingnya peranan agama dalam memberi kekuatan kepada seseorang  dalam mencegah kemurungan untuk terus bertahan, menerima qada dan qadar, percaya kepada hikmah disebalik ujian yang diberikan Allah.

Namun ia juga mesti disertakan bersama usaha dalam merawat mereka yang menghadapi kemurungan ini. Celakalah orang yang hanya berdoa dan bertawakkal kepada Allah dalam sesuatu perkara tanpa berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya.

Rasulullah pernah berpesan kepada seorang sahabat yang meninggalkan untanya untuk pergi selesaikan sesuatu urusan. Sahabat tersebut hanya membiarkan untanya tanpa diikat terlebih dahulu dengan alasan, beliau bertawakkal kepada Allah bahawa Allah lah yang akan menjaga untanya.

Lalu, Rasulullah pun menasihati sahabat tersebut agar ikatlah tali unta itu terlebih dahulu, barulah beliau bertawakkal kepada Allah.

Intihannya, betapa pentingnya usaha datang seiring dengan tawakkal dan bukan hanya usaha semata atau tawakkal semata.

Persoalanya, apakah langkah- langkah yang perlu diambil apabila kemurungan ini berlaku, berdiam diri bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing- masing. Setiap individu perlu cakna akan masalah ini. Caranya adalah :

  1.  Individu tersebut meluahkan perasaannya atau perkara yang membelenggu dirinya kepada orang yang dipercayai.

Tamsilnya kepada kawan baik, guru, ibu bapa dan adik beradik tentang masalah yang dihadapi. Dengan ini, secara langsung mereka yang berasa murung dapat menghilangkan tekanan dan bebanan yang ditanggung dan berasa lega.

Bagi mereka yang mendengar masalah orang yang kemurungan haruslah memberi nasihat dan sokongan moral. Malahan, mereka tidak seharusnya menjadi mulut tempayan atau menghakimi mereka berdasarkan cerita mereka.

  • Bergaul dengan orang yang positif.

Hal ini demikian kerana mempunyai orang yang positif di sekeliling merupakan orang yang boleh menerima luahan positif mahupun negatif dari seseorang. Mereka dapat memberi pandangan dan sokongan yang positif kepada individu yang mengalami kemurungan ini.

Kesannya, pandangan dan sokongan mereka dapat membina keyakinan diri individu tersebut untuk menghadapi masalah pada masa akan datang.

Sekiranya individu kemurungan ini bergaul atau menceritakan pada orang yang salah, akibatnya, masalah kemurungan mereka akan bertambah teruk malah ditambah pula dengan trauma untuk memberitahu masalah kepada sesiapa kerana risau dan takut dihakimi oleh seseorang.

  • Mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kemurungan boleh dikurangkan dengan melakukan senaman secara berkala dan mengamalkan diet yang seimbang. Melakukan senaman selama 30 minit setiap hari akan mempunyai impak yang sangat bagus bagi fizikal dan mental individu.

Bersenam boleh membuatkan kita rasa bermotivasi, meningkatkan kecerdasan otak dan kecergasan badan dan juga membuatkan lebih bertenaga untuk mengharungi hari-hari seterusnya. Mengamalkan pemakanan mengikut piramid makanan, memberikan gizi yang seimbang dan sihat untuk tubuh badan kita.

  • Mendapatkan rawatan yang lebih lanjut dengan pihak bimbingan dan kaunseling atau psikiatri.

Masalah kemurungan biasanya boleh diatasi secara psikoterapi oleh ahli-ahli psikologi. Kaedah ini bukan sahaja dapat merawat masalah kemurungan bahkan merawat penyakit lain seperti masalah personaliti dan kecelaruan tingkah laku.

Doktor psikiatri juga akan membekalkan ubat-ubatan anti kemurungan yang akan memberikan rangsangan terhadap otak sebagai penenang untuk individu tersebut. Akan tetapi, individu yang mengalami kemurungan juga boleh mendapatkan rawatan dengan sesi bimbingan dan kaunseling secara percuma bagi pelajar-pelajar.

Pendekatan ini juga amat sesuai bagi mereka yang kurang selesa untuk bercerita masalah kepada orang terdekat kerana bimbang akan dihakimi oleh mereka kerana pihak bimbingan dan kaunseling telah dilatih untuk lebih memahami individu-individu yang mempunyai masalah kemurungan tanpa menghakimi dan memberitahu orang lain tentang perkara tersebut.

Tuntasnya, dengan melihat kepada peningkatan kes-kes kemurungan maka sudah sewajarnya setiap individu memainkan peranan dalam menghindari dan mengatasi masalah kemurungan.

Sebagai seorang masyarakat yang prihatin juga, janganlah menghakimi seseorang yang mengalami kemurungan dengan mereka mempunyai iman yang lemah malahan, bantulah mereka ini untuk merawat kemurungan mereka bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak sewajarnya berlaku.

Bagi individu yang mengalami kemurungan, hendaklah sentiasa berusaha mencari cara dan meminta pertolongan Allah bagi merawat kemurungan tersebut supaya tidak bertambah teruk sehingga boleh menyebabkan kematian.

Penulis; Ummi Syakirah Binti Ahmad ‘Adlan, Pelajar tahun 2, Universitti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular