Islam, agamaku. Sejauh mana pun seseorang pergi, Islam sentiasa ada di sekeliling diri. Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek sehinggakan menjadi panduan hidup. Akan tetapi, wujud juga Muslim yang salah dan menuduh Islam mengajar perkara yang salah itu. Disebabkan itu wujudnya Islamophobia, di mana orang khuatir dan takut akan Muslim dan lebih takut akan ajaran Islam. Ini menjauhkan lagi orang daripada agama yang menyeluruh ini.
Solusi kepada perkara ini adalah para Muslim mengamalkan Islam yang sebenar-benarnya dan Islam yang sebenar adalah Islam yang sederhana. Tidak radikal dan tidak pasif tidak melakukan apa-apa. Kesederhanaan Islam adalah perkara yang menyempurnakan agama itu sendiri. Sekiranya dibedah isu semasa dan meletakkan pandangan Islam, kesederhanaan wujud dalam reaksi yang sepatutnya ditunjukkan oleh umat Islam terhadap isu tersebut.
Antara isu yang akan dibedah ialah isu Maula Muhammad Amin al-Idris, obesiti dan pengguguran anak.
Maula Muhammad Amin Al-Idris
Adakah ibadah ini suatu isu? Ya sekiranya ianya dilaksanakan secara berlebihan dan di tahap obses. Baru-baru ini isu mengenai Maula Muhammad Amin al-Idris, yang mengaku dirinya sebagai keturunan baginda Nabi Muhammad SAW telah mengambil tempat di isu sensasi di sosial media.
Segelintir Muslim menjadi obses dan bertindak untuk melaksanakan aktiviti menyerupai khurafat kepada Maula Muhammad seperti mencium dan menggantung gambarnya dan paling teruk adalah bertindak menyembah Maula. Ada juga yang melabel Maula ini sebaik-baik manusia dan tidak berdosa.
Apakah pandangan Islam terhadap perkara ini? Semestinya perkara tersebut salah di sisi agama. Seandainya dia sebenar-benar keturunan nabi, Maula tidak akan membiarkan umat Islam melakukan sebegitu kepada dirinya dan segala label akan dinafikan oleh dirinya sendiri. Sepatutnya reaksi sebagai seorang Muslim terhadap perkara ini adalah besederhana seperti yang diamalkan oleh Islam sendiri.
Sederhana apabila mengetahui individu yang merupakan keturunan nabi. Tidak perlu melabel dirinya sebagai orang yang tidak berdosa namun sebagai manusia. Tidak perlu menjadi obses kepada dirinya sehingga dirinya dianggap sebagai pemberi berkat.
Obesiti
Masalah obesiti di negara ini amatlah merisaukan. Kedudukan Malaysia sebagai negara teratas dalam bilangan tertinggi dengan warga yang obes dan negara dalam top 100 adalah suatu perkara yang memalukan. Walhal, kebanyakan warga Malaysia adalah penganut agama Islam, merekalah yang menambahkan bilangan warga negara yang obesiti. Maka timbul persoalan, apakah pandangan Islam dalam isu ini?
Cara pemakanan seorang Muslim diingatkan agar sentiasa besederhana. Peringatan itu termasuklah daripada hadis riwayat At-Tarmizi, sabda Baginda SAW:
“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.”
Hikmah daripada hadis ini adalah makan secara besederhana. Lagi-lagi sekarang di bulan puasa, pastinya terdapat pelbagai jenis juadah berbuka yang hendak dicuba. Lalu, pergilah ke bazar Ramadan, tonton tutorial memasak di laman media sosial oleh Khairul Aming dan ditambah pula dengan rasa lapar setelah berpuasa selama 13 jam, meja kita akan dipenuhi dengan makanan yang kita jamin akan habis.
Namun, baru beberapa suap setelah berbuka, sudah rasa kenyang. Apa nak dibuat dengan makanan yang lebih di atas meja itu? Ramai yang bertindak untuk membuang makanan lebihan itu dan berlakulah pembaziran amalan syaitan.
Dengan ajaran ini juga, pelbagai penyakit boleh dielak terutamanya penyakit berkenaan sistem pemakanan. Dalam Islam, perut ini dilabel sebagai sumber penyakit sekiranya tidak dijaga dengan elok iaitu dengan cara pemakanan yang baik dan sederhana.
Penyakit seperti gastrik, obesiti dan ketidakhadaman datang daripada amalan pemakanan yang berlebihan dan tidak mengikut kuantiti kumpulan makanan yang betul. Pemakanan yang sederhana perlulah memenuhi keperluan makanan daripada setiap kumpulan makanan dan merangkumi 1/3 daripada isi perut seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Pengguguran Anak
Aspek seterusnya adalah tentang pengguguran anak yang menjadi isu besar satu dunia lebih-lebih lagi di negara Amerika Syarikat. Isu tersebut adalah kesan daripada pengharaman pengguguran anak dia beberapa wilayah besar di negara tersebut melalui penghakiman Roe lawan Wade. Selepas keputusan tersebut dikeluarkan, rakyat negara tersebut berbelah bahagi kepada dua kumpulan iaitu Pro-life atau Pro-choice. Pro-life atau pro kehidupan adalah kumpulan yang tidak menyokong pengguguran dan Pro-choice atau kumpulan yang memilih pilihan wanita sama ada mahu menggugurkan atau pun tidak.
Di manakah kedudukan Islam di dalam isu ini? Sebagai seorang muslim, agama yang mengamalkan kesederhanaan ini meletakkan kedudukan kita di tengah antara pro-life dan pro-choice melihat pada keadaan. Pengguguran bayi dalam Islam berpegang pada prinsip pengguguran sebelum 4 bulan bayi dalam kandungan dengan syarat bayi itu membahayakan nyawa si ibu yang mengandungkan bayi itu. Seandainya, seorang ibu ingin menggugurkan kandungannya atas sebab yang munasabah seperti kesihatan si ibu akan terganggu yang boleh membawa ke arah kematian, maka ia dibolehkan.
Sekiranya pengguguran anak itu dilaksanakan disebabkan oleh faktor yang tidak membahayakan si ibu seperti kewangan atau tidak bersedia, maka pengguguran adalah tidak dibenarkan. Nyawa bayi itu adalah kesan daripada pilihan si ibu dan si bapa yang bertindak melakukan hubungan seksual, sekiranya mereka boleh melakukan hubungan tersebut maka mereka perlu sedar akan tanggungjawab yang mereka akan pikul.
Penulis: Aisyah Humairah, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.