Hidup di dunia yang fana ini bagaikan satu anugerah yang terindah dikurniakan oleh Allah SWT atas berbagai-bagai bentuk nikmat yang diberikan oleh Sang Pencipta kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya di atas muka bumi ini. Kita sebagai manusia yang diberikan nikmat akal fikiran seharusnya menzahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Sang Pencipta atas segala nikmat yang diberikan tanpa bayaran ini.
Namun, sifat manusia yang lemah dan lalai ini membuatkan kita sering alpa atas dua nikmat yang sangat berharga dalam hidup di dunia ini iaitu nikmat sihat dan masa lapang sehingga kita mengabaikannya dengan penuh kerelaan.
Dari Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda:
Namun demikian, wujudnya beberapa individu yang majoritinya berkemungkinan hanya memandang tinggi kepada aspek kesihatan dari segi jasmani iaitu merujuk kepada fizikal diri luaran yang diambil berat untuk terus dijaga dan disayangi. Turut mengecewakan lagi apabila mungkin terdapat segelintir sahaja individu daripada majoriti tersebut yang langsung tidak ambil tahu terhadap kewujudan kesihatan rohani iaitu kesihatan yang berpaksikan di dalam jiwa sanubari seseorang yang merupakan tonggak dalam kehidupan seharian yang patut juga dipandang serius penjagaannya.
Jika kita telusuri kembali kisah-kisah sejarah Islam yang terdahulu di mana pada zaman Nabi Muhammad SAW yang menyaksikan ketaatan dan kepatuhan mereka yang disematkan dalam hati mereka untuk terus mencari keredaan daripada Allah SWT membuahkan pelbagai hasil yang bermanfaat kepada mereka seperti mana yang digambarkan dalam peristiwa perang-perang yang diharungi mereka yang diberikan kemenangan daripada Allah SWT atas ketakwaan yang dizahirkan oleh mereka semua.
Kisah peristiwa-peristiwa yang seperti inilah seharusnya dijadikan pedoman buat kita sebagai suri teladan di generasi yang sudah dikatakan akhir zaman ini yang sudah semestinya tahap keimanan kita yang semakin tidak kukuh jika dibandingkan dengan kualiti keimanan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat.
Walau bagaimanapun, usahlah manusia menjadikan perkara tersebut sebagai hujah mereka untuk mereka terus berhenti daripada memberi penelitian yang tinggi terhadap kesihatan jiwa mereka. Hal ini kerana kesihatan dalaman yang gagal dikawal dengan baik inilah yang akhirnya memberi peluang kepada gangguan serangan makhluk halus untuk menguasai diri manusia tanpa mereka sedar.
Perkara yang lebih malang sekali apabila penguasaan makhluk halus ini berleluasa sehinggakan makhluk ini berjaya mencapai hajatnya yang berhasrat untuk memenuhkan ahli neraka dengan sepenuh-penuhnya dalam kalangan manusia apabila berlakunya kes-kes bunuh diri susulan daripada hadirnya penyakit mental dalam diri manusia yang berpunca daripada penjagaan kesihatan rohani yang dipandang serong oleh mereka.
Berdasarkan statistik kesejahteraan mental yang diterbitkan oleh Harian Metro, menunjukkan 29 peratus daripada jumlah populasi negara mengalami masalah gangguan mental.
Keredaan dan ketakwaan kepada Sang Pencipta perlulah dipasakkan dalam hati setiap manusia kerana itu merupakan kunci kepada kebahagiaan hidup di dunia ini. Setiap cabaran dan ujian yang diberikan oleh Allah SWT tidak lain tidak bukan hanyalah kerana Allah sangat menyayangi makhluk-Nya untuk manusia terus mendampingi Allah SWT dalam segala perkara sama ada perkara yang kecil mahupun yang besar untuk memohon dan merayu kepada Allah SWT dalam memberikan petunjuk bagi mengharungi dunia yang sementara ini. Jika manusia berfikir bahawa mereka mempunyai banyak masalah yang sangat besar, tetaplah ingat bahawa Allah Sang Pencipta itu adalah Allah Yang Maha Besar yang mudah sahaja untuk menjadikan sesuatu perkara itu selesai.
Peribahasa melayu ada mengatakan bahawa meluntur buluh biarlah dari rebungnya yang memberi maksud kepada manusia untuk memulakan setiap perkara daripada awalnya. Begitulah juga yang ditekankan kepada ibu bapa yang berperanan membentuk anak-anak mereka seawal bayi dalam menanamkan perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. Ajarkanlah kepada mereka bahawa hidup di dunia ini tidak lain tidak bukan hanyalah menjadikan Allah sebagai nombor pertama dalam diri mereka. Kesannya, perasaan ikhlas dan rela ini akan mula bertumbuh dalam diri kanak-kanak yang membesar dengan sentiasa berasa reda dan takwa kepada Allah SWT.
Sifat yang telah tertanam ini penting untuk diwujudkan dalam diri setiap manusia agar mereka dapat percaya bahawa setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini ialah satu perkara yang sangat terbaik dalam kehidupan mereka walaupun setiap individu di dunia ini mempunyai jalan cerita yang berbeza-beza akan tetapi mempunyai rasa kebahagiaan yang sama dalam hidup di dunia ini apabila mencapai tahap keredaan Allah SWT.
Setiap ujian dan dugaan yang manusia tempuh di alam ini dapat mereka harungi dengan tabah dan ikhlas kerana perasaan mereka yang sangat percayakan keindahan hikmah yang tersembunyi di sebalik penat lelah dalam mengharungi ujian Allah SWT dengan tabah dan ikhlas. Turut tidak dilupakan manusia juga sudah kerap menjadi ayat al-Quran yang terakhir daripada surah al-Baqarah sebagai pegangan hidup mereka di dunia ini yang bermaksud:
Sikap keredaan dan keikhlasan manusia yang dizahirkan kepada Sang Pencipta inilah yang menjadi asbab kepada mereka beroleh kecemerlangan sama ada di dunia ini mahupun akhirat. Bercerita mengenai kecemerlangan tidaklah hanya tertumpu pada kecemerlangan yang dikatakan dipandang oleh masyarakat setempat seperti beroleh pekerjaan yang ditawarkan dengan gaji yang lumayan. Sebaliknya, konsep kecemerlangan ini boleh difahami secara meluas yang tidak hanya terhad kepada keduniaan semata-mata akan tetapi kejayaan yang amat bernilai sekali apabila manusia mampu mencapai tahap keredaan Allah SWT.
Hal ini selari dengan pepatah yang sering didengari oleh umat manusia iaitu jika manusia hidup di dunia ini hanya memandang dan terus mengejar ke arah keduniaan, maka dunia sahajalah yang mereka tangkap. Walau bagaimanapun, berlumba-lumbalah ke arah akhirat nescaya akhirat akan manusia temui dan lebih menguntungkan lagi apabila dunia yang turut mengikuti mereka.
Penulis: Muhammad Firas Bin Mohamed Ismail, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.