Wednesday, January 22, 2025
HomeArtikelPenyakit Mental: Realiti ataupun Trend Remaja Masa Kini?

Penyakit Mental: Realiti ataupun Trend Remaja Masa Kini?

Penyakit mental telah menjadi fenomena di negara kit sejak kebelakangan ini. Masyarakat kita sering mengaitkan penyakit mental ini dengan masalah depresi semata-mata tanpa mengetahui bahawa ia mempunyai banyak jenis yang lainnya. Penyakit ini dibahagikan kepada 3 kumpulan utama iaitu neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti.

Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat di negara ini kurang mendapat dan menerima pendedahan serta pengetahuan berkaitan dengan penyakit mental. Tidak dinafikan bahawa penyakit ini merupakan penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana pesakit tersebut berkesanggupan untuk membunuh diri sendiri jika pesakit tidak mendapatkan rawatan yang sebetulnya. Penyakit ini juga boleh dihidapi oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira umur sama ada orang tua, remaja mahupun kanak-kanak.

Selaras dengan perkembangan globalisasi, penyakit mental juga mencatatkan peningkatan yang tinggi dan semakin bertambah saban tahun. Menurut statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2019 sebanyak 9.5% remaja di Malaysia telah menghidapi penyakit mental ini.

Epidemiologi Kesihatan Mental

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang ke-3 (2006) telah mendedahkan maklumat tentang tahap kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia. Hasil kajian daripada pravalens keseluruhan mendapati bahawa 11.2% remaja di Malaysia mempunyai sakit mental dan kadar tertinggi terdiri daripada bangsa cina iaitu sebanyak 31.1%.

Pravalens keseluruhan bagi pesakit yang mempunyai pemikiran untuk membunuh diri yang akut pula adalah sebanyak 6.4% yang terdiri dalam kalangan remaja itu sendiri.

Kajian tersebut menunjukkan bahawa perempuan lebih ramai menghidap penyakit ini berbanding lelaki iaitu masing-masing sebanyak 55% dan 45%. Manakala masalah penyakit mental ini didapati lebih tinggi di dalam kalangan masyarakat bandar (12.6) berbanding dengan masyarakat yang tinggal di luar bandar (8.5%).

Selain itu, kita juga maklum bahawa tahap pendidikan seseorang boleh mempengaruhi tahap kesihatan mental diri mereka. Hal ini kerana golongan yang tidak mendapat pendidikan ataupun berpendidikan rendah cenderung untuk mengalami penyakit ini. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang sama iaitu menunjukkan bahawa terdapat 15%-16% daripada pesakit mental terdiri daripada golongan tersebut.

Melalui statistik-statistik kajian yang telah dilakukan tersebut, jelas menunjukkan kebimbangan tahap kesihatan mental dalam kalangan remaja-remaja di Malaysia. Jika tidak diambil tindakan awal yang sewajarnya, tidak mustahil peratusan kes tersebut terus meningkat pada tahun yang berikutnya.

Langkah Mengenal Pasti Simptom dan Rawatan Penyakit Mental

Kita harus mengenal pasti gejala-gejala penyakit mental untuk mengesan penyakit ini lebih awal supaya tindakan selanjutnya dapat diambil dengan kadar yang segera. Tanpa kita ketahui bahawa gejala ini bukan sahaja dapat dikesan dari sudut emosi, bahkan masalah fizikal seperti kerap sakit kepala dan sakit belakang juga merupakan petanda awal seseorang itu menghidap penyakit mental.

Simptom-simptom yang lainnya pula ialah seseorang itu merasakan kesedihan hampir sepanjang masa, kerap merasa keliru dan susah untuk menumpukan perhatian pada sesuatu perkara, kerap berasa bimbang serta takut, perubahan mood yang drastik dan melampau, merasakan keletihan yang amat ketara dan banyak lagi. Bahkan yang lebih teruk apabila seseorang itu mendapat pemikiran untuk membunuh diri mereka sendiri.

Pelbagai rawatan yang efektif boleh diambil apabila seseorang itu sudah didiagnosiskan sebagai pesakit mental. Antaranya ialah pesakit boleh mendapatkan pemeriksaan fizikal di hospital serta mendapatkan ujian makmal seperti pemeriksaan fungsi tiroid serta tahap penggunaan alkohol dan dadah dalam badan pesakit.

Terdapat juga pemeriksaan yang lebih sinonim dengan masalah penyakit mental ini iaitu penilaian psikologi yang akan dilakukan oleh profesional kesihatan mental. Cara-caranya ialah mereka akan bercakap dengan pesakit secara personal untuk mengenal pasti gejala, pemikiran, perasaan serta corak tingkah laku yang dihadapi oleh pesakit.

Pesakit juga diminta untuk mengisi borang soal selidik untuk mengetahui tahap kesihatan mental mereka. Selain itu, rawatan seperti psikoterapi dan pengambilan ubat-ubatan adalah penting bagi pesakit mental agar penyakit itu dapat dicegah dengan baik.

Penyakit Mental Dijadikan Trend Remaja Masa Kini

Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir remaja yang menjadikan penyakit mental ini sebagai trend di media sosial semata-mata untuk meraih simpati daripada orang lain serta dengan tujuan-tujuan negatif yang lainnya.

Terdapat banyak faktor yang telah mempengaruhi golongan remaja tersebut untuk membuat perbuatan sedemikian tanpa mereka ketahui bahawa banyak kesan buruk yang akan menimpa diri mereka sendiri.

Oleh itu, semua pihak haruslah bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bahawa trend yang tular dalam kalangan remaja masa kini dapat diatasi dengan langkah yang efektif.

Adalah penting untuk kita ketahui bahawa rakyat perlu diberi kesedaran mengenai penyakit mental dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

Punca Penyakit Mental Dijadikan Trend Oleh Remaja Masa Kini

Pada era globalisasi ini, adalah tidak mustahil untuk melihat setiap remaja memiliki gajet seperti telefon pintar di tangan mereka sendiri. Ekoran daripada itu, ia telah menjadi faktor kepada trend penyakit mental yang kian menular dalam kalangan remaja masa kini.

Hal ini kerana remaja mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat oleh mereka di media sosial. Sebagai contoh, mereka melihat pesakit mental yang sebenar menceritakan pengalaman mereka semasa dirawat dan mendapat perhatian daripada banyak netizen dengan komen-komen yang positif.

Dengan itu, mereka juga membuat pengakuan bahawa mereka menghidap penyakit ini dan akhirnya mendapat belas ihsan daripada masyarakat. Selain itu, mereka juga berpura-pura sebagai pesakit mental ini adalah untuk mengelakkan diri daripada dikecam oleh netizen di atas kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan di media sosial dengan memberi alasan bahawa perbuatan salah mereka itu dipengaruhi oleh penyakit mental yang mereka hadapi.

Antara faktor lain kepada permasalahan ini adalah remaja tersebut ketandusan kasih sayang dan perhatian terutamanya daripada ibu bapa mereka. Menurut Datuk Seri Rohani Abdul Karim, bekas Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, ibu bapa kini terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing sehingga mengabaikan dan tidak mengendahkan perkembangan anak-anak mereka sendiri tanpa mereka sedari.

Lantaran itu, remaja yang kurang kasih sayang daripada ibu bapa ini akan terkesan secara negatif dari sudut emosi dan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan perhatian daripada orang luar dengan cara yang salah iaitu dengan berpura-pura menghidap penyakit mental seperti tertekan atau kemurungan tanpa mendapatkan pengesahan yang sah daripada pihak doktor dan menyalahkan ibu bapa mereka sendiri atas kejadian palsu tersebut yang menimpa mereka.

Dengan cara sedemikian, mereka dapat merasakan bahawa masyarakat akan lebih prihatin dan merasa kasihan terhadap diri mereka.

Kesan Daripada Trend Penyakit Mental oleh Remaja Masa Kini

Perbuatan yang salah ini sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk terutamanya pada diri sendiri. Jika seseorang sudah terbiasa berpura-pura menghidap penyakit mental seperti mengaku bahawa diri mereka penghidap depresi sedangkan perkara itu tidak benar pada awalnya, maka perkara itu sudah disetkan di dalam minda mereka dan terdapat kemungkinan yang besar juga bahawa mereka akan betul-betul menghidap penyakit itu secara realiti tanpa mereka ketahui dan sedar.

Ini kerana manusia akan terbiasa dengan kelakuan dan rutin yang dilakukan oleh mereka setiap hari. Penyakit mental ini boleh dihidapi oleh semua manusia tanpa kita sangka bahawa hal itu akan benar-benar berlaku pada diri kita jika kita tidak melakukan pemeriksaan saringan kesihatan mental di hospital.

Natijahnya ialah supaya kita lebih berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara itu kerana kita harus sentiasa mengingati bahawa perkara buruk yang kita lakukan akhirnya akan memakan diri sendiri suatu hari nanti.

Selain itu, remaja yang menjadikan penyakit ini sebagai trend di media sosial akan mendapat pandangan dan persepsi yang buruk daripada masyarakat tempatan mahupun luar negara jika mereka tertangkap berpura-pura menghidap penyakit tersebut.

Kita perlu tahu bahawa perbuatan ini adalah tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan masalah sensitif yang dihidapi oleh pesakit-pesakit mental. Trend yang  biasa dilakukan oleh remaja kini adalah dengan meniru gaya pesakit mental atau menceritakan pengalaman palsu mereka ketika menghidap penyakit tersebut dan melakukan pengeposan di media sosial masing-masing sehingga mendatangkan kemarahan pada ramai pihak.

Bahkan pesakit mental itu sendiri tidak mahu penyakit ini menimpa diri mereka, namun remaja-remaja masa kini pula menjadikan ianya sebagai satu trend yang menular di media sosial terutamanya TikTok dan sebagainya tanpa rasa bersalah.

Kesimpulannya, penyakit mental ini bukanlah sesuatu yang boleh kita pandang remeh apatah lagi mempermainkannya. Masyarakat Malaysia haruslah berganding bahu untuk memastikan bahawa realiti ataupun trend penyakit mental di negara ini dapat diatasi dengan baik. Dengan kesedaran masyarakat yang bertambah semakin baik ini, usaha menggembleng tenaga bagi memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap penyakit mental ini tidak akan sia-sia.

Penulis;

1. Ummi Nursyuhada Mohd Zaid - Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

2. Dr. Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Univeristi Kebangsaan Malaysia, Bangi.
RELATED ARTICLES

Most Popular