Thursday, December 19, 2024
HomeArtikelSejauhmana Media Sosial Memberi Kesan Buruk Kepada Masyarakat?

Sejauhmana Media Sosial Memberi Kesan Buruk Kepada Masyarakat?

Menurut Kamus Dewan, media adalah alat perantara, komunikasi atau perhubungan. Manakala sosial pula adalah perihal kemasyarakatan dan pergaulan. Media sosial merupakan satu rangkaian komunikasi di atas talian yang dapat menghubungkan setiap manusia di setiap pelusuk dunia.

Media sosial mempunyai sejarah kemunculannya yang tersendiri. Pada 1978, munculnya ‘papan buletin’ ia berfungsi untuk memuat turun maklumat dan komunikasi melalui surat elektronik ‘e-mel’. Selepas itu, media sosial mula berkembang dengan kemunculan media sosial yang dinamakan Blogger.

Ia dilancarkan pada tahun 1999 oleh Pyra Labs. Fungsi media sosial ini adalah untuk penerbitan blog. Pada tahun 2002, muncul dua lagi media sosial baru iaitu Friendster dan Linkedln. Friendster berfungsi sebagai tempat komunikasi antara orang di seluruh dunia pada waktu itu. Manakala Linkedln, merupakan medium perniagaan oleh golongan professional.

Pada tahun 2003 munculnya satu media sosial yang menjadi kegilaan golongan muda pada waktu itu. MySpace telah menjadi fenomena yang membuatkan penggunaan media sosial di Malaysia lebih meluas.

Tetapi MySpace tidak bertahan lama apabila munculnya kewujudan Facebook yang mengambil alih kepopularitian MySpace pada tahun 2004. Selepas itu makin berkembang rangkaian media sosial sehingga hari ini. Pembaharuan dan penambahbaikan dibuat seiring dengan kemajuan teknologi.

Sebenarnya, pada awal kewujudan media, ia hanyalah menjadi alat perhubungan seperti televisyen, radio dan surat khabar. Media pada waktu ini tidak dapat menjadi alat komunikasi dan menyukarkan pengguna untuk menyuarakan pendapat.

Oleh itu, elemen sosial telah dibawa masuk ke dalam media. Tambahan pula, ia dapat membuat media sebagai alat komunikasi antara seluruh rakyat di dunia. Media sosial ini berkembang dengan amat pesat sekali di serata dunia sehingga boleh dianggap alat komunikasi yang penting pada dunia hari ini. Buktinya, kita dapat lihat telah wujud pebagai aplikasi sosial media yang digunakan seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan Tik-Tok.

Dengan itu, sosial media juga mempunyai pelbagai kategorinya tersendiri seperti media sosial sebagai forum perbincangan, medium streamer, mengadakan video secara langsung, tempat berniaga dan sebagainya.

Pada era moden ini, penggunaan media sosial adalah penting untuk kehidupan setiap orang. Ini kerana media sosial bukan sahaja alat perhubungan tetapi ia juga digunakan amat meluas dalam bidang perniagaan, keagamaan, politik, perubatan dan sebagainya.

Keburukan Media Sosial

Di Malaysia, penggunaan media sosial amat popular di kalangan masyarakat Malaysia seperti Facebook, Twitter, TikTok, WhatsApp dan pelbagai lagi. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses adalah satu kelebihan bagi sosial media.

Ada juga sesetengah rakyat Malaysia yang menjadikan media sosial sebagai tempat untuk mereka meluangkan masa lapang. Tambahan lagi untuk anak muda zaman ini yang mempunyai ketagihan terhadap media sosial.

Dengan penggunaannya yang mudah diakses, media sosial juga dapat memberikan kesan yang buruk terhadap gaya hidup masyarkat di Malaysia. Kesan buruk ini dapat mempengaruhi pelbagai lapisan Masyarakat. Antara kesan buruknya adalah:

Pembaziran Masa

Kesan buruk yang paling ketara daripada media sosial adalah pembaziran masa. Hal ini berlaku kerana media sosial merupakan medium yang sangat mudah untuk masyarakat kita menghabiskan masa di situ asalkan mempunyai ranngkaian internet untuk melayari media sosial. Ini memberi kesan juga terhadap para pelajar yang masih bersekolah.

Mengikut kajian, pelajar zaman sekarang suka menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial ini mengundangkan kerisauan terhadap ibu bapa kerana anaknya lebih suka menghabsikan masa di media sosial berbanding meluangkan masa untuk belajar.

Konsentrasi pelajar akan terganggu apabila menggunakan sosial media. Hal ini disebabkan pelajar menggunakan sosial media sebagai tempat hiburan dan juga tempat menghilang stress terhadap pelajaran. Hal ini juga dapat menyebabkan kemerosotan prestasi pelajaran seseorang pelajar itu. Kemungkinan selepas mereka dapat menghilangkan stress, mereka dapat fokus semula dapat pelajaran mereka.

Tambahan pula, hampir kesuluruhan masyarakat Malaysia mempunyai telefon pintar. Kepelbagaian aplikasi menarik yang terdapat di dalam media sosial juga menarik ramai orang untuk mengakses ataupun bermain aplikasi tersebut contohnya seperti Farmville, Dragon City dan pelbagai aplikasi lagi. Jelas menunjukkan media sosial dapat membazir masa kita yang amat penting. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Asr yang bermaksud;

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Apa yang dapat kita fahami daripada surah ini ialah masa kita amat terhad sekali, seperti pepatah “masa itu emas”. Sudah ditetapkan bahawa Allah memberi satu masa yang tetap kepada kita. Daripada mula kita dilahirkan sehingga saat kita menghembus nafas terakhir, kita tidak dapat untuk mengubah masa tersebut walau sesaat pun, sama ada untuk mempercepatkan atau melambatkanya.

Begitu juga, kita tidak tahu bila kita akan mati dan di mana kita akan berdepan dengan kematian. Semua itu adalah rahsia pencipta kita. Apa yang mampu kita buat adalah isilah masa kita dengan perkara yang tidak membuang masa dengan sia-sia.

Oleh itu, hendaklah kita mengisi masa kita dengan amal ibadah dan amal jariah agar bila kita mati, kita membawa bekalan yang cukup.

Penipuan

Di media sosial juha dapat mendatangkan kesan negatif yang teruk seperti penipuan atau dipanggil ‘Scammer’. Sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes penipuan dan pemalsuan di media sosial terutamanya penipuan terhadap golongan yang kurang pengetahuan dari segi penipuan di media sosial dan juga di kalangan remaja perempuan.

Penipuan ke atas remaja perempuan berlaku disebabkan mereka baru hendak mengenali dunia media sosial yang sebenar. Mereka sering ditipu dengan orang yang mereka baru kenal. Contohnya, remaja perempuan mendapat chat dari Instagram untuk menjadi pasangan kepada orang yang mereka baru kenal di media sosial.

Seterusnya mereka di ajak untuk berjumpa di suatu tempat. Namun demikian, setelah mereka tiba di tempat yang disuruh oleh orang yang mereka baru kenal di media sosial, mereka ditipu dan kemungkinan di rogol.

Selain itu, ada juga kes di mana seseorang mendapat mesej di WhatsApp yang mengatakan dia menang hadiah wang yang lumayan namun sebaliknya yang berlaku, mangsa penipuan yang menanggung kerugian yang besar. Oleh sebab itu, sebaiknya kita perlulah siasat dan berhati-hati dengan siapa yang kita baru kenal di media sosial dan juga mesej yang seperti seakan-akan penipuan.

Allah berfirman dalam Surah an-Nisa yang bermaksud

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (An-Nisa’, 5: 138).

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya)” (An-Nisa’, 5: 29)

Kita sebagai umat Islam juga perlulah mengelakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada geng penipuan jenayah kewangan dalam media sosial. Ini kerana Allah melarang kita daripada melakukan perkara seperti ini.

Bagi mengelakkan diri kita dari menjadi mangsa penipuan seperti ini, anak-anak dewasa perlulah kerap bicara taktik penipuan kewangan ini dengan ibu bapa mereka. Kita juga perlulah berwaspada terhadap panggilan yang mendakwa dari agensi atau orang yang tidak dikenali. Selain itu, masyarakat juga perlu lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan jenayah kewangan ini.

Buli Siber

Pada zaman moden ini, kes pembulian siber begitu kerap kali berlaku.Tambah-tambah lagi di Malaysia, kes buli siber makin menjadi-jadi. Ini terbukti berdasarkan ranking kes buli siber Malaysia yang berada pada kedudukan ke-6 dunia dan ke-2 Asia.  Buli siber bermaksud satu perbuatan yang memalukan atau mengancam seseorang melalui media sosial.

Pembulian siber ini berlaku di alam maya dan ia tidak seperti kes pembulian lain di alam sebenar. Tambahan pula, pembulian siber ini mudah untuk berlaku kerana mangsa buli di alam maya ini senang untuk dicari dan mangsa susah untuk melindungi diri mereka dari kes pembulian siber ini.

Pembulian siber yang sering berlaku adalah di mana pengguna-pengguna media sosial mendapat komen-komen yang negatif seperti ‘body shamming’ kerana mereka tidak suka melihat orang lain bahagia dan ingin menjatuhkan maruah mangsa buli ini.

Dengan itu, pembulian siber dapat memberi kesan yang teruk kepada mangsa, lebih-lebih lagi dari aspek psikologi di mana mangsa akan menjadi anti-sosial, kurang keyakinan diri, kemurungan yang melampau yang boleh membawa kepada membunuh diri.

Hal ini sering berlaku kerana kurangnya penghayatan nilai-nilai agama dan juga nilai kemanusiaan di dalam diri mereka. Allah berfirman dalam Surah al-Isra yang bermaksud;

Dan demi sesungguhnya KAMI telah muliakan anak Adam.” (Surah al-Isra, ayat 70)

Ayat dari Surah al-Isra ini jelas menjelaskan menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan semua manusia yang merupakan cucu-cicit Nabi Adam As. Tidak kiralah sama ada seseorang itu bergama islam atau tidak. Kemuliaan itu dari segi fizikal selagi kita digelar sebagai manusia. Oleh itu, kita janganlah mengutuk atau mengecam sifat fizikal seseorang sama ada kita mengenali atau tidak mengenali orang tersebut.

Maka kita janganlah membawa diri kita untuk membuli orang di media sosial ia akan menambah dosa kita. Justeru itu, setiap individu, masyarakat dan negara Islam sewajarnya menjadi tempat serta lingkungan yang selamat bagi setiap manusia yang melarikan diri dari kezaliman sesama manusia termasuk media sosial yang mempunyai jutaan pengguna.

Penulis; Muhammad Azfar Ikhwan bin Azman, pelajar tahun 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular