Hari ini hari yang agak mengecewakan. Hari yang diuji tentang sebuah kepercayaan. Bagaimana sebuah kepercayaan itu akhirnya dikhianati?
Orang yang mengkhianati mungkin tidak terkesan namun kita yang dikhianati pasti berasa amat kecewa. Namun itu bukanlah inti pati yang ingin dibincangkan. Saya lebih suka berkongsi tips mendepani lantas merawat rasa kecewa itu.
Hal ini lebih positif dan segar daripada mengeluh, meratap dan bertanya mengapakah orang sanggup mengecewakan kita? Kalau menyoal sehingga seribu kali pun kita takkan menjumpai penyebab mengapakah kita yang menerima nasib sebegitu?
Jadi, apa yang anda buat jika anda berasa kecewa? Yang paling mudah kita menangis, seolah air mata akan membawa pergi kekecewaan itu. Agak baik cara ini, sebagai manusia biasa bila kita sedih, secara automatiknya kita akan sebak lantas mengalirlah air mata.
Namun jika tidak dikawal, menangis terlalu banyak tidak baik untuk kesihatan. Kita pernah disajikan dengan cerita seorang lelaki yang asyik menangis kerana menyangka isterinya sudah tiada dan akhirnya matanya buta!
Pilihan lain bila kita kecewa mungkin kita boleh menulis, meluahkan apa yang kita rasa. Lepaskan geram sehabis mungkin. Bagus juga kaedah ini. Tapi jaga-jaga, pada zaman dunia di hujung jari ini, jangan kita luahkan perasaan, rasa tidak puas hati di media sosial. Kelak, tercetus isu yang lebih besar. Ketika itu bukan kita sahaja yang berasa kecewa, mungkin ramai pula orang yang kecewa dengan sikap kita.
Satu lagi ubat kecewa yang sering kali saya buat, saya akan bercakap dengan seorang teman. Saya tidak pasti dia tahu atau tidak. Jika saya berasa susah hati, saya akan paling teringat padanya. Bukan saya bercerita apa-apa. Sekadar berbual kosong. Mendengar suaranya yang mesra, semangatnya yang positif, masalah yang dihadapi terasa hilang seketika.
Pada akhir bicara dia pasi berkata, ada masalah ka ni? Dan perbualan kami akan berakhir dengan deraian ketawa. Terima kasih teman sejatiku.
Satu lagi cara yang saya rasa paling popular, tentulah kita akan mengadu pada Sang Pencipta. Kita amat kerdil dibanding dengan kekuasaanNya.
NikmatNya, rahmatNya seluas langit yang terbentang.. Dan pada masa kita kecewa inilah detik yang paling hampir kita di sisi Allah. Dia Maha Mengetahui.
Wahai Tuhan yang melepaskan dukacita, lepaskanlah segala dukacita, susah dan masalah kami.
Amin Ya Robbal ‘Alamin.