Semua sedia maklum bahawa sekolah merupakan pusat institusi awal bagi tujuan menimba ilmu sehingga mampu mengubah nasib kehidupan sesebuah keluarga. Tidak syak lagi bahawa guru memainkan peranan penting dalam organisasi di sekolah bagi melahirkan pelajar yang berwawasan hatta mampu menyumbang jasa kepada tanah air sendiri.
Walau bagaimanapun, pandangan pelajar generasi sekarang terhadap sekolah amat berbeza jika dibandingkan dengan generasi yang dahulu. Hal ini kerana mereka kini disajikan dengan teknologi yang canggih dan maju seperti penggunaan Artificial Intelligent (Kecerdasan Buatan) dan telefon bimbit yang banyak mengubah rutin harian mereka.
Penggunaan alatan teknologi yang berlebihan menjadi cabaran hebat buat mereka untuk terus fokus dan cakna terhadap pembelajaran yang jauh lagi penting. Tambahan pula, ada di antara mereka yang mahu berhenti dari sekolah kerana lebih berminat untuk menjadi influencer (pempengaruh sosial) yang hanya mendapat jana kehidupan melalui membuat konten video di Internet.
Isu ini amat kritikal jika dibiarkan begitu sahaja kerana kualiti pendidikan di Malaysia akan jatuh dan merosot. Oleh yang demikian, artikel ini ditulis bagi mengubah pandangan masyarakat terutamanya para pelajar sekolah terhadap sistem pendidikan di sekolah.
Terdapat pelbagai komponen yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap sekolah. Pertama sekali, sistem pendidikan di sekolah sangat sistematik dan teratur dari segi silibus pembelajaran.
Hal ini diutarakan kerana, pelajar generasi kini menolak tepi silibus yang terlalu susah untuk dipelajari dan bimbang jika tidak mampu bawa subjek yang susah sehingga tamat alam persekolahan. Namun begitu, aspek ini telah mendapat perhatian dari pihak atasan dengan mengubah suai dan menaiktaraf beberapa sistem pendidikan sekolah ke arah yang lebih baik.
Sebagai analoginya, silibus pembelajaran telah disusun mengikut tahap umur dan kemampuan para pelajar agar mereka lebih memahami konsep silibus tersebut daripada hanya menghafal.
Oleh yang demikian, para pelajar tidak perlu lagi bimbang akan sistem pendidikan di sekolah kerana sistem ini amat efektif dan berkesan untuk diaplikasikan kepada semua pelajar.
Seterusnya, institusi sekolah juga dapat menjadi salah satu wadah bagi para pelajar dalam mengembangkan dan mengasah bakat yang terpendam dalam diri masing-masing. Hal ini dibuktikan melalui penglibatan aktif para pelajar dalam menyertai segala aktiviti kokurikulum yang disediakan sebagai satu peluang keemasan.
Terdapat pelbagai variasi badan beruniform, kelab persatuan dan sukan permainan yang boleh diceburi oleh pelajar bagi mencuba perkara baru malah dapat memberi kemaslahatan kepada mereka kelak hari nanti.
Seperti yang sedia maklum, sekolah bukan sahaja memfokuskan terhadap aspek akademik semata-mata tetapi juga menitikberatkan aspek kokurikulum agar dapat melahirkan pelajar yang seimbang bagi kedua-dua aspek.
Sebagai contoh, melalui penglibatan murid dalam badan beruniform seperti badan pengakap, mereka dapat pelajari cara-cara untuk menyesuaikan diri di dalam hutan seperti mendirikan khemah, belajar tentang ikatan tali yang berbeza, memasak dengan menggunakan alatan dan bahan yang terhad dan cara menyelamatkan diri dari ancaman bahaya yang mendatang.
Selain itu, pelajar juga meraih pengalaman melalui penyertaan dalam pertandingan seperti bersajak, berpantun, debat mahupun berpuisi bagi memecahkan tembok yang mungkin membatasi potensi mereka. Aktiviti-aktiviti ini mampu meningkatkan keyakinan diri mereka untuk lebih yakin bercakap di depan khalayak ramai tanpa berasa gugup dan gelisah.
Natijahnya, dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum, pelajar bukan sahaja dapat menambah kredit akademik tetapi juga memantapkan nilai diri hatta menjadikan mereka insan yang berani tampil ke hadapan.
Di samping itu, pelajar juga dapat memupuk jiwa kepimpinan di sekolah melalui penglibatan dalam jawatan terutamanya pengawas sekolah. Mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin sering kali mendapat perhatian guru untuk dipilih sebagai pengawas serta diletakkan di dalam tampuk kepimpinan.
Menjadi seorang pengawas dapat melatih diri untuk membahagikan masa dengan baik seperti masa untuk belajar, bersukan, bermesyuarat, dan aktiviti-aktiviti di luar waktu kelas.
Jika dipandang dari sudut lain, pelajar biasa juga boleh memantapkan semangat kepimpinan melalui tugasan-tugasan berkumpulan. Sebagai contoh, salah seorang dari mereka di dalam kumpulan itu boleh menjadi penggerak untuk memulakan dan membahagikan tugasan sehingga dapat menyiapkannya sebelum tarikh penghantaran tugas.
Malahan, tugasan berkumpulan ini dapat melatih pelajar untuk berfikir secara kreatif dan terbuka dalam menyelesaikan tugasan berkumpulan melalui kerjasama yang jitu antara satu sama lain.
Oleh itu, generasi kini diajar dan didedahkan untuk memikul tanggungjawab dengan menggalas jawatan yang bertujuan meningkatkan lagi kualiti pemimpin dalam kalangan mereka.
Seterusnya, generasi kini perlu diberi pendedahan dengan kejayaan-kejayaan masyarakat Malaysia yang telah menjadi alumni sekolah bagi membuka mata dan mengubah persepsi mereka terhadap pendidikan sekolah. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pendidikan sekolah sudah semestinya dapat menjamin masa depan pelajar dengan baik.
Dengan hanya segulung sijil, pelajar layak menempatkan diri mereka di universiti terkemuka sama ada di dalam Malaysia mahupun di luar negara.
Tambahan pula, sijil-sijil tambahan yang diperoleh dari penglibatan aktiviti kokurikulum juga menjadi nilai tambah untuk sesorang pelajar dan dapat membezakan dirinya daripada pelajar yang lain. Sebagai contoh, sijil pencapaian, sijil penyertaan, dan sijil penghargaan yang diperoleh mendapat tumpuan utama sesebuah universiti dalam memilih pelajar tersebut untuk dijadikan sebagai salah seorang penuntut mahasiswa.
Pelajar yang cemerlang juga berpotensi untuk mendapat biasiswa bagi membiayai yuran pengajiannya di universiti yang jauh lebih mahal.
Oleh itu, remaja zaman sekarang perlu mengambil berat tentang pendidikan di sekolah kerana ia ialah kunci masa depan yang lebih cerah dan memberi manfaat kepada diri sendiri juga masyarakat.
Sebagai kesimpulannya, saya menyeru agar semua orang terutamanya remaja untuk mengubah pandangan negatif terhadap pendidikan di sekolah ke arah yang lebih positif. Terdapat jurang perbezaan yang besar antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
Di dalam surah al-Mujadalah ayat ke-11 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat”.
Selagi mana kita diberikan peluang untuk menuntut ilmu, maka gunalah peluang tersebut sebaik mungkin dan sentiasa dahagakan ilmu. Hal ini kerana, tidak semua orang di muka bumi ini yang mampu untuk menampung kos perbelanjaan sekolah
Tanamkan sifat syukur dalam hati agar diri ini sentiasa berasa cukup dengan segala nikmat yang diberi oleh-Nya.
Oleh yang demikian, penulis menyeru pelajar sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat kita di Malaysia. Jelaslah mereka merupakan agen perubahan positif melalui karya inovasi, pemikiran kreatif serta nilai-nilai positif yang menjamin kemajuan dan keharmonian negara tercinta.
Penulis; Nisreen Raihana Binti Abdul Kahar,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.