Setiap orang adalah unik dengan ciri dan perbezaan yang tersendiri. Begitu juga dengan anak-anak kita. Tetapi sebagai ibu bapa, bagaimanakah kita boleh menangani perbezaan ini, terutamanya apabila anak-anak kita memerlukan perhatian yang khusus? Bagaimanakah kita boleh membimbing mereka dalam dunia yang kadangkala tidak selalu mengalu-alukan kepelbagaian? Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, statistik pendaftaran orang kurang upaya (OKU) sehingga 31 Januari 2023 adalah sebanyak 637,537 orang dan 13% daripadanya terdiri daripada golongan yang berumur 12 tahun ke bawah.
Anak Istimewa atau lebih dikenali sebagai kanak-kanak kurang upaya sering kali mendapat pandangan yang negatif di kalangan masyarakat disebabkan oleh perbezaan keterampilan atau kebolehan untuk menguruskan diri sendiri dengan baik. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka bakal dikurniakan anak kurang upaya dan akhirnya mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang yang diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak yang baik. Anak Istimewa ini juga sering dipanggil sebagai anak cacat di mana hal ini boleh menimbulkan satu jurang taraf sosial yang besar dalam komuniti.
Apabila kita bercakap tentang menerima perbezaan, ia bukan sekadar kata-kata. Ia adalah mengenai pemerhatian, pemahaman dan penerimaan semua kualiti unik anak-anak kita, tanpa mengira keadaan atau perbezaan cabaran yang mereka hadapi.
Menerima perbezaan bukan sahaja termasuk menerima keadaan fizikal atau ketidakupayaan anak kita, tetapi ia juga termasuk dalam menerima keperibadian, minat dan cara mereka berinteraksi dengan dunia sekeliling. Hal ini juga membolehkan mereka menjadi diri mereka yang sebenar tanpa merasakan keperluan untuk menyembunyikan diri atau menyekat personaliti diri mereka yang menjadikan mereka unik.
Setiap kanak-kanak, tanpa mengira keadaan mereka, mempunyai hak untuk disayangi, dihargai dan diterima dengan hati yang terbuka. Ibubapa tidak seharusnya meletakkan had dalam pemberian kasih sayang dan haruslah sama rata dengan anak-anak yang lain. Hal ini dapat membantu mereka dalam proses pembelajaran dan pembentukan emosi yang stabil. Kanak-kanak istimewa mungkin mempunyai keperluan khas tetapi mereka juga mempunyai kecantikan, kecerdasan dan keberanian yang luar biasa.
Kadangkala sebagai ibu bapa atau penjaga, kita mungkin berasa terganggu oleh tanggapan sosial atau norma yang mungkin menekan kita untuk “menormalkan” anak-anak kita. Namun begitu, dengan menerima dan menghargai keadaan, kita belajar untuk melihat keindahan dan keunikan situasi anak kita dan menghargainya sebagai sebahagian daripada identiti mereka.
Jika dilihat dari sudut yang lain, tingkah laku anak istimewa ini juga tidak ubah seperti kanak-kanak normal yang lain di mana mereka juga pandai dalam bergurau dan bermain dengan rakan-rakan mereka. Walaupun cara mereka agak berbeza, tetapi mereka mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk menghiburkan diri sendiri dan juga orang lain.
Menyediakan persekitaran kondusif adalah penting untuk membantu anak-anak kita berkembang secara positif. Hal ini bermakna kita perlu mencipta ruang yang selamat, selesa dan memuaskan untuk anak-anak kita belajar dan membesar. Ia juga bermakna menyediakan akses dan sokongan yang diperlukan, seperti terapi fizikal, terapi pertuturan atau sokongan pendidikan khas. Apabila anak-anak kita berasa disokong, mereka akan lebih yakin untuk meneroka dunia di sekeliling mereka dan mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya melampiaskan emosi kita terhadap anak-anak terutamanya kanak-kanak kurang upaya kerana ia hanya akan memberi impak yang negatif terhadap pembentukan minda dan menjadikan mereka kurang keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunia sekeliling mereka.
Hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan anak-anak dapat menyediakan asas yang kukuh untuk membimbing anak-anak istimewa sepanjang perjalanan hidup mereka. Komunikasi terbuka, empati dan pemahaman adalah penting untuk membina hubungan yang mendalam dan bermakna dengan anak-anak kita.
Ini membolehkan kita lebih memahami keperluan, kehendak dan kebimbangan anak-anak kita, serta membantu mereka berasa, dihargai disayangi dan tidak berasa keseorangan. Dasar Kanak-Kanak Negara telah menyatakan bahawa setiap kanak-kanak, termasuk kanak-kanak kurang upaya, mempunyai hak untuk dilindungi daripada segala bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2016).
Namun demikian, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak kurang upaya mungkin tidak terjaga di bawah jagaan pihak lain selain dari ibu bapa mereka. Terdapat segelintir masyarakat yang tidak suka apabila terdapat orang OKU dalam lingkungan mereka. Masalah penderaan dan pembulian sering terdedah kepada kanak-kanak kurang upaya kerana mereka adalah target yang paling mudah untuk dipengaruhi oleh orang lain dan tidak tahu perkara yang betul dan salah dalam kehidupan mereka.
Hal ini juga boleh membawa kepada risiko untuk berlakunya penderaan seksual dan kes-kes jenayah yang lain seperti pengedar bahan haram dan aktiviti sosial yang tidak berfaedah. Hal ini hendaklah dibendung dengan segera supaya kita dapat mewujudkan suasana yang produktif dan kondusif untuk pengembangan dan tumbesaran mereka.
Secara keseluruhan, adalah penting untuk diingatkan bahawa kelemahan tidak selalunya menggambarkan ketidakupayaan sesorang itu. Selalunya, di sebalik kelemahan terletak kekuatan yang luar biasa. Kanak-kanak berkeperluan khas sering menunjukkan kepekaan, ketabahan dan keberanian yang luar biasa, yang merupakan inspirasi kepada kita semua. Dengan menerima perbezaan dengan kasih sayang tanpa syarat, kita belajar melihat kekuatan dalam kelemahan dan menghargainya sebagai bahagian penting dalam keunikan anak kita.
Seperti yang kita sedia maklum, terdapat ramai orang yang kelainan upaya yang dapat menunjukkan pencapaian yang sungguh mengharukan dalam pelbagai aspek. Dari bidang ekonomi, Prof Dr Ismail Salleh, seorang yang cacat penglihatan sejak lahir, berjaya menjadi Senator Pakar Ekonomi OKU pertama di Malaysia. Hal ini jelas membuktikan bahawa mempunyai perbezaan fizikal atau mental tidak menjadi satu halangan untuk seseorang itu mencapai kejayaan yang cemerlang.
Ringkasnya, menerima perbezaan dengan kasih sayang tanpa syarat untuk anak istimewa adalah perjalanan yang penuh dengan ganjaran, cabaran dan dugaan. Dengan kasih sayang dan sokongan tanpa syarat, kita boleh membantu anak-anak kita untuk mencapai potensi penuh mereka dan membantu mewujudkan dunia yang lebih inklusif, empati dan menghormati kepelbagaian.
Penulis: Nur Ain Farhani Binti Ghazali, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.