Monday, December 9, 2024
HomeArtikelPentingkah Remaja Islam Menjadi Hebat?

Pentingkah Remaja Islam Menjadi Hebat?

Golongan remaja ini dilihat sebagai golongan yang penting untuk kita berikan perhatian perkembangan mereka kerana merekalah yang akan menjadi penyambung legasi dalam memajukan negara. Generasi remaja hari ini kebanyakannya sudah pun hanyut dalam arus kemodenan dan kemajuan teknologi yang membuatkan mereka semakin lalai dan alpa. Perkara ini dilihat berbeza dengan generasi remaja datuk nenek moyang kita yang dilihat jauh daripada perkembangan teknologi seperti telefon pintar, jaringan internet, Artificial Intelligence dan sebagainya.

Hal ini memberikan mereka lebih banyak masa dalam menghayati dan menikmati alam ciptaan Tuhan dan menimba lebih banyak ilmu dengan merantau ke luar negeri untuk berguru.  Kita dapat melihat kesungguhan mereka dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT yang membuatkan remaja Islam dahulu mempunyai iman dan jati diri yang lebih utuh.

Dalam tamadun Islam sendiri kita dapat melihat contoh Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan Kota Konstantinopel pada usia yang cukup muda setelah banyak percubaan yang dilakukan  sejak zaman Khulafa’ Arrasyidin lagi. Pada usia 21 tahun Sultan Muhammad al-Fatih telah pun membenarkan hadis Rasulullah yang mengatakan bahawa Kota Konstantinopel bakal ditakluk oleh sebaik-baik Raja dan sebaik-baik tentera.

Di sini kita dapat melihat pentingnya Malaysia juga mempunyai remaja Islam yang hebat dalam memimpin negara dan meneruskan kecemerlangan untuk membawa nama Malaysia ke peringkat global. Hal ini perlulah selari dengan akhlak dan jati diri yang utuh. Jika dikatakan pandang sahajalah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang supaya tidak tampak kolot, bagaimana kita mahu memastikan diri kita lebih baik daripada generasi sebelum ini dan sejarah hitam yang sama tidak berulang lagi?

Biarpun tidak dapat kita nafikan dengan adanya teknologi seperti jaringan internet lebih banyak peluang kita dalam mengakses ilmu pengetahuan seperi ilmu agama, akademik dan sebagainya tetapi tidak juga kita lupa tentang banyaknya mudarat yang dibawa oleh teknologi ini kepada kita manusia yang membuatkan manusia semakin jauh dengan Allah dan Islam.

Dengan jauhnya seseorang dengan Islam, membuatkan mereka hidup seperti tiada pedoman dan panduan hidup seterusnya membawa kepada keruntuhan akhlak seseorang muslim terutamanya golongan remaja. Keruntuhan akhlak juga akan mendorong kepada peningkatan pelbagai kes jenayah seperti penglibatan dengan najis dadah, kecurian dan vandalism  yang semakin merunsingkan dalam kalangan remaja muslim. Peningkatan kes yang serius ini termasuklah kes jenayah seksual seperti rogol, cabul dan sebagainya yang dilihat semakin membimbangkan dari tahun ke tahun.

Banyak faktor yang boleh kita lihat yang mendorong kepada masalah akhlak remaja kita kini antaranya penggunaan media sosial yang di luar batasan seperti Tik Tok, Twitter, Instagram, Facebook dan sebagainya. Media sosial adalah antara wadah kita dalam mengekspresikan perasaan kita sama ada gembira, bahagia, sedih, marah dan kecewa serta sebagai medium hiburan. Walaubagaimanapun, dengan adanya media sosial ini telah membuatkan rumor, khabar angin dan aib seseorang tersebar dengan lebih cepat hanya dalam satu ketik sahaja.

Remaja kita juga dilihat berlumba-lumba dalam memuat naik pelbagai video untuk menjadi tontonan umum sehingga hilangnya ikhlas dalam membuat kebaikan, hilang rasa malu berbuat dosa dan hilang minat untuk meneruskan belajar kerana ingin menjadi pencipta kandungan semata-mata. Walaubagaimanapun, Khairul Aming berjaya menunjukkan contoh sebagai pencipta kandungan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan tidak menafikan pentingnya ilmu dengan adanya dia segulung ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan.

Remaja Islam kini yang diperhatikan semakin jauh daripada landasan Islam yang sebenar amat merunsingkan kerana ianya mampu mendorong kepada wujudnya sebuah ideologi sekularism dalam minda seseorang di mana merasakan Islam hanya sekadar agama ritual seperti solat, puasa, dan umrah tetapi tidak perlu dicampuradukkan dengan kehidupan harian dan urusan kerja duniawi yang lain.

Golongan ini berfikir bahawa sesiapa yang mempraktikkan agama dilihat kolot dan keterbelakang sedangkan mereka lupa dan lalai bahawa nikmat dunia yang dirasainya hanyalah pinjaman daripada Allah SWT. Remaja kini sewenang-wenangnya menggunakan platform media sosial bertujuan untuk menghina ulama’ dan menuduh mereka palsu tetapi mempercayai dan taksub kepada pempengaruh media sosial yang menggelar diri mereka ustaz yang kononnya dilihat paling benar dan betul. Kesan daripada perkara ini akan membawa kepada kurangnya penghayatan Islam dan akhlak Islam tidak dapat diterapkan dalam diri sehingga Islam hanya sekadar tertulis di kad pengenalan sahaja.

Oleh itu, pelbagai langkah dan tindakan yang perlu kita ambil sebagai kerajaan, ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menangani krisis masalah akhlak remaja kini. Penguatkuasaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah perlu diperkukuhkan dan diperkasakan agar kes jenayah dalam kalangan muslim dapat dikawal dan dibendung. Ibu bapa juga sebagai pencorak kain putih anak-anak, perlulah memberikan didikan yang baik berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah sejak daripada kecil lagi kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak lupa juga peranan guru untuk mendidik murid-murid agar menjadi manusia yang dapat berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Sebagai individu Muslim, kita mestilah mendalami dan mengamalkan ilmu agama serta mencari suasana dan kawan sekitar yang baik supaya menjadi lebih dekat dengan Allah dan memudahkan jalan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Pentingnya negara kita mempunyai generasi remaja yang berakhlak, berprinsip dan berdisiplin dalam mencapai kemajuan dan kemakmuran negara kita yang tercinta. Akhlak dilihat elemen yang sangat penting untuk kita terapkan dalam diri setiap individu bukan sahaja generasi muda bahkan seluruh insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Penulis: Siti Khadijah binti Zakir Abdul Razak. Tahun 2 Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular