Sunday, December 8, 2024
HomeArtikelMata Lebah VS Mata Lalat dalam Perspektif Kehidupan

Mata Lebah VS Mata Lalat dalam Perspektif Kehidupan

Perspektif seseorang individu terhadap kehidupan menentukan tahap kecerdasan dalam memandang setiap episod kehidupan yang dilalui setiap hari sama ada ianya baik atau buruk. Tidak keterlaluan jika dikatakan gaya fikir boleh menjadi salah satu mekanisme dalam menentukan kebahagiaan hidup seseorang individu.

Pemikiran yang baik sudah tentu akan memberikan ketenangan kerana bebas daripada pemikiran-pemikiran fahisyah yang mendorong kepada kejahatan dan kebinasaan seperti hasad dengki, penyakit ‘ain, tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, penggunaan media sosial yang semakin menular telah menjadi faktor terbesar dalam mempengaruhi gaya fikir seseorang individu. Jika setiap paparan di media sosial dilihat dengan pandangan negatif, sudah tentu akan memberikan pengaruh yang negatif dalam memahami sesuatu peristiwa yang berlaku pada setiap hari.

Media Sosial dalam Perspektif Positif atau Negatif?

Penggunaan media sosial telah dijadikan satu platform untuk berkongsi aktiviti harian bersama ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan sepejabat sebagai kenang-kenangan. Sebagai contoh, ada segelintir berkongsi di media sosial tentang penulisan, program-program yang dihadiri dan aktiviti kemanusiaan sebagai wadah untuk menggalakkan orang ramai terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Jika seseorang individu melihat perkongsian tersebut dengan pandangan ‘mata lebah’, mereka akan melihatnya sebagai perkara yang positif. Malah, ada sebahagian menjadikannya sebagai motivasi dan suntikan untuk terlibat aktif dalam perkara-perkara kebaikan.

Namun, ada juga segelintir melihat perkongsian tersebut dari sudut perspektif yang tidak baik dan menganggap perkongsian di media sosial seperti aplikasi TikTok, Facebook dan Instagram sebagai medium untuk menunjuk-nunjuk nikmat dan kejayaan yang diperoleh.

Senario sebegini boleh membawa kepada masalah mental iaitu gangguan kegelisahan, cemas dan tidak tenang secara melampau (anxiety) sekiranya tidak dibendung melalui cara fikir yang sihat.

Oleh yang demikian, ahli pujangga menggunakan perumpamaan ‘mata lalat’ dan ‘mata lebah’ sebagai kiasan untuk melihat gaya fikir seseorang insan dalam memanifestasi kefahaman terhadap sesuatu peristiwa atau isu yang berlaku.

Mata Lebah: Melihat Sesuatu dalam Perspektif Positif

Lalu, siapakah sebenarnya golongan yang digelar sebagai mata lalat atau mata lebah?

Golongan yang memandang sesuatu perkara dengan penuh kebaikan, indah dan menyeronokkan walaupun secara fizikalnya mempunyai pelbagai kekurangan digelar sebagai golongan yang memiliki mata lebah.

Golongan ini kebiasaannya mempunyai sifat yang tenang, tidak mudah melenting dan memahami sesuatu perkara dengan penuh berhikmah. Sebagai contoh jika berlakunya sebarang musibah atau kegagalan, mereka tidak akan cepat berputus asa dan menganggap ianya sebagai salah satu cara Tuhan menunjukkan kasih sayang kepada hambanya supaya ujian itu dilalui dengan sabar dan penuh kesyukuran.

Contoh Mata Lebah dalam Kehidupan Seharian

Kekentalan semangat juang rakyat Palestin untuk terus berjuang melawan kekejaman tentera Zionis dengan penuh kesabaran dan keredhaan merupakan salah satu contoh golongan yang melihat ujian dengan pandangan mata lebah.

Walaupun secara mata kasarnya ujian yang dilalui terlalu berat dan terlalu kejam, namun rakyat Palestin merasai kemanisan jihad kerana yakin syurga yang diidamkan berada di dalam genggaman mereka iaitu, tempat dijanjikan kenikmatan dan kebahagiaan yang abadi. Jika mereka melihat dengan pandangan mata lalat sudah tentu mereka akan berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Mata Lalat: Meneliti Keburukan dan Kekurangan

Manakala, golongan yang sentiasa melihat perkara dalam keadaan yang tidak baik, sentiasa mencari kesalahan dan keburukan serta kecacatan pula digelar sebagai golongan yang memiliki mata lalat.

Golongan seperti ini akan sedaya-upaya mencari kekurangan dan kecacatan agar dapat dijadikan sebagai isu untuk menunjukkan ketidak puasan hati sehingga boleh menjatuhkan seseorang individu. Malah, mereka akan bertepuk tangan apabila melihat seseorang individu yang tidak disukai jatuh terduduk, ditimpa kesusahan dan bencana akibat masalah hati yang dimiliki.

Bahaya Sikap Mata Lalat dalam Masyarakat

Lebih parah lagi, ada sebahagian akan mencari-cari kesalahan untuk diperbesarkan dan dikongsi dengan masyarakat umum agar lebih ramai lagi boleh mengetahui aib dan mengutuk mana-mana individu yang terlibat di dalam sesuatu isu.

Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai isu di media sosial atau media komunikasi yang lain. Lebih mendukacitakan, rata-rata masyarakat sudah tidak mempunyai sifat malu untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, melampau dan mengandungi sumpah seranah semata-mata ingin ‘memanaskan’ sesuatu isu yang sedang tular.

Padahal, watak mereka tidak ada kepentingan langsung cuma sekadar menambahkan perisa supaya lebih banyak lagi keaiban dibongkarkan terutamanya apabila melibatkan isu-isu hiburan dan politik di Tanah Air kita ini.

Larangan membuka aib seseorang individu disebutkan dengan jelas di Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi (2032) dalam Sunan-nya:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya”.

Kepentingan Akal dan Gaya Fikir dalam Islam

Persoalannya, sejauh manakah corak gaya fikir seseorang individu boleh menjadi satu faktor penentuan kebahagiaan hidup?

Sudah tentu ianya boleh mempengaruhi kehidupan seseorang individu lebih-lebih lagi akal merupakan nikmat istimewa kepada manusia dan mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam syari’at Islam.

Masakan tidak, penjagaan akal daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan akal yang sihat termasuk dalam salah satu prinsip Maqasid Shariah. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 179 bermaksud:

 “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl, ayat 78).

Allah SWT menekankan bahawa betapa peri pentingnya menggunakan akal untuk mencari petunjuk kebenaran, memahami hakikat diri dan hakikat alam semesta untuk mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya, jika akal tidak digunakan dengan sebaiknya untuk memikirkan perkara-perkara yang baik, sudah tentu akan membawa manusia kepada lembah kebinasaan.

Hal ini demikian kerana daripada akal akan menentukan gaya fikir lalu diaplikasikan kepada sesuatu tindakan. Sebagai contoh, jika dalam fikiran seseorang sentiasa melihat keburukan kepada sesuatu perkara sudah tentu akan melahirkan tindakan mengikut apa yang difikirkan seperti memandang rendah kepada seseorang, bersangka buruk akan segala kebaikan yang dilakukan dan lebih parah lagi menyebarkan aib seseorang semata-mata ingin memuaskan hati dan fikiran.

Sedangkan, jika seseorang memahami sebab utama penciptaan akal sudah tentu tidak akan sesekali menggunakannya kepada perkara-perkara mungkar. Dari sudut maqasid shariah, bagi golongan yang melihat menggunakan mata lebah mampu menyumbang kepada kemaslahatan ummah. Hal ini demikian pemikiran yang baik mendorong kepada tindakan yang lebih rasional sekaligus boleh mewujudkan keharmonian dan mengelakkan wujudnya pergaduhan, salah faham dan budaya menjaja keaiban mana-mana individu.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan setiap individu sama ada ingin menjadi golongan yang memiliki mata lebah atau mata lalat. Sudah tentu, pilihan yang terbaik adalah menjadi golongan yang memiliki mata lebah yang cuma melihat dan memilih yang baik-baik walaupun secara mata kasarnya kelihatan buruk, susah dan berliku perjalanan kehidupannya.

Elakkan diri daripada terjebak dengan pandangan mata lalat yang cepat melabel dan melatah dalam memandang sesuatu perkara. Gunalah anugerah mata yang dikurniakan daripada Allah SWT untuk perkara-perkara kebaikan.

Ingatlah, pandangan mata akan dicerna oleh otak untuk memproses maklumat lalu melahirkan buah fikiran. Berfikir secara positif akan melahirkan tindakan yang positif seterusnya akan membentuk salah satu elemen gaya hidup yang sihat sejajar dengan saranan Al-quran dan As-sunnah.

Penulis:

1. Siti Jamilah Mohd Sukri, Pensyarah Pengurusan Islam dengan Perniagaan Halal,  Fakulti Teknologi, Reka Bentuk dan Pengurusan (Pengurusan Islam), Kolej Universiti Yayasan Pahang.
2. Che Nurul Asyiqin Che Yusoff,  Graduan Sarjana,  Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular