Mutakhir ini, TikTok telah menjadi fenomena global, menarik jutaan orang dengan kandungan video pendeknya yang mudah diakses. TikTok dahulunya dianggap sebagai platform untuk isu viral dan tarian telah berkembang menjadi sumber pendidikan yang tidak ternilai, mengubah cara pembelajaran dan interaksi antara guru dan murid.
Salah satu ciri yang paling menarik pengaruh TikTok terhadap pendidikan ialah akses mudah dan percuma terhadap ilmu pengetahuan. Seperti yang kita sedia maklum, untuk mendapatkan sumber pendidikan yang berkualiti memerlukan pembelian buku teks yang mahal, pendaftaran dalam kursus-khusus atau akses kepada pengajar yang mahir.
Walau bagaimanapun, dengan adanya TikTok membolehkan seseorang berkongsi sesuatu ilmu dan konsep yang sukar menjadi ringkas, padat dan menawan, seterusnya menjadikan pembelajaran tersedia kepada sesiapa sahaja. TikTok juga menyediakan pendidikan yang merentasi sempadan serantau dan sosioekonomi, termasuk tutorial matematik, eksperimen sains, kursus bahasa dan pembelajaran al-Quran dan tajwid serta naratif sejarah.
Tambahan pula, pengguna Tiktok juga dapat menggunakannya untuk berhibur sambil belajar kerana algoritma aplikasi ini yang memberikan pengguna melihat video secara rawak. Selain itu, TikTok juga menjana suapan bergantung pada pilihan pengguna berdasarkan kekerapannya melihat video yang mempunyai tema yang hampir sama. Kesannya, sekiranya pengguna sering melihat video ilmiah pastinya lebih banyak video ilmiah yang akan dipaparkan di telefon mereka. Hasilnya, TikTok berfungsi sebagai aplikasi yang dapat mencetuskan minat dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di luar bilik darjah.
TikTok bukan sahaja telah memudahkan akses kepada pengetahuan, tetapi ia juga telah menghasilkan kaedah pengajaran yang inovatif. Pendidik dan pencipta kandungan sama-sama menggunakan keupayaan kreatif masing-masing untuk mencipta video yang dinamik dan menarik bersesuaian dengan minat belia masa kini. Menggunakan muzik, kesan visual dan pendekatan bercerita, pendidik boleh mengubah topik membosankan kepada naratif menarik yang menarik perhatian pelajar.
Di samping itu, TikTok menggalakkan penggunanya untuk saling memberi galakan dan semangat kepada pencipta kandungan untuk terus giat menghasilkan pelbagai video ilmiah yang menarik. Hal ini dapat dilihat apabila pengguna aplikasi ini menyukai, mengulas, dan berkongsi maklumat pengajaran di ruangan komen.
Kesan daripada interaksi ini, akan wujudnya hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka. Tambahan pula, pengguna boleh terlibat secara langsung dengan kandungan pengajaran di TikTok dengan membuat video jawapan, mengemukakan pertanyaan atau berkongsi perspektif mereka melalui keupayaan “stich” atau “duet”. Selain itu ianya meningkatkan pemahaman seseorang terhadap ilmu yang dikongsi.
Seterusnya, TikTok telah berkembang sebagai medium untuk pembelajaran sosial dan emosi. Pencipta kandungan berkongsi pengalaman peribadi, motivasi dan panduan tentang kesihatan mental, penjagaan diri dan hubungan interpersonal. Kisah-kisah yang benar dan relevan ini mengajar penonton pelajaran kehidupan yang penting dan melengkapkan mereka untuk mengharungi kesukaran dunia moden dengan tabah.
Walaubagaimanapun, impak TikTok terhadap pendidikan juga mewujudkan kontroversi dan kritikan. Kebimbangan mengenai ketepatan dan kebolehpercayaan kandungan pendidikan wujud memandangkan sesiapa sahaja boleh membuat dan memuat naik video tanpa mengira pengalaman atau kelayakan.
Maklumat yang tidak sahih boleh merebak dengan cepat menyebabkan timbul kekeliruan yang boleh memecahbelahkan hubungan antara pengguna. Oleh hal yang demikian, TikTok telah melancarkan aktiviti semakan fakta serta prosedur kawalan kandungan dan sumber pendidikan bagi mengatasi masalah ini.
Selain itu, ketagihan pengguna dalam menggunakan aplikasi TikTok telah menimbulkan kebimbangan tentang penggunaan skrin secara berlebihan yang menyebabkan gangguan tidur dan kesan buruk terhadap kesihatan mental terutamanya golongan muda. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memantau penggunaan TikTok anak-anak mereka supaya aplikasi ini dapat dimanfaatkan dengan lebih efisien.
Kesimpulannya, perubahan besar pada landskap pembelajaran abad ini menyebabkan penggunaan aplikasi Tiktok dalam pembelajaran semakin berkembang. Oleh itu, para pendidik mesti menggunakan kaedah baharu selaras dengan perkembangan teknologi untuk menarik minat dan memberi inspirasi kepada murid-murid.
Penggunaan TikTok dan platform-platform lain seperti Youtube memberikan pendidik peluang untuk merebut jiwa anak muda khususnya, agar tidak membuang masa sebaliknya menggunakan kemajuan teknologi ini dengan mengikuti kandungan ilmiah kreatif yang dimuat naik.
Ilmu percuma yang dikongsikan oleh warga pendidik ini dapat memberikan suasana pembelajaran yang kreatif dan merupakan satu pelaburan sepanjang hayat bagi memastikan pendidikan kekal boleh diakses, relevan seterusnya memperkasakan generasi akan datang.
Penulis: Izzati Balqis binti Mat Yusof, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.