Kita telah mendengar banyak berita dalam beberapa minggu lepas mengenai pelbagai topik, baik dalam mahupun luar negara. Banyak perkara berlaku yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan, dan kemanusiaan.
Berita yang tersiar sedikit sebanyak memberi kesan kepada banyak pihak dan memerlukan masa yang lama untuk pulih. Rakyat kecewa dengan apa yang berlaku di dalam dan di luar negara kerana tidak ada tindakan dilakukan, yang membawa kepada akibat buruk lalu menjejaskan lagi keadaan.
Salah satu berita yang paling banyak dibincangkan sekarang adalah senario pandemik Covid-19 yang semakin merosot di negara kita. Jumlah kes yang semakin meningkat dari hari ke hari menimbulkan kebimbangan semua pihak termasuklah rakyat dan pemimpin negara. Menteri kesihatan telah melakukan segala yang mampu untuk menghentikan penyebaran wabak ini di negara kita, tetapi wabak ini menjadi tidak terkawal sejak akhir-akhir ini.
Rakyat banyak terkesan semenjak wabak Covid-19 ini menyerang dunia bermula akhir tahun 2019 dan menyerang negara kita bermula awal tahun lepas. Pelbagai usaha dilakukan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menurunkan kadar penyebaran wabak tersebut dan beberapa fasa pemulihan telah dilakukan selepas kes berjaya diturunkan namun kejayaan tersebut tidak bertahan lama. Kes kembali meningkat dan penyebaran wabak ini semakin tidak terkawal.
Keadaan pandemik ini memaksa kita untuk kurang melakukan aktiviti di luar rumah dan lebih banyak meluangkan masa di dalam rumah. Rakyat Malaysia memberi reaksi kepada berita mengenai keadaan Covid-19 di negara kita dan juga berita global dengan meluahkan apa yang mereka fikir di media sosial.
Ramai orang menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita dengan menyampaikan berita yang sah untuk memastikan bahawa orang lain menerima maklumat yang tepat dan jujur. Facebook, Twitter, dan Instagram adalah antara platform media sosial yang paling popular, dan sangat mudah untuk menyebarkan berita melalui platform tersebut.
Kita di zaman teknologi canggih di mana kita mampu menyebarkan apa jua berita dan penulisan kita untuk dibaca oleh orang lain. Sekarang hampir semua orang mempunyai sosial media dan sangat mudah untuk menarik pembaca untuk membaca penulisan kita di media sosial.
Selain daripada isu-isu domestik, keadaan saudara Muslim di Palestin sangat menyedihkan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Banyak negara telah berusaha membantu dengan menyumbang bantuan makanan, bantuan perubatan, dan keperluan asas untuk meringankan beban mereka di sana.
Walaupun kita tidak dapat pergi sendiri membantu mereka di sana, tetapi dengan bantuan yang disampaikan mampu mengurangkan beban mereka. Selain itu, kata-kata semangat yang kita lontarkan dan tulis di media sosial yang sampai kepada mereka sangat memberi impak positif kepada mereka. Kita menyangka bahawa ianya mustahil untuk penulisan kita sampai kepada mereka tetapi dengan teknologi yang amat canggih sekarang tiada apa yang mustahil.
Namun, terdapat juga individu yang menggunakan media sosial untuk mengutuk dan menyatakan rasa tidak senang dengan keadaan yang berlaku dalam dan luar negara. Mereka meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan menggunakan bahasa kasar dan tidak beradab.
Mereka mengkritik pentadbiran kerana gagal mencegah penyebaran Covid-19 di negara ini. Walaupun hakikatnya kita seharusnya berganding bahu bersama dengan kerajaan bagi memastikan kita boleh melawan wabak ini dan kembali kepada kehidupan sebelum wabak ini menyerang kita. Kita tidak sepatutnya hanya menunding jari kepada kerajaan malahan kita perlu memainkan peranan setiap antara kita supaya kita boleh menjalani kehidupan normal tanpa wabak Covid-19.
Bagi saudara-saudara Islam di Palestin, ramai daripada rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk mengutuk beberapa pihak yang terlibat dalam serangan ke atas Palestin. Sekiranya kita melayari media sosial, kita dapat menyaksikan ramai rakyat Malaysia menyerang ruang siber dan menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan cara yang tidak beradab.
Walaupun kita tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, kita tetap perlu menjaga tutur kata dan akhlak sebagai umat Islam. Jangan disebabkan konflik yang terjadi ia membuatkan kita umat Islam hilang adab dan jati diri sebagai orang Islam.
Oleh kerana mereka tidak lagi dapat berkomunikasi secara bersemuka, mereka meluahkan kekecewaan mereka di media sosial dengan cara yang tidak beradab. Mereka menggantikan percakapan dengan menulis di media sosial. Sekiranya mereka menulis tentang perkara-perkara yang baik dan bermanfaat, itu akan memberi kebaikan dan ganjaran kepada mereka, tetapi jika mereka menulis perkara-perkara negatif seperti mengutuk, mengkritik, dan menghina orang lain, itu akan membahayakan mereka.
Dengan menulis perkara negatif di media sosial, mereka tidak sedar bahawa dengan cara mereka itu boleh menyebabkan orang bukan Islam memandang umat Islam sebagai orang yang tiada adab. Perkara ini mengundang fitnah kepada Islam dan menyebabkan orang bukan Islam menjauhkan diri daripada umat Islam kerana menyangka kita orang yang kasar dan sukar didekati .
Allah S.W.T telah memberi kita lidah untuk berbicara, akal untuk berfikir dan tangan untuk berbuat kebaikan. Dengan rahmat Tuhan, kita mempunyai kewajiban untuk bertanggungjawab ke atas semua yang kita katakan dan lakukan.
Dan kita, sebagai hamba, harus bersyukur atas rahmat Tuhan dengan mengawal dan menggunakannya dengan betul. Kita tidak patut menggunakan segala nikmat yang dikurniakan untuk melakukan perkara mungkar kerana ianya merupakan hadiah dan kurniaan daripada Allah S.W.T.
Kita perlu memelihara dan menjaga segala nikmat dengan sebaiknya supaya ia dapat membawa kita ke syurga kelak. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakan yang benar, Allah akan memperbaiki perbuatanmu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kemenangan yang besar.“[Al-Ahzab: 70-71]
Ayat Al-Quran di atas menunjukkan bahawa sebagai orang yang beriman, kita mesti bercakap benar dan akan mendapat pahala. Banyak hadis yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menjaga kata-kata dan tangan mereka daripada melakukan kesalahan dan menimbulkan kemurkaan Allah.
Sebelum berkongsi sebarang komen atau maklumat kepada orang lain, umat Islam diminta untuk mencari kebenaran dan kesahihan sesuatu berita tersebut. Sekiranya apa yang disampaikan tidak asli atau tidak benar, itu akan mengakibatkan fitnah, dan jika disebarkan secara meluas, itu akan merugikan diri sendiri, masyarakat, dan negara.
Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Konsep tabayyun ini sangat ditekankan kerana jika ia tidak diamalkan boleh menyumbang kepada kesan yang buruk. Ia akan menyebabkan prasangka buruk dan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang berita yang disampaikan.
Daripada Abdullah bin ‘Amru. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (Shahih Bukhari). Kita sebagai manusia biasa semestinya tidak terlepas daripada melakukan kejahatan terhadap orang lain.
Menggunakan bahasa yang kasar dan tingkah laku tidak beradab boleh membuat orang lain tidak menyukai kita dan menjauhkan diri daripada kita. Berdasarkan hadis di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa kita, sebagai umat Islam, harus menjaga diri dalam pertuturan dan tingkah laku kita agar tidak menyinggung perasaan orang Islam yang lain.
Kehidupan di dunia ini bukan tentang kita sahaja, tetapi kita hidup dalam masyarakat dan dikelilingi oleh sebilangan besar orang lain. Untuk hidup dalam persekitaran yang harmoni, kita mesti mempertimbangkan perasaan orang lain dan menjaga tingkah laku kita.
Hadis lain daripada Abu Hurairah, dihubungkan dengan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang percaya kepada Allah dan Akhirat harus bercakap baik atau diam,“. (Al-Bukhari dan Muslim melaporkan hal ini). Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyeru umat Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk mengatakan apa yang baik, dan jika tidak ada yang menyenangkan untuk mengatakan, kita disarankan untuk berdiam diri daripada mengucapkan yang buruk.
Kita seharusnya berfikir sebelum berkata-kata kerana melalui percakapan kita ia akan memberi kesan kepada orang lain. Kita hendaklah berkata serta menulis yang baik supaya dapat menyebarkan aura yang positif dan memberikan impak yang baik buat pendengar dan pembaca kita. Sebagai umat Islam kita seharusnya menggunakan media sosial sebagai tempat untuk meraih pahala dengan membuat penulisan-penulisan yang berunsur kebaikan dan mengajak orang lain membuat kebaikan.
Ringkasnya, kita sebagai umat Islam pada akhir zaman ini, khususnya, harus lebih berhati-hati ketika berbicara atau menulis di media sosial. Allah S.W.T sentiasa memerhatikan, dan malaikat mencatat setiap tindakan dan tutur kata kita di bumi. Kita perlu menjaga diri daripada melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Kita boleh melihat daripada ayat Al-quran dan hadis banyak menyeru kita untuk menjaga lisan dan perbuatan kita di dunia ini.
Dengan menjaga lisan dan perbuatan kita, kita bukan sahaja mendapat pahala bahkan membuatkan orang lebih menyukai kita dan dapat menarik orang bukan Islam lebih senang dengan Islam kerana kita telah menunjukkan akhlak orang Islam yang sebenar. Secara tidak langsung kita telah menyebarkan Islam kepada mereka yang tidak mengetahui tentang Islam melalui akhlak yang baik dan terpuji.
Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan pelbagai pesan dalam pelbagai hadis, dan kita mesti mematuhi pesan Nabi SAW. Sekiranya kita tidak dapat mengikuti semua pesan Nabi Muhammad SAW, cukup untuk mengikuti beberapa pesanan; paling tidak, kita tidak meninggalkannya.
Penulis: Nurfatinnabila Bt Mu’az, Pelajar Tahun 3, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.