Sunday, June 23, 2024
HomeArtikelSCAM: Awasi Tanda Awal Penipuan dan Elak Menjadi Mangsa

SCAM: Awasi Tanda Awal Penipuan dan Elak Menjadi Mangsa

Perkataan ‘scam’ bukan lagi sesuatu yang asing di zaman serba canggih ini. ‘Scam’ membawa maksud penipuan dalam pelbagai cara dan kaedah terutamanya yang berlaku atas talian. Penipuan ini boleh berlaku melalui pelbagai teknik yang digunakan oleh penipu untuk menipu individu, mengeksploitasi kepercayaan mereka dan mengeluarkan wang atau maklumat sensitif.

Saban tahun, kes penipuan ini semakin menjadi-jadi seolah-olah tiada noktahnya. Mangsanya pula tergolong dari pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua, muda, golongan profesional dan juga bukan profesional. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melaporkan sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion direkodkan di seluruh negara pada 2023. Ini satu angka yang besar dan membimbangkan.

Bayangkan, mangsa yang bertungkus lumus bekerja bertahun-tahun, hasilnya hilang dalam sekelip masa sahaja akibat terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan ini. Kumpulan ‘scammer’ ini tanpa belas mencuri hasil penat lelah mangsa yang saban hari muncul dengan taktik baru untuk mendapatkan wang mudah.

Teknik dan Kaedah Penipuan

Pelbagai teknik dan kaedah yang digunakan oleh kumpulan ‘scammer’ ini bagi memperdayakan mangsa mereka. Kaedah yang paling kerap digunakan adalah pancingan penipuan atau ‘phishing’.

‘Scammer’ akan cuba melakukan percubaan penipuan untuk mendapatkan maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan, nombor kad kredit atau butiran peribadi dengan menyamar sebagai individu dari entiti yang boleh dipercayai seperti polis, pegawai imigresen, pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Ini boleh berlaku melalui e-mel, mesej teks atau laman sesawang menyerupai laman sesawang organisasi atau perkhidmatan yang sah. Mangsa sering diarahkan untuk menekan pautan tertentu, memuat turun lampiran yang mengandungi perisian mencurigakan atau memberikan maklumat mereka pada halaman daftar masuk yang palsu.

‘Scammer’ juga membangunkan laman sesawang palsu yang hampir menyerupai laman sesawang yang sah, seperti laman beli-belah dalam talian, portal perbankan atau agensi kerajaan. Mangsa yang tidak menyedari mereka sedang dipancing oleh kumpulan ‘scammer’ ini mungkin akan memasukkan data peribadi mereka atau membuat pembayaran di laman sesawang palsu ini, yang direka untuk mencuri maklumat sensitif atau data kewangan.

Tidak hanya itu, kumpulan ‘scammer’ ini juga bijak dalam mengenal pasti keperluan bakal mangsa mereka. Mereka akan membuka peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang sedikit atau tiada, selalunya menyasarkan individu yang ingin mengembangkan kekayaan mereka dengan cepat. Peluang pelaburan penipuan mungkin termasuk skim Ponzi, skim piramid atau pelaburan ‘cryptocurrency’. Mangsa akan diyakinkan untuk melabur wang mereka dalam urus niaga palsu yang tidak wujud yang akhirnya mengakibatkan kerugian dari segi kewangan.

Langkah Elak Diperdaya ‘Scammer’

‘Scammer’ sememangnya bijak dalam mengeksploitasi kepercayaan dan kelemahan mangsa. Untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, setiap individu harus berhati-hati, sentiasa merasa ragu-ragu dan berwaspada apabila berinteraksi dengan individu atau entiti yang tidak dikenali, terutamanya dalam talian atau melalui telefon.

Kita seharusnya sentiasa mengesahkan sebarang kesahihan setiap permintaan sama ada dari pemanggil ataupun dari sebarang pautan di lawan sesawang, mengelak daripada berkongsi maklumat sensitif dan melaporkan aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan atau agensi perlindungan pengguna.

Berikut ialah beberapa langkah yang boleh dipraktis untuk membantu anda mengelakkan diri daripada ditipu:

Sahkan Identiti: Sebelum terlibat dengan individu atau organisasi tertentu, sahkan identiti dan kesahihan mereka. Selidik syarikat atau individu dalam talian, semak ulasan pelanggan dan cari maklumat berkenaan cara-cara untuk menghubungi mereka seperti nombor telefon, alamat e-mail dan alamat fizikal. Berwaspada terhadap entiti yang enggan memberikan maklumat ini atau mempunyai akses kepada maklumat dalam talian yang terhad.

Soalan Komunikasi Tidak Diminta: Berhati-hati dengan e-mel, panggilan telefon atau pesanan yang tidak pernah diminta, terutamanya jika mereka meminta maklumat peribadi atau maklumat kewangan. Organisasi yang sah kebiasaannya tidak meminta maklumat sensitif melalui komunikasi yang tidak diminta. Jika ragu-ragu, hubungi terus organisasi tersebut melalui saluran yang disahkan untuk mengesahkan kesahihan permintaan. Ini kerap berlaku terutamanya kepada pelanggan bank di mana mangsa selalu diminta untuk mengesahkan pin untuk tujuan perbelanjaan dalam talian.

Lindungi Maklumat Peribadi: Elakkan berkongsi maklumat peribadi atau kewangan seperti  butiran akaun bank atau kata laluan dengan entiti yang tidak diketahui atau tidak disahkan. Kita juga harus berhati-hati semasa mengisi borang dalam talian atau memberikan maklumat melalui telefon, dan hanya berkongsi maklumat sensitif di laman sesawang yang sah.

Bersikap Skeptikal Terhadap Tawaran Terlalu Menarik dan Mudah: Berwaspada apabila menerima tawaran atau peluang yang kelihatan terlalu menarik dan mudah dimiliki. Penipu sering menggunakan janji wang mudah, pulangan pelaburan yang tidak realistik, atau hadiah yang dijamin untuk menarik mangsa. Ingatlah bahawa peluang yang sah biasanya melibatkan usaha, risiko dan jangkaan yang realistik. Kita sering ditawarkan dengan pulangan yang dapat menjadikan kita hilang pertimbangan dan mengikuti arahan dari individu yang cuba untuk menipu. 

Sahkan Kaedah Pembayaran: Apabila membuat pembayaran atau transaksi, sahkan kesahihan kaedah pembayaran dan pastikan ia selamat. Gunakan saluran pembayaran yang sah dan elakkan daripada menghantar wang melalui pindahan atau kad prabayar dan kad kredit kepada individu atau organisasi yang tidak dikenali terutamanya untuk pembelian atas talian.

Lindungi Peranti Anda: Pastikan komputer, telefon pintar dan peranti lain anda dikemas kini dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan perisian ‘antivirus’ untuk melindungi daripada perisian tidak sah, virus dan ancaman dalam talian yang lain. Gunakan kata laluan yang unik untuk akaun anda dan aktifkan dua lapisan pengesahan jika berkenaan, untuk menambah baik ciri-ciri keselamatan sedia ada. Sebagai contoh, pengesahan melalui cap jari dan wajah yang sangat luas penggunaannya sekarang.

Ambil Tindakan Segera Jika Sedar Diperdaya: Tindakan segera dapat mengurangkan risiko kehilangan yang lebih besar. Contohnya anda tersedar yang anda telah menekan pautan untuk melihat kad jemputan kahwin dari nombor yang anda kenali dan pautan tersebut sebenarnya adalah perisian yang digunakan oleh sindiket penipuan ini untuk mencuri data dari peranti anda. Di Malaysia, mangsa sindiket penipuan diminta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk melaporkan kejadian penipuan sebaik-baiknya dalam tempoh 24 jam dari masa kejadian. Ini bertujuan untuk menyekat kebarangkalian wang anda dari dipindahkan ke akaun sindiket penipuan. Selain itu, hubungi bank anda untuk menyekat sebarang pemindahan wang dan atau penggunaan kad kredit.

Percaya Naluri Anda: Sentiasa percaya naluri dan gerak hati anda. Jika anda dapat merasakan sesuatu yang mencurigakan atau terlalu berisiko, adalah lebih baik untuk mengambil langkah berhati-hati dan elakkan meneruskan transaksi atau interaksi. Luangkan masa untuk menjalankan penyelidikan, bertanya soalan dan dapatkan nasihat daripada sumber yang dipercayai sebelum membuat keputusan yang boleh menyebabkan anda berisiko ditipu.

Kesimpulannya, diri kita sendiri mestilah sentiasa berwaspada dan ambil maklum berkenaan maklumat-maklumat terkini tentang taktik kumpulan ‘scammer’ ini. Organisasi-organisasi tertentu seperti bank, dan jabatan kerajaan juga kerap membuat hebahan tentang taktik mereka dan apa yang perlu dielakkan. Dengan ini, anda boleh mengurangkan kemungkinan menjadi mangsa penipuan dan melindungi diri anda daripada kehilangan harta benda terutamanya wang, kecurian identiti dan aktiviti penipuan yang lain.

Penulis: Siti Azrina Binti Adanan, Penyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Melaka.
RELATED ARTICLES

Most Popular