Wednesday, July 10, 2024
HomeArtikelMeneroka Kebaikan Hati Yang Bersih Dalam Setiap tindakan

Meneroka Kebaikan Hati Yang Bersih Dalam Setiap tindakan

Kebersihan hati adalah sinar yang mencerahkan dunia, dan ketika kita menyemai kebaikan dalam setiap tindakan, kita mencipta impak positif dalam kehidupan orang lain dan juga dalam diri sendiri. Hati yang bersih ini akan memberikan ketenangan dalam hidup seseorang itu serta menambahkan kekhusyukan dalam beribadah kepada Allah. Hal ini disebutkan dalam surah Asy-Syuara ayat 88 hingga 89 yang membawa maksud “iaitu pada hari harta dan anak-anak tidak berguna. Kecuali orang orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”. Ayat ini memberi makna bahawa harta dan keturunan yang dimiliki seseorang tidak dapat dimanfaatkan di akhirat kelak.

Namun, memiliki hati yang suci dan ikhlas hanya kerana Allah boleh memberikan kebaikan kepada dirinya. Hati yang bersih ini bermaksud hati yang sihat yang dimiliki oleh seorang muslim sejati tanpa memiliki sifat yang buruk terhadap orang lain seperti dengki dan iri hati terhadap kejayaan orang lain.

Oleh itu, artikel ini akan membahas beberapa amal kebaikan yang mudah yang kita boleh praktikkan bagi menyemai kebersihan hati dan mengintegrasikannya ke dalam setiap aspek kehidupan kita.

Pertama: Melakukan Amal Kebaikan Tanpa Mengharapkan Balasan

Amal kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas dan niat yang ditanam dalam hati dengan tulus, tidak akan mengharapkan balasan atau keuntungan yang akan diperoleh daripada orang lain. Malahan seseorang itu hanya mengharapkan keredaan dan pahala yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang ikhlas melakukan amal ibadah kerana Allah. Misalnya, sebagai seorang pekerja, sewaktu bekerja, kita perlulah melakukan suatu pekerjaan dengan niat yang tulus dan bersungguh-sungguh dengan tidak bersikap suka membodek atau mengampu majikan bagi mendapatkan sesuatu seperti kenaikan pangkat atau bonus yang lebih daripada pekerja lain.

Sekiranya seseorang itu mempunyai hati yang bersih dan telus, sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu cenderung dilakukan secara tidak serakah dan bersederhana dan mereka juga bersedia untuk membantu orang lain tanpa mengharapkan sebuah penghargaan atau ganjaran.

Sejurus itu, seseorang itu mampu mengisi dan membentuk hati yang bersih yang penuh dengan kebaikan dan tulus ikhlas daripada motif yang bercampur-baur, sekali gus dapat membantu menyebarkan kedamaian dan memupuk suasana yang positif dalam diri dan di sekeliling kita. Oleh itu, perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam melakukan sesuatu perbuatan ialah dengan tidak mengharapkan balasan semata agar tindakan yang dilakukan lebih ikhlas dan berkualiti.

Kedua:  Menjalinkan Hubungan Yang Harmoni

Umum mengetahui agama Islam sangat menitikberatkan dalam menjaga hubungan yang baik dengan orang di sekeliling. Hal ini kerana, memelihara hubungan yang harmoni merupakan cara yang efektif untuk menyemai kebaikan di dalam diri seseorang dan orang sekelilingnya. Kesedaran terhadap perasaan dan keperluan orang lain membantu mencipta keharmonian dalam hubungan sekali gus membentuk sifat yang terpuji seperti kasih sayang dan empati dalam diri seseorang itu.

Hal ini kerana, dengan merasai dan memahami kegembiraan, kesedihan serta cabaran yang dihadapi oleh seseorang itu misalnya jiran kita, dapat meningkatkan pemahaman kita terhadap kehidupan orang lain serta memupuk sikap bersyukur dalam diri. Ini mampu mengelakkan diri daripada memupuk sikap yang negatif dan buruk terhadap orang lain seperti iri hati, dendam dan berprasangka buruk yang menyebabkan hati penuh dengan keburukan.

Sifat buruk ini boleh membawa kepada ketegangan dan kegelisahan serta tidak aman dalam hidup yang dikelilingi dengan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan bangsa kerana saling bertelagah dan memburukkan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, dengan menjaga dan membentuk hubungan yang baik dengan orang lain mampu membentuk hati yang baik dan terpuji tanpa sifat-sifat yang buruk dan keji.

Ketiga: Menderma Dan Menghulurkan Bantuan

Sikap menderma bukan hanya tentang memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau harta, tetapi juga memberi dalam bentuk masa, perhatian, dan kasih sayang. Menjadi sukarelawan atau menyokong penyebab yang baik adalah cara untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat. Sikap seperti ini mencerminkan kebaikan hati seseorang dan kepekaan terhadap orang lain.

Ini membuka mata kita untuk memahami bahawa tidak semua orang berada dalam keadaan yang selesa dan senang, dan sekecilnya sumbangan yang kita berikan boleh memberi impak yang besar kepada mereka. Sikap menderma ini juga membantu dalam menyuburkan rasa syukur dalam diri kita terhadap setiap rezeki yang dikurniakan di mana kita suka berkongsi keberkatan dan rezeki yng diperolehi dengan orang lain seperti jiran tetangga, anak anak yatim dan kaum keluarga serta orang orang susah.

Justeru itu, perbuatan ini dapat menguatkan hati yang bersih, yang tidak hanya mementingkan diri sendiri tetapi juga ambil peduli terhadap kesejahteraan orang lain.

Secara keseluruhannya, melalui pemahaman dan amalan kebaikan seperti melakukan pekerjaan tanpa menharapkan balasan, menjalinkan hubungan yang harmoni dan menderma dan menghulurkan bantuan dalam meneroka kebersihan hati, kita tidak hanya membahagiakan orang lain tetapi juga mencipta kehidupan yang lebih bererti dan memuaskan.

Hati yang bersih ini mencerminkan nilai-nilai moral dan personaliti seseorang itu yang boleh membina imej diri yang lebih dipercayai dan dihormati oleh orang lain. Ianya memperkukuhkan integriti, mendorong sikap empati dan mencipta kedamaian dalam membangunkan sifat yang tulus dan bersih terhadap orang sekeliling.  

Akhir kalam, berdasarkan suatu kata-kata nukilan daripada al-imam Abu Idris al-Khaulany, bahawa hati yang bersih dalam balutan pakaian yang kotor itu lebih baik dibandingkan hati yang kotor dalan balutan baju yang bersih.

Penulis: Nurul Khairunnisa Binti Mohd Rizal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular