Sunday, December 8, 2024
HomeArtikelPotensi Malaysia Sebagai Hab Pendidikan Global

Potensi Malaysia Sebagai Hab Pendidikan Global

Menurut kajian yang dijalankan oleh Times Higher Education (THE) dan Statista, sebuah portal dalam talian dari Jerman, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai bilangan institusi pendidikan tinggi atau universiti tertinggi di dunia, dengan jumlah sebanyak 351.

Ini meletakkan Malaysia sebagai pesaing utama di peringkat global dan negara terkemuka dalam bidang pendidikan global. Malaysia telah menduduki tempat ke-9 di Asia dan tempat ke-17 di peringkat antarabangsa sebagai negara yang mempunyai pelajar antarabangsa tertinggi, suatu pencapaian yang luar biasa.

Malah, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, setakat bulan Oktober, sejumlah 104,315 pelajar antarabangsa telah direkodkan menuntut di universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dalam pelbagai bidang dan peringkat. Permohonan dari pelajar antarabangsa di Malaysia telah meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tidak dinafikan, beberapa faktor menyumbang kepada peningkatan ini yang turut memainkan peranan penting dalam menarik pelajar dari seluruh dunia. Salah satu daripadanya ialah pendidikan dengan kos yang berpatutan walaupun pelajar ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang berkos tinggi.

Keterjangkauan pendidikan di Malaysia menjadi tarikan besar bagi pelajar antarabangsa, berbanding dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia. Kos pendidikan di Malaysia adalah jauh lebih rendah. Yuran pengajian dan kos sara hidup di Malaysia lebih terkawal, memungkinkan pelajar dari pelbagai latar belakang ekonomi melanjutkan pendidikan tinggi tanpa menanggung hutang yang membebankan.

Bayangkan jika seorang pelajar cemerlang namun berasal dari keluarga yang kurang berada, bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan, mereka mampu melakukannya di Malaysia. Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri di Malaysia hanya menelan kos antara MYR 20,000 hingga MYR 50,000, sedangkan jurusan yang sama mungkin menelan kos lebih daripada MYR 200,000 di Amerika Syarikat.

Perbezaan yang ketara ini menjadikan Malaysia pilihan yang menarik bagi pelajar dari negara dengan mata wang yang lebih rendah. Sesungguhnya keterjangkauan pendidikan di Malaysia bukan sahaja menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi tetapi juga mengurangkan beban kewangan, menjadikannya pilihan yang terbaik bagi pelajar antarabangsa.

Selain itu, Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rumah kepada institusi pendidikan berkualiti tinggi atas kecemerlangan akademik dan keupayaan penyelidikannya. Banyak universiti di Malaysia berada dalam kedudukan yang tinggi dalam ranking universiti global dan menawarkan program yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Institusi-institusi ini sering bekerjasama dengan universiti terkemuka di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan pengalaman pendidikan. Contohnya, universiti seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) konsisten berada di antara universiti teratas di dunia. UM, misalnya, berada dalam kedudukan 100 teratas di Asia dan menawarkan kemudahan bertaraf dunia serta program akademik yang menarik pelajar dari pelbagai negara.

Kehadiran institusi yang terkemuka ini memastikan pelajar menerima pendidikan yang kompetitif, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk kerjaya global. Pendidikan berkualiti adalah faktor asas bagi pelajar ketika hendak memilih destinasi pengajian, dan komitmen Malaysia untuk mencapai piawaian pendidikan yang tinggi membuatkan pelajar luar negara yakin untuk melabur dalam sektor pendidikan.

Tambahan pula, kepelbagaian budaya dan persekitaran yang selamat di Malaysia menjadikannya destinasi yang menarik bagi pelajar antarabangsa. Sebagai sebuah negara berbilang budaya dengan diversiti etnik, bahasa, dan tradisi yang kaya, Malaysia mencipta persekitaran yang mesra untuk pelajar antarabangsa, membolehkan mereka mengalami pelbagai budaya dan meluaskan perspektif global mereka.

Di Malaysia hanya ada musim panas dan musim hujan, tiada empat musim seperti negara lain, namun kepelbagaian etnik ini sudah cukup untuk mencorakkan dan mewarnakan kehidupan di sini. Kuala Lumpur, ibu kota yang terletak di Semenanjung Malaysia, adalah tempat pertemuan pelbagai budaya di mana pelajar dapat menyaksikan pertembungan serta asimilasi budaya Melayu, Cina, India, dan Bumiputera.

Acara tahunan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, dan Deepavali disambut di seluruh negara, membolehkan pelajar menikmati pengalaman budaya yang unik. Kesatuan dalam kepelbagaian ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia tinggi dalam Indeks Keamanan Global, mencerminkan persekitaran yang selamat dan stabil untuk hidup dan belajar.

Namun begitu, untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan kepada pelajar antarabangsa, ia memerlukan pendekatan strategik yang memanfaatkan kekuatan negara. Memperkasakan kaca mata global institusi pendidikan Malaysia adalah penting untuk menekankan objektif pendidikan.

Hal ini boleh dicapai melalui kempen pemasaran strategik dan testimoni daripada pelajar antarabangsa yang berjaya di Malaysia. Mungkin mereka yang telah berjaya dan bekerja di sektor kerajaan atau swasta diundang untuk berkongsi perjalanan mereka sebagai pelajar universiti di Malaysia, yang boleh mencipta naratif yang menarik perhatian pelajar di seluruh dunia.

Meningkatkan sistem sokongan untuk pelajar antarabangsa juga amatlah vital untuk memastikan mereka berasa dialu-alukan dan diraihkan. Menurut bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Mohd Radzi Md Jidin, kelewatan dalam pemprosesan visa telah menjadi isu utama, dengan kira-kira 30,000 pelajar antarabangsa menghadapi cabaran tersebut pada tahun 2021. Oleh itu, dengan mempermudah dan mempercepat prosedur visa, Malaysia dapat meningkatkan kemasukan para pelajar antarabangsa secara drastik.

Kesimpulannya, Malaysia memiliki potensi yang besar untuk muncul sebagai hab pendidikan global, melihat kepada dua kayu ukur utama, iaitu keupayaan dan pencapaian semasa. Dengan komitmen kepada kecemerlangan dalam pendidikan, yang dibuktikan dengan peningkatan bilangan institusi berwibawa, Malaysia sebenarnya telah pun bersedia untuk menarik pelajar dari seluruh dunia.

Seperti yang dinyatakan oleh Nelson Mandela, “Pendidikan adalah senjata paling berkuasa yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia,” dan dedikasi Malaysia dalam memupuk bakat dan menjalin kerjasama antarabangsa menekankan keupayaannya untuk membentuk masa depan pendidikan di peringkat global.

Penulis;
Maryam Jamila, Universiti Sains Islam Malaysia
.
RELATED ARTICLES

Most Popular