Amalan puasa adalah merupakan salah satu praktik yang amat penting dalam agama Islam. Amalan berpuasa ini diamalkan oleh semua Masyarakat yang beragama Islam. Dalam Islam, puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, tetapi juga melibatkan pengawalan diri daripada melakukan perkara kejahatan. Amalan ini dijalankan sebagai simbol ibadah kepada pencipta iaitu Allah SWT dan merupakan salah satu daripada 5 rukun Islam.
Puasa di bulan Ramadan adalah merupakan satu kewajipan bagi setiap muslim. Selain daripada mematuhi perintah agama, puasa juga dapat membuka ruang dan peluang kepada umat Islam meningkatkan keimanan, kesedaran sosial dan juga mendekatkan diri kepada Allah. Dalam konteks ini, artikel ini akan meneliti amalan berpuasa dalam Islam dari aspek kesihatan dan memahami bagaimana ia dapat memberi impak dalam kehidupan sehari-hari.
Berikut merupakan beberapa manfaat amalan berpuasa dari aspek kesihatan :
1. Penurunan Berat Badan
Puasa dapat mengurangkan berat badan melalui beberapa mekanisma yang berkesan. Ketika seseorang individu sedang berpuasa, tubuh badannya menghadapi perubahan metabolik yang mendadak yang mengakibatkan peningkatan pembakaran lemak sebagai sumber tenaga utama. Dengan mengurangkan pengambilan kalori yang berlebihan dan meningkatkan penggunaan lemak sebagai bahan bakar, amalan berpuasa dapat membantu mencipta defisit kalori yang diperlukan untuk menurunkan berat badan.
Di samping itu, tubuh badan individu yang berpuasa menjadi lebih sensitif terhadap insulin, iaitu hormon yang bertanggungjawab untuk mengawal penggunaan glukosa dalam darah. Hal ini bermakna bahawa tubuh menjadi lebih berkesan dalam menggunakan glukosa daripada darah, menyebabkan peningkatan penggunaan glukosa daripada lemak sebagai sumber tenaga.
2. Pemulihan Sistem Pencernaan
Berpuasa membawa kesan positif terhadap sistem pencernaan melalui beberapa cara yang berkesan. Cara yang pertama adalah puasa dapat memberi rehat kepada sistem penghadaman. Puasa membenarkan organ-organ pencernaan seperti usus dan perut untuk berehat dan memulihkan daripada tekanan yang biasa dikenakan kepadanya semasa penghadaman makanan. Hal ini dapat membantu mengurangkan keradangan kepada organ pencernaan dan memperbaiki tisu-tisu yang rosak dalam salur pencernaan.
Selain itu, puasa juga menggalakkan pengambilan air yang mencukupi semasa waktu sahur dan berbuka puasa. Hal ini tidak langsung dapat membantu dalam proses hidrasi dan pemulihan sel-sel dalam salur pencernaan. Dengan membenarkan sistem pencernaan berehat, berpuasa memberikan peluang kepada badan untuk meningkatkan kesihatan sistem pencernaan secara menyeluruh.
3. Meningkatkan Kekuatan Mental Dan Emosi
Berpuasa dapat meningkatkan kekuatan mental dan emosi melalui beberapa cara yang berkesan. Pertama sekali, amalan berpuasa melibatkan pengawalan diri yang ketat, yang memerlukan ketabahan dan kesabaran. Dengan melatih kemahiran pengawalan diri yang ketat ini, seseorang individu tersebut dapat menguatkan kekuatan mental mereka, meningkatkan kemampuan untuk mengawal emosi dan keinginan yang muncul.
Selain itu, puasa juga dapat meningkatkan kekuatan mental melalui peningkatan fokus. Dengan mengurangkan gangguan daripada kemahuan untuk makan dan minum, individu cenderung untuk lebih fokus kepada aktiviti dan tugas yang dilakukan justeru dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti.
Pada masa yang sama, ibadah puasa juga menggalakkan individu untuk khusyuk semasa melakukan ibadah dan aktiviti keagamaan, seperti solat, membaca al-Quran, dan berzikir. Hal ini akan menghadirkan ketenangan emosi dan kepuasan spiritual. Dengan kombinasi faktor-faktor ini, jelaslah bahawa amalan berpuasa memberikan kesan positif terhadap kekuatan mental dan emosi dan membantu individu untuk mencapai keseimbangan dan kesejahteraan psikologi.
4. Peningkatan Kualiti Tidur
Puasa dapat meningkatkan kualiti tidur melalui beberapa cara yang berkesan. Cara yang pertama adalah dengan mengekalkan waktu berpuasa yang teratur, individu cenderung untuk mempunyai jadual tidur yang konsisten yang dapat membantu mengatur kitaran tidur mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kualiti tidur secara keseluruhan.
Selain itu, puasa juga menggalakkan pengurangan pengambilan kafein. Seperti sedia maklum, kafein adalah bahan yang dapat meningkatkan degupan jantung yang boleh mengganggu tidur. Dengan mengurangkan pengambilan kafein, degupan jantung individu tidak meningkat yang akan memudahkan individu untuk tidur lebih nyenyak.
Dalam pada itu, puasa juga membantu menambahbaik kualiti tidur dengan menggalakkan pemakanan yang lebih sihat dan seimbang. Semasa berbuka dan sahur, individu cenderung untuk memilih makanan yang berkualiti tinggi atau memasak di rumah. Sudah semestinya jika individu memasak di rumah, mereka akan memilih bahan-bahan memasak yang segar untuk memasak makanan yang berkhasiat. Sebagai contoh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan-makanan ini kaya dengan nutrien yang penting untuk kesihatan tubuh yang boleh membantu mengatur sistem tubuh badan untuk mudah tidur. Dengan kombinasi faktor-faktor ini, jelaslah berpuasa dapat membantu meningkatkan kualiti tidur secara keseluruhan dan memberikan kesan positif terhadap kesejahteraan dan prestasi harian individu.
Kesimpulannya, puasa dalam Islam membawa pelbagai manfaat yang meliputi aspek kesihatan fizikal, mental, dan spiritual. Dari segi kesihatan fizikal, amalan berpuasa dapat membantu meningkatkan metabolisma tubuh, menggalakkan penurunan berat badan, dan memperbaiki fungsi sistem pencernaan. Dalam konteks kesihatan mental dan emosi, amalan berpuasa dapat menguatkan kekuatan mental melalui latihan pengawalan diri dan meningkatkan semangat kerohanian melalui ibadah dan refleksi.
Secara keseluruhan, puasa bukan sahaja merupakan kewajipan yang dituntut dalam agama Islam, malah ia juga merupakan satu kaedah yang efektif dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan individu dalam kehidupan seharian. Dengan memahami manfaat puasa secara keseluruhan, umat Islam dapat menghayati amalan ini dengan penuh kesedaran dan penghayatan yang mendalam yang dapat menjadikannya sebagai satu aspek penting dalam pembangunan diri dan kesejahteraan umat.
Penulis: Nur Ahmad Zaffuan bin Zahari, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.