Monday, July 8, 2024
HomeArtikelMengekalkan Momentum Ibadah Di Bulan Ramadhan Sehingga Tamat

Mengekalkan Momentum Ibadah Di Bulan Ramadhan Sehingga Tamat

Ramadan 1445 hijrah telah melepasi separuh purnama menandakan Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi. Berkemungkinan sebahagian orang telah sibuk dengan persiapan raya mereka sehingga hampir lupa akan kebesaran bulan mulia ini terutamanya 10 malam terakhir yang sepatutnya diburu.

Memperlakukan bulan Ramadan selayaknya dengan memaksimakan ibadah-ibadah seperti solat sunat Tarawih, membaca al-Quran dan banyak bersedekah akan menghadirkan perasaan kemenangan dalam diri seseorang Muslim itu ketika menyambut 1 Syawal kelak.

Oleh itu, terdapat beberapa tips untuk mencapai kemenangan yang pasti diidamkan oleh setiap Muslim di muka bumi ini. Antara tips yang boleh diamalkan untuk mengekalkan momentum ibadah di bulan Ramadhan sehingga tamat adalah seperti berikut:

Pertama kalinya, konsisten dalam melakukan solat sunat Tarawih di masjid atau surau. Perbezaan yang terbesar di bulan mulia ini berbanding bulan lain selain tidak makan sehingga berkumandang azan Maghrib adalah dengan adanya solat Tarawih selepas solat Isyak.

Solat Tarawih adalah sangat istimewa kerana tidak ada di dalam bulan lain. Melakukan ibadah berpuasa bermula dengan bersahur dan dihabiskan dengan solat Tarawih menzahirkan rasa lengkap berpuasa dalam sehari. Tambahan pula, melakukan ibadah solat sunat Tarawih di surau atau masjid bersama-sama jemaah lain akan menghadirkan rasa semangat untuk meneruskan ibadah tersebut berbanding melakukannya seorang diri yang berkemungkinan akan mudah terganggu.

Seterusnya, konsisten dalam membaca al-Quran setiap hari. Sering kali juga disinonimkan akan kekerapan melakukan ibadah membaca al-Quran dengan bulan Ramadan. Ini kerana, waktu makan pada siang hari dapat digantikan dengan membaca kalam mulia ini dan tidak dilupakan juga ganjaran pahala yang berganda yang menanti.

Namun begitu, kian menghampiri hujung Ramadhan, momentum untuk melakukan ibadah ini kian menurun berikutan juga komitmen lain yang banyak. Oleh yang demikian, tetapkanlah masa yang sesuai untuk membaca al-Quran dan tidak bertindih dengan kerja lain. Contohnya seperti membaca al-Quran selepas sahur atau selepas Subuh sebelum memulakan kerja seharian. Usaha untuk terus berkonsistensi ini juga akan mendapat ganjaran pahala sekali gus dapat mengajarkan kita sifat berdisiplin bertetapan dengan gelaran bulan Ramadhan sebagai madrasah untuk mengajar diri kepada kebaikan.

Selain itu, perancangan harian di bulan puasa juga penting. Setiap individu Islam semestinya mempunyai komitmen tersendiri dan pastinya sibuk dalam mengimbangkan hal kerja dan hal ibadah. Dalam sibuk menyiapkan tugasan dan kerja-kerja tersendiri, semestinya perkara-perkara ibadah juga tidak mahu dilupakan. Oleh itu, perancangan tugasan seharian sangat penting seperti melakukan tugasan-tugasan yang penting terlebih dahulu di siang hari dan digalakkan untuk menghabiskannya sebelum waktu asar atau sebelum waktu berbuka.

Hal ini dapat memberi ruang dan masa dalam melakukan ibadah pada waktu malam seperti solat sunat Tarawih, bertadarus dan qiamullail. Perancangan yang teratur ini juga dapat memastikan setiap Muslim tidak tertinggal perkara-perkara kerja atau tugasan yang penting dan tidak ketinggalan ibadah pada malam hari sekali gus dapat mengimbangkan keduanya.

Di samping itu, jangan tinggal sahur. Sahur juga merupakan satu ibadah dan mendapat ganjaran pahala. Amalan bersahur ini yang membezakan puasa orang Islam dan Yahudi. Dari segi lain, sahur dapat membekalkan keperluan nutrien kepada badan sepanjang ibadah puasa dijalankan. Mengambil makanan yang berkhasiat sewaktu sahur juga amat digalakkan dalam Islam.

Bersahur dengan mengambil makanan seimbang dapat membantu mengurangkan rasa lapar sewaktu berpuasa dan kita dapat melakukan kerja dan tugasan seperti hari biasa. Malah, dapat memberi masa makan untuk melakukan ibadah dan kerja-kerja lain. Oleh yang demikian, kita tidak akan berasa lesu dan letih serta menghabiskan masa puasa kita yang berharga dengan hanya tidur sepanjang hari.

Selain itu, banyakkan bacaan atau mendengar ceramah-ceramah mengenai kebaikan, kemuliaan dan kebesaran dalam bulan Ramadhan dapat meningkatkan prestasi ibadah kita dengan tingkatnya motivasi diri kita. Motivasi diri seseorang diibaratkan seperti sebuah kereta yang selalu perlu diisi dengan minyak kereta untuk menggerakkannya.

Dalam melakukan perkara ibadah, motivasi diri merupakan salah satu asbab penggerak, ‘driving force’, untuk menjalankannya. Persis kereta, motivasi diri harus sering disuntik dan dipetik agar ia terus membara. Antara cara untuk menaikkan motivasi diri adalah dengan perbanyakan bacaan atau menonton ceramah atau video pendek mengenai kebaikan Ramadhan. Tidak dapat dinafikan bahawa membaca atau mendengar sesuatu yang baik dan semangat dapat mendorong diri kita untuk terus bermotivasi sekali gus meningkatkan tahap ibadah kita.

Akhir sekali, tetapan minda ‘mindset’ merupakan satu batu lonjakan terbesar bagi seseorang untuk mula melakukan sesuatu perkara. Beranggapan atau menetapkan minda bahawa Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi kita adalah salah satu cara untuk mendorong diri untuk terus bersemangat dalam melakukan ibadah dalam bulan puasa ini. Cara ini juga dapat meningkatkan sensitiviti dan kualiti ibadah itu tersendiri kerana kita akan melakukan yang paling terbaik untuk perkara yang kali terakhir bagi kita.

Akhir kalam, sebagai mana kita melakukan persediaan yang terbaik dan teliti bagi menyambut lebaran Syawal begitu jugalah kita harus melakukan yang terbaik dalam menghabiskan separuh Ramadhan. Gelaran madrasah Ramadhan yang sering diungkapkan oleh semua umat Islam ini bukan sekadar omongan kosong tetapi merupakan medan untuk kita memperbaiki diri kita kepada versi yang lebih baik. Tetapkan untuk mencapai sesuatu dalam ibadah adalah sangat digalakkan seakan bukti perjalanan Ramadhan kali ini. Tidak ada istilah sudah terlambat dalam konteks beribadah. Berhenti beralasan dan mulalah ibadah sekarang.

Penulis: Siti Maryam Nabila Roshdi, mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular