Thursday, September 28, 2023
HomeArtikelMisteri di Sebalik Angka 3333 dan Covid-19: Antara Fakta dan Mitos

Misteri di Sebalik Angka 3333 dan Covid-19: Antara Fakta dan Mitos

Mutakhir ini, umat manusia seakan-akan begitu mudah terperdaya dengan kepercayaan karut dan mitos yang tidak terhitung banyaknya. Sepatutnya perkembangan minda dan akal adalah senada dengan perkembangan teknologi kini, tetapi ternyata ianya tidak berlaku. 

Bagi masyarakat yang mendiami zaman pra moden, kepercayaan–kepercayaan tahyul ini tetap wujud dan bahkan ianya berkembang selari dengan perkembangan komunikasi dan merasuk ke dalam fikrah masyarakat. 

Saban hari dunia sering digemparkan dengan peningkatan mangsa wabak Covid-19 dan tidak kurang juga ada sesetengah individu yang mengambil peluang ini untuk memomokkan masyarakat dengan kepercayaan karut berdasarkan numerologi. 

Numerologi boleh ditakrifkan dengan kajian tentang nombor-nombor yang dipercayai mempunyai pengaruh atau erti tertentu dalam kehidupan sesorang individu dan sebagainya.

Hal ini dapat dilihat apabila isu jumlah akumulatif mangsa Covid-19 berjumlah 3333 dikaitkan dengan surah 33 ayat 33. Angka itu pula muncul pada tarikh 3 April 2020. Sungguh kolot dan dungu bagi mereka yang berfikiran sebegini. 

Sebagaimana Firman Allah yang dikaitkan dengan isu ini ialah:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا 

Maksudnya:

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” Surah al-Ahzab 33:33. 

Pertamanya bagi menjawab syubuhat ini, perlu kita selidiki terlebih dahulu peranan al-Quran itu sendiri. Jika kita terima kenyataan sedemikian seolah olah kita merendahkan nilai al-Quran sehingga sanggup kamu “bersusah payah” mencari nombor sebegitu untuk dinujumkan dengan ayat al-Quran. Kitab Allah iaitu al-Quran adalah sumber dari Ilahi kerana ia wahyu yang turun dari Allah SWT kepada Muhammad saw.  

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” Surah An-Najm ayat 4.

Akal yang sihat semestinya tidak dapat menanggapi bahawa sesuatu kejadian itu berasaskan nombor. Jika ianya benar sudah pasti orang yang pertama mengetahuinya adalah nabi Muhammad s.a.w kerana al-Quran diturunkan kepada Baginda dan semestinya akan direkodkan dalam hadith. Perkara ini adalah satu kefahaman daripada orang yang tidak bertanggungjawab bertujuan mencabar akidah umat islam.  

Allah SWT telah menyatakan bahawa al-Quran ini adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang mengandungi banyak faedah-faedah dan manfaatnya untuk difahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya agar manusia mengambil iktibar.

Imam al-Thabari menjelaskan bahwa al-Quran adalah kitab penuh berkah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tujuannya supaya direnungi makna dan difahami isinya. 

Al-Qur’an menjadi hujjah dan landasan dalam syariat Islam. Imam al-Suyuthi menjelaskan bahawa seorang tak akan mampu memahami isu al-Quran kecuali dengan mengetahui erti dan tujuan yang terkandung di dalamnya. 

Pemahaman kepada isi kandungan al-Quran memerlukan untuk kita mentadabburi setiap ayatnya dengan tekun. Al-Quran dan al-Sunnah adalah sarat dan padat dengan sumber rujukan. Ia menganjur serta mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal semaksimum mungkin untuk manfaatnya serta menjauhi syubuhat yang tidak mempunyai asas dalam agama apatah lagi semata-mata dengan akal. Hal ini adalah berdasarkan hadith Nabi s.a.w: 

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ

Barangsiapa mengatakan tentang al-Quran dengan pendapatnya, lalu kebetulan ia betul maka dia telah salah”. (Riwayat al-Tirmidzi: 2952: Hasan menurut Ibnu Hajar)

Di dalam konteks ayat ini, Allah memerintahkan para isteri Nabi r.a agar berada di rumah mereka dan tidak berhias berlebih-lebihan seperti masyarakat pada zaman Jahiliyah. 

Di samping itu, jika kita benar-benar memerhatikan konteks ayat ini, ia sangat jauh tersasar daripada seruan agar tinggal di rumah disebabkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini kerana arahan itu kepada isteri-isteri Nabi s.a.w tiada pun kaitan dengan penularan wabak seperti yang berlaku sekarang. Ayat ini menyuruh kita agar mendidik isteri, anak perempuan dan seluruh wanita muslimah agar mencontohi ketakwaan dan kewarakan para isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. 

Dari sesi pandang ilmu qiraat, para qurra’ telah berbeza pendapat dalam menyebut perkataan qarna pada ayat tersebut. Al-Imam al-Thabari menyebut bahawa terdapat dua qiraat untuk membaca perkataan awal tersebut sama ada qar dengan qaf yang berbaris fathah atau qir dengan qaf yang berbaris kasrah. Perlu diingat huruf waw di situ adalah huruf ‘ataf bukannya sebahagian daripada kalimah tersebut. Begitu juga huruf nun adalah disebabkan kata ganti diri kedua bagi perempuan bagi dhomir antunna. 

Bagi perkataan qar asalnya adalah qarra. Perkataan qarra ini membawa maksud qarār iaitu tetap. Jadi boleh diterjemahkan ayat tersebut menjadi “Tetaplah di rumah kamu”

Bagi perkataan qir asalnya adalah waqara dan selepas ditashrifkan jadilah ia pada ayat tersebut waqirna. Perkataan ini datang dengan maksud waqāra iaitu tenang. Maka terjemahan ayat tersebut menjadi “Bertenanglah di rumah kamu”. Bacaan qiraat yang kedua inilah yang dipilih oleh al-Imam al-Thabari dalam Tafsirnya.

Apabila kita melihat dari sudut statistik pula, Malaysia pada 5 April 2020 mencatatkan sebanyak 3,662 kes dan pada hari berikutnya pasti akan menunjukkan perubahan dari segi angka.

Maka persoalan yang ditimbulkan kepada peramal angka 3333, dengan perubahan angka ini adakah bermakna angka lain perlu didatangkan berdasarkan kepada ayat yang lain yang menepati angka kes untuk menunjukkan keabsahan tilikan ini? 

Jika kita bandingkan dengan negara-negara yang lain yang menunjukkan pertumbuhan kes dengan angka yang berbeza dengan Malaysia pada tarikh yang sama, maka adakah ia masih relevan untuk menjadi justifikasi terhadap ramalan ini?  Persoalan ini dipulangkan kepada peramal dan semua pembaca untuk mendapat jawapan yang lahir dari akal yang sejahtera. 

Sebagai khulasah, penyelewelangan dan kefahaman batil yang berlaku hari ini adalah disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri yang gemar menggunakan akal bukan pada tempatnya serta mudah terpengaruh dengan ideologi Barat yang secara halus menyelinap masuk ke dalam agama demi merenggangkan umat islam dari berpaksikan kepada ajaran islam iaitu al-Qur’ān dan Sunnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau wahai Tuhan menyebabkan daku tersesat maka demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari mengikuti jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka yang bersyukur.” (Surah al A’raf ayat 16-17)

Melalui ayat ini, Iblis sememangnya telah berjanji dengan Allah untuk menyesatkan umat manusia supaya jauh dari petunjuk Allah. Ibnu Abbas pernah menukilkan punca perpecahan umat walaupun kiblat, Quran dan Nabi mereka satu kerana masing-masing ikut pendapat dan hawa nafsu sendiri ketika menafsirkan al-Quran. Tidak mengikuti kefahaman para sahabat. 

Rujukan

  1. Al-Qur’an
  2. Kamus Dewan Edisi Keempat
  3. Muhammad Ibn Jarir Ibn Yazid Ibn Ghalib Abu Ja’afar al-Thabari (1994) Tafsir at-Thabari
  4. Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (2016) Asrar Tartib al-Qur’an
  5. Abu Bakar Ahmad Ibn Al-Husain Ibn Ali Ibn Musa Al-Khusrauijrdi Al-Khurasani Al-Baihaqi (2003) syu’ab al Iman 

Baca juga tentang krisis sikap dan ilmu dalam mendepani Covid-19 yang melanda negara


Artikel ini ditulis oleh Arif Hilmi dan Syazwan Hakim yang merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya.


HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.
RELATED ARTICLES

Most Popular