Buli merupakan salah satu bentuk tingkah laku agresif yang melibatkan seseorang itu melakukan perkara tersebut untuk mendatangkan bahaya, kesusahan atau ketidakselesaan kepada seseorang yang dianggap lebih lemah. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk penderaan fizikal, lisan atau psikologi dan ia sering berlaku berulang kali dari semasa ke semasa.
Buli bukan sahaja berlaku dari bentuk fizikal namun boleh terjadi juga dalam bentuk buli mental seseorang. Ia juga boleh diklasifikasikan sebagai salah satu bentuk tingkah laku yang agresif yang boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti berlaku di kawasan sekolah, tempat kerja, platform dalam talian atau persekitaran sosial.
Sebagaimana yang dijelaskan, buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk yang berbeza sama ada buli fizikal, lisan, perhubungan dan siber. Ianya terjadi kerana ketidakseimbangan kuasa yang nyata atau yang dirasakan antara pembuli dan mangsa, di mana pembuli berusaha menguasai dan mengawal orang yang disasarkan. Tidak dinafikan buli masih lagi wujud hampir di setiap sekolah di dalam Malaysia. Budaya negatif ini harus dihapuskan agar sesebuah sistem sekolah dapat berjalan dengan lancar.
Terdapat pelbagai kesan buruk yang akan diperoleh kepada para pelajar yang terlibat dalam kes buli ini bukan sahaja si mangsa, malah si pembuli juga turut akan merasai akibatnya. Terdapat pelbagai kisah yang pernah terjadi di Malaysia ini supaya kita boleh mengambil iktibar daripadanya.
Kisah-kisah pelajar sekolah yang pernah terlibat dengan buli ini boleh membuka minda kita tentang kesedaran bahawa budaya buli ini sangat memberi impak yang besar terhadap seseorang individu. Terdapat kisah di mana seorang individu si mangsa yang pernah dibuli ini menjadi takut dan trauma untuk berjumpa dengan orang, si mangsa dibuli dengan begitu teruk sehingga luka dan parut si mangsa masih kekal sehingga kini walaupun setelah bertahun lamanya beliau telah meninggalkan sekolah.
Terdapat beberapa jenis buli yang dapat dikenal pasti dalam kalangan pelajar sekolah yang sering berlaku tiap tahun tanpa dapat menghapuskannya. Antaranya ialah buli fizikal, buli lisan, buli hubungan dan juga buli siber. Buli fizikal melibatkan penggunaan kekerasan fizikal atau tindakan untuk mencederakan atau menakutkan mangsa seperti memukul, menolak sehingga mangsa jatuh atau merosakkan harta peribadi mangsa dengan sengaja. Buli fizikal merupakan salah satu buli yang biasa yang dilakukan oleh para pelajar oleh kerana mereka belajar dari orang yang lebih tua dari mereka. Pembuli ini kebiasaannya pernah dibuli atau pernah melihat pelajar-pelajar yang lebih tua membuli.
Selain itu, terdapat juga buli lisan. Buli lisan juga merupakan buli yang kebiasaan berlaku di sekolah. Buli lisan ini melibatkan penggunaan perkataan atau bahasa untuk menghina, merendah-rendahkan, mengaibkan atau mengancam mangsa dengan pelbagai cara. Ini termasuk panggilan nama, kata-kata menghina, menyebarkan khabar angin yang palsu atau membuat komen yang menyinggung perasaan seseorang.
Mereka bukan saja berbuat demikian hanya untuk menjatuhkan seseorang dan membuatkan mangsa merasa malu dan marah. Mereka langsung tidak mempunyai belas kasihan terhadap mangsa. Menurut pengalaman peribadi penulis, si pembuli ini sengaja menjatuhkan seseorang hanya kerana mereka menginginkan mangsa buli ini berasa tertekan dan menjatuhkan maruah mereka supaya si pembuli boleh merasa lebih hebat dari mangsa.
Selain itu, terdapat juga jenis buli yang lain iaitu buli hubungan tetapi lebih dikenali sebagai buli sosial, ia melibatkan memanipulasikan sesuatu hubungan, persahabatan dan status sosial untuk mengecualikan, mengasingkan atau menyebarkan khabar angin tentang mangsa. Ini termasuk dengan sengaja mengabaikan atau menolak seseorang, menyebarkan gosip atau merosakkan reputasi mangsa.
Mereka mendekati mangsa dengan niat yang tersirat hanya untuk berkawan rapat kemudian meninggalkan mangsa begitu sahaja tanpa berikan alasan. Mereka sebenarnya telah membuli mental mangsa kerana mangsa dimanipulasi oleh si pembuli.
Ramai pelajar sekolah yang secara tidak sedar telah melakukan buli hubungan ini atau kata nama lain buli sosial. Mereka hidup secara berpuak-puak kemudian mengambil kata sepakat untuk mengasingkan diri daripada salah serang ahli kumpulan. Dengan secara tidak langsung si mangsa akan berasa tertekan kerana diasingkan oleh kawan sendiri secara tiba- tiba.
Jenis buli terakhir yang sering juga digunakan oleh para pelajar sekolah ialah buli siber. Buli siber ini berlaku melalui platform digital seperti media sosial, aplikasi pemesejan atau forum dalam talian. Ia melibatkan penggunaan teknologi untuk mengganggu, mengancam atau menakut-nakutkan orang lain dengan berkongsi kandungan yang berbahaya atau memalukan. Boleh terjadi juga dengan menghantar mesej dengan kata-kata kesat atau kata-kata yang berbau ugutan hanya untuk menakutkan mangsa dan memberikan kesan buruk kepada mangsa.
Salah satu faktor penyumbang utama kepada perbuatan buli ialah kurangnya kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan pendidik. Ramai individu mungkin tidak memahami sepenuhnya kesan buruk buli atau mengenali tanda dan bentuk yang boleh diambil.
Program pendidikan dan kesedaran yang tidak mencukupi mungkin mengakibatkan laporan yang kurang dan kegagalan untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada mangsa. Pihak berkuasa juga sering memandang isu buli ini sebagai isu yang tidak besar dan tidak penting sedangkan isu buli ini boleh menjadikan mangsa trauma sepanjang hayat mereka.
Buli juga boleh berpunca daripada kurangnya empati dan persefahaman terhadap orang lain. Sesetengah pelajar mungkin tidak memahami sepenuhnya kesan emosi dan akibat daripada tindakan mereka. Kecerdasan emosi yang tidak mencukupi atau kegagalan untuk mengenali kesan tingkah laku mereka terhadap orang lain boleh menyumbang kepada kesinambungan buli.
Pelbagai langkah yang perlu dilakukan untuk menghapuskan budaya negatif ini di sekolah. Antaranya ialah melaksanakan program pendidikan yang komprehensif dan bersesuaian dengan umur untuk meningkatkan kesedaran tentang buli. Program-program ini harus menggalakkan rasa empati dalam diri setiap pelajar, mengajar kemahiran menyelesaikan konflik dan menekankan kepentingan rasa hormat dan kebaikan.
Bukan itu sahaja, program ini harus juga memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya berani memberitahu dan memaklumkan kepada pihak yang berkuasa sekiranya terlihat atau menjadi saksi pembulian berlaku sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah.
Buli juga boleh berpunca daripada faktor budaya dan norma sosial yang mengekalkan tingkah laku agresif atau tanggapan dinamik kuasa. Dalam sesetengah keadaan, bentuk buli tertentu boleh diterima atau dilihat sebagai boleh diterima dalam kumpulan sosial atau komuniti tertentu.
Penerimaan budaya ini boleh menghalang usaha menangani dan mencegah buli secara berkesan. Tekanan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam mengekalkan tingkah laku buli. Pelajar mungkin terlibat dalam buli untuk menyesuaikan diri dengan kumpulan sosial tertentu atau kerana mereka takut menjadi sasaran sendiri.
Norma sosial dalam kumpulan atau komuniti rakan sebaya tertentu boleh mengukuhkan lagi budaya buli lalu menjadikannya sukar untuk dihapuskan tanpa mencabar norma ini dengan berkesan. Norma yang wujud ini akan menganggap bahawa buli ini perkara yang remeh sedangkan ianya mungkin boleh menghancurkan hidup seseorang.
Keadaan ini boleh dirawat semula dengan memupuk budaya sekolah yang baru iaitu lebih positif dan menolak tingkah laku buli secara aktif. Budaya buli di sekolah ini terus terjadi di sekolah oleh kerana kehadiran orang dewasa seperti guru atau kakitangan adalah penting dalam mencegah dan menangani buli.
Walau bagaimanapun, kekurangan penyeliaan di kawasan tertentu di sekolah seperti lorong, bilik persalinan atau ruang dalam talian, boleh memberikan peluang untuk buli berlaku tanpa kawalan.
Campur tangan orang dewasa yang tidak konsisten atau tidak berkesan juga boleh mengekalkan masalah ini. Tidak dinafikan juga pengaruh komunikasi digital sememangnya menyumbang kepada berlakunya buli di sekolah. Peningkatan teknologi dan penggunaan meluas platform media sosial telah menyediakan jalan baharu untuk buli berlaku yang dikenali sebagai buli siber.
Buli siber ini membolehkan ianya menjadi sangat bahaya berbanding jenis buli yang lain kerana buli siber ini susah untuk kita tangani kerana apabila seseorang memuat naik sesuatu ke di internet, ianya akan menjadi kekal dan susah untuk dipadamkan sepenuhnya jika sudah tersebar luas. Keadaan ini seterusnya akan memberikan pengalaman buruk kepada si mangsa.
Kesimpulannya, menangani budaya buli di sekolah memerlukan pendekatan yang menyeluruh dari pelbagai aspek. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan empati, dan memberikan pendidikan tentang akibat buli.
Selain itu, mewujudkan budaya sekolah yang positif dan inklusif yang menolak tingkah laku buli dan memupuk rasa hormat dan kebaikan adalah penting. Mekanisme pelaporan yang jelas, strategi intervensi yang berkesan dan sistem sokongan untuk mangsa adalah perlu untuk menangani insiden buli dengan segera dan sewajarnya. Dalam pada itu juga, penglibatan ibu bapa, organisasi komuniti dan penyedia perkhidmatan dalam talian dalam usaha kerjasama boleh membantu mewujudkan barisan bersatu menentang buli. Dengan melaksanakan strategi ini, kita boleh berusaha ke arah memerangi budaya buli di sekolah lalu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan lebih memupuk untuk semua pelajar.
Penulis; 1. Noor Aisyhah Liyana Bt Mohd Hasrulnizam – Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 2. Dr. Velan Kunjuraman - Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Univeristi Kebangsaan Malaysia, Bangi.