Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Islam, di mana semua umat Islam diwajibkan berpuasa bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Pada bulan yang mulia ini, umat Islam digalakkan untuk mengisi hari-hari mereka dengan beribadah kepada Allah dan melakukan amal soleh.
Sebagai seorang pelajar, menuntut ilmu bukan sahaja merupakan suatu amal soleh tetapi juga kewajipan bagi mereka. Walau bagaimanapun, melaksanakan tanggungjawab mereka sambil berpuasa dan beribadah adalah satu cabaran yang besar. Oleh itu, merancang strategi belajar yang berkesan dapat membantu seseorang pelajar meningkatkan prestasi mereka di samping meneruskan ibadah di bulan Ramadan.
Pertama sekali, merancang jadual harian dapat membantu pelajar memperuntukkan masa khusus untuk belajar dan melakukan ibadah pada bulan Ramadan. Dengan ini, pelajar dapat melakukan aktiviti belajar dan aktiviti ibadah secara seimbang. Mereka juga dapat mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti tidur yang berpanjangan dan sembang kosong.
Semasa merancang jadual harian, pelajar perlu menetapkan “study goals” yang realistik dan mudah dicapai. Bahagikan tugasan yang besar menjadi tugasan yang lebih kecil dan tetapkan objektif khusus untuk setiap sesi belajar. Pelajar juga boleh menetapkan tarikh akhir untuk setiap tugasan supaya pelajar tidak berlengah dalam melaksanakan tugas mereka.
Selain itu, mengutamakan tugasan dapat membantu pelajar belajar dengan berkesan pada bulan Ramadan kerana ia membolehkan mereka mengenal pasti tugasan dan topik-topik yang penting dan memerlukan perhatian segera. Tugasan yang banyak akan membebankan pelajar, menyebabkan mereka tidak pasti dari mana hendak bermula. Dengan menyenaraikan tugasan dan topik-topik pembelajaran yang perlu diberi perhatian, perkara ini dapat mengelakkan ‘decision fatigue’ dan membolehkan mereka menyelesaikan tugas mereka dengan yakin.
Pelajar boleh mengaplikasikan “Eisenhower Box” untuk merancang dan mengutamakan tugasan mereka. Ia merupakan alat produktiviti yang membahagikan tugasan kepada empat kotak iaitu kotak “important and urgent”, “important but not urgent”, “urgent but not important” dan “not important and not urgent”. Pelajar perlu mengehadkan masa untuk kotak “not important and not urgent” dan fokus kepada kotak “important and urgent”. Perkara ini dapat mengurangkan lambakkan tugasan pelajar dan mereka dapat beribadah dengan lebih tenang.
Selain mengaplikasikan “Eisenhower Box”, pelajar juga perlu memastikan tahap tenaga mereka selaras dengan tugasan yang ingin diselesaikan. Sebagai contoh, pelajar boleh melakukan tugasan yang memerlukan mereka menyelesaikan masalah atau menghafal pada waktu pagi di mana tahap tenaga mereka lebih tinggi. Manakala, pada waktu petang di mana tahap tenaga mereka sudah berkurangan, mereka boleh menumpukan kepada bacaan yang lebih santai. Ini dapat membantu pelajar lebih fokus untuk tempoh masa yang lebih lama.
Pelajar juga perlu menjadualkan waktu rehat secara berkala semasa sesi belajar. Waktu rehat berkala ini memberi manfaat kepada pelajar dalam pelbagai cara termasuklah mengelakkan keletihan semasa belajar dan menetapkan semula rentang perhatian (attention span) pelajar. Ini akan membolehkan otak menghadam maklumat, membolehkan pelajar mengingati dan memahami bahan yang mereka pelajari.
Melakukan aktiviti santai semasa rehat seperti regangan, membaca al-Quran atau berzikir boleh membantu mengurangkan tekanan belajar dan memberi rasa ketenangan dalam diri pelajar. Elakkan menatal melalui media sosial atau menggunakan gajet kerana ia akan menyumbang kepada keletihan mental (mental fatigue) yang akan mengurangkan keberkesanan sesi pembelajaran.
Puasa pada bulan Ramadan kadangkala boleh menyebabkan rasa letih atau lesu, terutamanya jika pelajar tidak membekalkan badan mereka dengan air yang mencukupi dan makanan yang berkhasiat. Terdapat juga kajian yang telah menunjukkan bahawa dehidrasi boleh menjejaskan daya ingatan dan prestasi kognitif seseorang individu. Oleh itu, membekalkan badan dengan air yang mencukupi dan makanan yang berkhasiat boleh membantu mengekalkan tahap tenaga, meningkatkan keupayaan untuk mengekalkan maklumat dan pelajar dapat mempelajari konsep baharu dengan lebih berkesan.
Selain menjejaskan ingatan dan prestasi kognitif, sumber air dan makanan yang tidak mencukupi boleh menyebabkan perubahan emosi dan mengurangkan motivasi belajar. Ini akan memberi kesan negatif kepada sesi pembelajaran dan ibadah pelajar. Oleh itu, minum air yang mencukupi dan mengambil makanan berkhasiat semasa sahur dan berbuka puasa boleh membantu mengawal emosi dan mengekalkan minda yang positif, dan seterusnya membantu pelajar untuk lebih fokus semasa menyelesaikan tugas atau mengulang kaji pelajaran.
Oleh hal yang demikian, sangatlah penting bagi pelajar untuk bijak menyediakan makanan sahur yang berkhasiat mereka supaya mereka kekal terhidrasi dan bertenaga sepanjang berpuasa. Memilih bijirin penuh (whole grain) seperti oat atau roti gandum boleh mengekalkan tenaga pelajar sepanjang hari. Mereka juga boleh menambah sumber protein tanpa lemak seperti telur, yogurt dan daging dalam hidangan sahur untuk menggalakkan rasa kenyang dan membantu dalam proses pembaikan sel-sel otot semasa berpuasa. Pelajar juga perlu minum air secukupnya dan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran semasa sahur untuk kekal terhidrat semasa berpuasa.
Kesimpulannya, bulan suci Ramadan menawarkan peluang yang unik kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi pelajaran dan dalam masa yang sama mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Dengan mengamalkan strategi yang dicadangkan di atas, pelajar boleh mengharungi cabaran-cabaran belajar di bulan Ramadan dengan lebih yakin dan hari-hari mereka akan lebih diisi dengan perkara yang berfaedah.
Ramadan Mubarak kepada semua pelajar Islam, semoga kita diberkati dengan kejayaan dan keberkatan.
Penulis: Nurul Ain Asyiqah Binti Achok, Mahasiswa Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
