Wednesday, January 15, 2025
HomeArtikelPerubahan Sentiasa Bermula Daripada Diri Sendiri

Perubahan Sentiasa Bermula Daripada Diri Sendiri

Penglihatan, pendengaran, kekuatan jasad, kebolehan untuk berfikir, perkara-perkara ini semua adalah di antara nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Sudah menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk menjaga nikmat-nikmat ini dengan sebaik mungkin. Tetapi sayang seribu kali sayang, segelintir masyarakat pada hari ini tidak peduli dan memandang enteng perkara-perkara ini. Sebagai contoh, remaja yang cukup mencintai rasa puas dalam merempit sehingga hilang cinta kepada anggota badan, gadis yang dihantar untuk belajar tetapi memilih untuk menjual diri dengan alasan ingin mencari wang saku, orang-orang yang dikira sangat bagus dalam menguruskan perusahaan sehingga mampu bermandikan kekayaan tetapi rupanya ada terpalit unsur rasuah, dan si tua yang hebat dalam berbicara tetapi sebenarnya sibuk mengadu domba dan ‘memakan daging saudara sendiri’.

Jadi, di mana perginya rasa tanggungjawab dan peduli terhadap diri sendiri? Terlupakah yang kehidupan kita tidak hanya terhenti di dunia, tetapi akan ke negeri abadi yang mana itu ditentukan berdasarkan apa yang kita bawa semasa di dunia?

Memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara haram dan boleh membawa kemudaratan merupakan antara tuntutan agama. Memetik daripada hadis riwayat Muslim, sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu”.

Islam itu sendiri adalah pemberian berharga daripada Allah, walaupun kita sudah jauh terpesong dan hampir hilang hala tuju, usah berputus asa untuk kembali kepada Allah. Lembutkanlah semula hati yang keras dan melangkahlah ke jalan yang benar walaupun perlu bertatih. Maka di sini penulis kongsikan beberapa cara yang boleh dilakukan oleh saudara dan saudari yang ingin berubah menjadi lebih baik dan menguatkan rasa kasih dan sayang kepada Allah SWT.

Pertama sekali, seseorang yang ingin berubah mestilah mempunyai niat dan azam untuk berubah itu sendiri. Memetik daripada Riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kepada dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Niat dan azam ini penting untuk memastikan kita tidak mudah menyerah dalam proses hijrah ini. Berniatlah kerana Allah, kerana andai kata di suatu ketika nanti kita hampir menyerah, Dia sahaja yang mampu memimpin kita untuk meneruskan perjuangan dalam mencari redhaNya. Cabaran dalam berhijrah itu banyak, jadi teguhkan niat dan azam, insyaAllah jalanmu akan dipermudah oleh Allah SWT.

Seterusnya, jaga solat dan al-Quran dengan sebaiknya. Mungkin dahulu ada yang suka meninggalkan atau melambat-lambatkan solat, tetapi untuk menjadi orang yang lebih baik, paksalah diri untuk menyempurnakan wuduk dan solat tepat pada waktunya. Solat itu adalah waktu untuk kita menghadapkan diri kepada Yang Maha Esa dan berehat daripada kesibukan dunia, jadi usahlah terburu-buru dalam melaksanakan solat. Dunia masih boleh menunggumu. Begitu juga dengan al-Quran, nikmati dan fahamilah setiap bait kalimah suci di dalamnya.

Al-Quran itu ibarat cahaya dan petunjuk yang telah Allah berikan kepada kita supaya kita tidak sesat dalam mengharungi gelapnya dunia. Andai al-Quran ditinggalkan, bagaimana kita mahu pastikan jalan yang kita lalui itu adalah jalan yang benar? Bacalah al-Quran tidak hanya dengan mata dan mulut, tetapi juga dengan hati. Hati pasti akan lebih tenang dengan cara mengingati Allah.

Selain itu, banyakkan berdoa kepada Allah. Doa ini adalah satu medium untuk kita berbicara kepada Allah. Bukan setakat kita meminta kepada Allah untuk dijauhkan daripada malapetaka atau meminta untuk berjaya dalam sesuatu perkara, tetapi doa ini juga adalah saat di mana kita boleh meluahkan isi hati kita kepada Allah, bercerita kepadaNya tentang hari kita.

Ya! Memang betul Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui tiap-tiap perkara yang terjadi dalam hidup kita, tetapi Dia juga sangat mencintai hambaNya yang suka berdoa dan mencariNya dalam apa jua keadaan. Dia sentiasa ada untuk mendengar setiap cerita kita. Sampai ke satu tahap, kita akan sedar bila mana tangisan kita tiada yang mahu peduli, Dia tetap ada untuk memeluk kita dengan erat, mendengar rintihan kita, lalu memberi ketenangan dan kekuatan dalam setiap ujian yang kita hadapi. Jadi, jangan pernah jemu dalam berdoa, kerana Allah tidak pernah jemu mendengar dan mencintai hambaNya yang sentiasa menadah tangan dan memohon kepadaNya.

Yang terakhir adalah duduk dalam ‘circle’ yang baik. Dengan cara ini, kita tidak akan mudah luntur semangat dalam berubah ke arah kebaikan kerana akan ada sahabat dan saudara-saudara yang sentiasa menyokong dan mengingatkan kita kepada kebaikan. Di dalam era yang bertunjangkan teknologi ini, semakin banyak perkara yang boleh memperdaya kita ke arah kemungkaran. Sebagai contoh, pergaulan tanpa batas, berfesyen yang mendedahkan aurat dan sibuk mencari kesalahan orang lain. Berhentilah mengikuti perkara yang kita sendiri sebenarnya tahu perkara itu haram dan salah. Banyakkanlah ‘share’ atau ‘repost’ perkara yang baik dan boleh memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain. Nasihat-nasihat yang sering kali lalu di media sosial kita juga sebenarnya salah satu cara Allah mengetuk pintu hati kita untuk kembali mengingatiNya.

Sebelum noktah terakhir mengambil tempat di hujung bicara, sedikit nasihat penulis ingin sampaikan kepada para pembaca dan juga diri sendiri. Perkara yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, kesannya akan sentiasa kembali kepada kita. Buatlah pilihan yang betul sebelum melakukan sesuatu perkara.

Andai kata pilihan itu salah, jangan terlalu menyalahkan diri, bangkitlah daripada jatuh itu, ubah apa yang mampu dan kembalilah ke jalan yang benar. Memang betul kata orang, jalan hijrah ini tidak mudah. Ramai yang jatuh semula dalam dosa yang sama. Tetapi selagi tujuan hijrah itu jelas, tidak lain hanya kerana Allah, percayalah, walau syaitan datang berbisik, walau manusia ingin menarikmu jatuh, Allah tetap ada menggenggam erat tanganmu untuk berada dalam jalanNya. Orang yang menyayangi dirinya ialah orang yang akan melakukan apa sahaja untuk meraih kasih Illahi dan syurga di akhirat kelak.

Penulis: Emeylda Nuriman Binti Mohd Roslani, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular