Saturday, May 23, 2026
HomeArtikelPinjaman Pendidikan: Beban Atau Keperluan?

Pinjaman Pendidikan: Beban Atau Keperluan?

Kebanyakan anak muda pasti memasang impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading bagi mendapatkan segulung ijazah dan mengejar cita-cita mereka. Namun, kos pengajian di universiti yang terlalu tinggi mungkin menjadi penghalang bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos tersebut.

Kesannya, ramai yang akan mengambil inisiatif untuk membuat pinjaman pendidikan seperti Pendidikan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Pelajaran Malaysia (JPA) dan lain-lain. Persoalannya, adakah dengan membuat pinjaman ini benar-benar akan membantu pelajar atau ianya hanyalah akan menjadi beban kewangan buat mereka pada masa akan datang?

Menelusuri dan mendalami isu ini, artikel ini akan membincangkan berkaitan kebaikan dan keburukan membuat pinjaman pendidikan bagi pelajar universiti.

Antara kebaikan mengambil pinjaman pendidikan ialah:

Menampung Kos Yuran Pengajian

Semua sedia maklum bahawa kos pengajian di kebanyakan universiti kini boleh mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit terutamanya di universiti-universiti swasta. Bagi mereka yang bukan berasal dari keluarga yang berkemampuan, hal ini sudah tentu akan merunsingkan fikiran para ibu bapa kerana mereka pasti ingin melihat anak-anak mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Oleh itu, dengan membuat pinjaman pendidikan akan sedikit sebanyak meringankan beban pelajar untuk menampung kos tersebut. Ibu bapa juga tidak perlu lagi runsing memikirkan soal pembayaran yuran ini malah mereka bolehlah menggunakan wang simpanan mereka untuk menampung keperluan anak-anak yang lain pula. 

Meringankan Beban Kewangan Pelajar

Elaun bulanan akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar pada setiap bulan untuk menampung keperluan pelajar sepanjang mereka berada di universiti. Elaun ini cukup untuk perbelanjaan makan minum, membeli barangan dapur, untuk membayar apa-apa bil dan lain-lain lagi. Rata-rata pelajar universiti sebenarnya berdepan dengan masalah kewangan kerana mereka tiada sumber pendapatan.

Terdapat juga sesetengah pelajar yang sanggup mengikat perut mereka kerana ingin berjimat-cermat. Perkara ini amat membimbangkan kerana ianya boleh menjejaskan emosi serta prestasi mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Oleh itu, bagi mengelakkan pelajar merasa tertekan dengan beban kewangan ini, mengambil pinjaman pendidikan merupakan satu alternatif yang wajar dipertimbangkan.

Menggalakkan Pelajar Untuk Menyimpan Wang

Elaun bulanan selalunya akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar dalam jumlah yang besar, cukup untuk menampung keperluan pelajar sepanjang berada di universiti. Namun, perkara ini bukanlah menjadi satu asbab untuk pelajar menjadi boros. Pelajar seharusnya bijak merancang pelan kewangan mereka agar wang yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Sebagai contoh, pelajar boleh menyenaraikan terlebih dahulu keperluan mereka seperti bajet makan sehari, apa-apa bayaran yang perlu dibuat, barangan dapur dan lain-lain. Seterusnya, wang lebihan tersebut bolehlah disimpan ke dalam tabung Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Di sini, pelajar akan memperoleh keuntungan kerana mereka akan mendapat dividen hasil daripada simpanan tersebut. Semakin banyak mereka menyimpan, maka semakin banyaklah dividen yang akan diperoleh.

Terdapat juga beberapa perkara yang perlu diketahui oleh pelajar yang berhasrat untuk membuat pinjaman pendidikan ini bagi mengelakkan mereka dibebani dengan hutang pada masa akan datang. Kegagalan menguruskan wang dengan baik akan menimbulkan masalah kepada pelajar.

Antara keburukan mengambil pinjaman pelajaran termasuklah:

Dibebani Dengan Hutang Sebelum Mendapat Pekerjaan Tetap

Apabila pelajar mengambil pinjaman pendidikan, maka mereka perlu membayar semula pinjaman tersebut setelah mereka tamat belajar. Perkara ini khususnya akan menjadi masalah kepada mereka yang gagal mendapatkan pekerjaan setelah mereka tamat pengajian kerana mereka tiada pendapatan atau sumber kewangan yang tetap untuk membayar semula pinjaman tersebut.

Kegagalan untuk membayar semula pinjaman ini akan menimbulkan beberapa masalah kepada peminjam seperti menjejaskan laporan kredit peminjam, tidak boleh membuat loan di bank, disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyebabkan peminjam tidak boleh ke luar negara dan lain-lain. Malah, peminjam juga boleh didakwa di mahkamah sekiranya gagal membayar semula pinjaman tersebut.

Peminjam Akan Dikenakan Kadar Faedah

Kebanyakan pinjaman pelajaran ini kebiasaannya mempunyai kadar faedah yang tertentu menyebabkan peminjam perlu membayar lebih dari jumlah yang dipinjam. Sebagai contoh, bagi pinjaman PTPTN peminjam digalakkan untuk terus membayar pinjaman tersebut sejurus setelah mereka tamat belajar kerana selepas tempoh 12 bulan mereka akan dikenakan kos upah (Ujrah).

Ini bermaksud pelajar perlu membayar lebih dari kos sebenar pinjaman mereka.  Perkara ini akan memberikan tekanan kepada pelajar untuk membayar semula pinjaman tersebut lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum mendapat pekerjaan. Lebih teruk lagi apabila pelajar terpaksa membatalkan hasrat untuk membeli kereta atau rumah kerana hutang yang perlu dilunaskan.

Melihat kepada keburukan-keburukan tersebut pasti membuatkan pelajar memikirkan dua tiga kali soal ingin membuat pinjaman pendidikan namun, para pelajar tidak perlu berasa bimbang kerana terdapat beberapa kemudahan yang ditawarkan oleh institusi kewangan untuk memudahkan proses pembayaran balik pinjaman ini. Antaranya termasuklah, pelajar boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman dalam tempoh yang tertentu.

Dengan ini, mereka boleh menggunakan masa yang ada untuk mencari sumber pendapatan sebelum mula membayar semula pinjaman tersebut. Peminjam juga boleh memohon pengurangan dalam jumlah bayaran yang perlu dilakukan sekiranya mereka menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh institusi kewangan tersebut seperti pelajar berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Sebagai konklusi, kebaikan dan keburukan pinjaman pendidikan dapat disimpulkan dengan mempertimbangkan dari dua sisi dari perspektif yang berbeza. Meskipun pinjaman pendidikan dapat membuka pintu akses ke pendidikan yang lebih tinggi, mereka juga dapat memberikan beban kewangan dalam jangka masa panjang kepada peminjam. Oleh itu, pelajar haruslah bijak menguruskan kewangan mereka dan menggunakan pinjaman tersebut dengan cermat untuk mengelakkan mereka dibebani hutang pada masa hadapan.

Penulis: Nurul Syafiqa Khairul Sazli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular