5 Tips dan Cadangan Pengurusan Kewangan di Kala Pandemik Ini | Pertambahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggarkan dapat memberi tekanan yang lebih besar kepada orang dewasa yang bekerja sekali gus mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan.
Secara statistik, kadar pengangguran meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 3.9 peratus pada bulan Mac tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2020).
Justeru, amalan mengurus kewangan peribadi dengan betul, seperti mengasingkan wang untuk hari penting, perlu diperkenalkan semula dan dipupuk, seterusnya menyumbang kepada pentingnya perancangan kewangan di kalangan masyarakat ketika COVID-19.
Pandemik COVID-19 telah mewujudkan keadaan yang sukar bagi semua individu. Ketika virus ini melanda seluruh dunia, keutamaan semua individu adalah berpandu kepada keutamaan yang sama iaitu mengekalkan kesihatan sendiri dan keluarga.
Walau bagaimanapun, mengekalkan kesihatan secara fizikal dan kewangan dalam situasi ekonomi semasa telah menimbulkan cabaran dan halangan bagi sesetengah individu.
Pengurusan kewangan di kala pandemik ini amatlah penting. Rancang bajet anda, dan sentiasa patuhinya. Bagi mengatur kewangan, seseorang itu pada asasnya perlu memahami situasi kewangan mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi dalam situasi tidak menentu ketika ini.
Berikut adalah antara tips dan cadangan pengurusan kewangan yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian, supaya sedikit sebanyak dapat membantu kita bersama-sama mengharungi wabak Covid-19 yang melanda negara.
1. Rancang dan Sediakan Bajet Yang Jelas
Secara teorinya, pengetahuan kewangan yang dimiliki dapat membantu individu bagi menguruskan kewangan masing-masing dengan lebih baik pada waktu sukar ini. Perancangan bajet adalah kemahiran yang paling penting untuk pengurusan kewangan yang berjaya.
Bajet yang dirancang rapi akan memastikan anda berjaya mencapai matlamat kewangan anda, dan memberikan anda pemahaman yang menyeluruh mengenai perbelanjaan di dalam semua aspek kehidupan.
Setiap orang mempunyai komitmen dan keperluan kewangan yang berbeza, jadi pastikan bajet anda menepati jumlah pendapatan dan bertepatan dengan gaya hidup anda.
Walau bagaimanapun, bajet yang dirancang rapi tidak akan dapat menjamin kewangan anda 100% jika ianya tidak dipatuhi. Pastikan anda berbelanja mengikutperancangan, atau ubah bajet anda berdasarkan status kewangan terkini untuk memastikan bajet yang dirancang adalah yang terbaik.
“Keperluan harus mendahului kehendak”, adalah salah satu slogan yang wajar dan patut untuk kita pegang dalam apa-apa bentuk perbelanjaan sekalipun. Antara pengajaran daripada pandemik ini ialah perkara yang tidak diduga boleh berlaku pada bila-bila masa.
Justeru, kita harus bersedia dengan perancangan dan bajet yang teguh. Jika ragu ragu dalam menentukan bajet harian mahupun bulanan, masyarakat boleh mendapatkan bantuan individu yang dipercayai dan juga ahli profesional dan penasihat kewangan jika anda tidak pasti dan yakin dengan apa yang anda lakukan dalam konteks pengurusan kewangan.
2. Rancang Pelaburan anda
Pelaburan juga adalah salah satu perkara yang mustahak dan penting untuk diuruskan. Ia mampu memberi kebaikan mahupun keburukan jika tidak diuruskan dengan baik. Dalam era pemodenan ini, terdapat banyak bentuk pelaburan yang kita boleh pilih antaranya adalah, pasaran saham, hartanah, “unit trust” dan pelaburan yang lain.
Perkara pertama yang harus dilakukan dalam menguruskan kewangan dari sudut pelaburan adalah dengan menilai semula portfolio pelaburan.
Matlamat pelaburan adalah untuk memastikan kita dapat memenuhi matlamat hidup dan melindungi masa depan kewangan. Dalam menghadapi kesempitan wang disebabkan COVID-19, pelabur harus membuat pilihan bijak dengan memilih saham mana yang harus disimpan atau dicairkan.
Dalam mencapai matlamat anda, adalah lebih baik jika kewangan anda diurus dahulu tanpa melibatkan penjualan pelaburan anda. Akan tetapi, pelaburan kurang penting atau tidak sejajar matlamat kewangan boleh dicairkan dan ditukarkan kepada tunai selepas mengambil kira kos dan penalti yang berkaitan.
Selain itu, pelaburan dalam saham amanah contohnya, boleh ditangguhkan sehingga kewangan kembali pulih seperti sedia kala. Seterusnya, pelaburan yang baharu boleh dimulakan semula sebaik kedudukan kewangan anda lebih stabil. J
ika anda terlalu terlibat secara emosional ketika melabur, anda boleh memilih individu profesional yang boleh dipercayai dalam menasihatkan anda dalam konteks pelaburan atau jika anda memerlukan jaminan objektif yang jelas.
3. Minimakan Perbelanjaan
Dalam kegawatan ekonomi ini, ianya menjadi kebiasaan jika seseorang itu membelanjakan lebih sedikit berbanding sebelumnya apabila individu tersebut bimbang akan masa depannya. Akan tetapi perkara ini menimbulkan dilema klasik sebagaimana pandangan ahli ekonomi, John Maynard Keynes dalam kajiannya semasa krisis ekonomi tahun 1930-an mengatakan, jika pengguna tidak membelanja, maka ekonomi akan merosot.
Seterusnya, perkara ini mengakibatkan kehilangan pekerjaan, penurunan pendapatan isi rumah dan pemotongan perbelanjaan yang lebih jauh dalam. Oleh itu, perbelanjaan masyarakat amat penting untuk memulihkan ekonomi namun dalam situasi sekarang, kita boleh merancang untuk meminimumkan perbelanjaan.
Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda belanjakan demi keperluan harian, seperti elektrik, sewa, makan dan minum anda. Tetapi ada cara yang lebih efisien untuk mengurangkan sebahagian daripada kos ini agar wang anda dapat dijimatkan dan digunakan untuk keperluan yang lain.
Utiliti (air, elektrik, gas)
Tidak dinafikan bahawa masyarakat meluangkan dan menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah, masyarakat boleh cuba untuk menjimatkan wang pada bil elektrik dan air dengan mematikan lampu, mematikan suis barang dan utiliti yang tidak anda gunakan.
Selain itu, anda juga boleh menyegerakan mandian anda dengan lebih cepat supaya dapat memaksimumkan penggunaan air sambil menggunakan air yang kurang.
Makanan dan Minuman
Dari segi aspek makanan, masyarakat juga boleh mempraktikkan untuk memasak sendiri. Dengan cara ini, individu tersebut dapat berjimat dengan lebih banyak berbanding dengan membeli makanan di luar. Justeru, amatlah baik bagi masyarakat untuk melakukan penyediaan makanan.
Dalam konteks ini, ia bermaksud dengan membuat sejumlah besar makanan bagi seminggu sekali, seterusnya membahagi stok makanan tersebut menjadi beberapa bahagian dan membekukannya sehingga dapat mengasingkan sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam yang boleh dinikmati pada minggu tersebut.
Perkara ini juga dapat dipraktikkan dan dilakukan bagi seminggu sekali gus, bulanan mahupun beberapa bulan sekali gus.
4. Menyediakan Wang Kecemasan
Demi menjamin kehidupan seisi keluarga atau individu yang lebih selamat, kita hendaklah menyediakan dana kecemasan yang mencukupi.
Istilah ‘mencukupi’ mungkin memberi makna berbeza kepada orang yang berbeza dan secara umumnya, dana kecemasan perlu disediakan sekurang-kurangnya enam bulan daripada jumlah perbelanjaan. Amatlah penting untuk memastikan anda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi.
Antara cara-cara bagi individu yang tidak tahu untuk mula menabung bagi tabung kecemasan adalah memulakannya dengan langkah kecil. Jika anda mampu menyimpan RM10 seminggu, dalam masa setahun, anda akan mempunyai RM520 dalam tabung kecemasan. Tambahkan nilai simpanan sedikit demi sedikit berdasarkan pendapatan anda.
Selain itu, jika anda menerima bonus ataupun hadiah wang tunai, pastikan anda menyimpan sebahagian daripada wang tersebut sebelum anda membelanjakannya.
Pada kebiasaannya, simpanan kecemasan yang disyorkan adalah untuk tempoh tiga bulan perbelanjaan. Akan tetapi, dalam situasi pandemik sebegini, adalah disarankan untuk menyediakan simpanan kecemasan untuk enam bulan atau lebih kerana kita tidak dapat menjangkakan untuk berapa lama lagi tempoh untuk sesuatu wabak dan pandemik untuk berakhir.
Seterusnya, dapat memastikan individu tersebut untuk lebih bersedia menghadapi dugaan pada masa akan datang.
Selain itu, wujud segelintir masyarakat yang lemah dalam merancang kewangan mereka. Oleh itu, tidak ramai yang sedar akan pentingnya pelaburan dalam insurans. Ini termasuk insurans kesihatan dan insurans ahli keluarga yang lain.
Bak kata pepatah “Sediakan Payung Sebelum Hujan”, amatlah penting untuk individu tersebut untuk memastikan dirinya dan keluarganya dilindungi dengan polisi insurans yang boleh menjamin dirinya dan keluarganya jika berlaku bencana yang tidak diingini kepada mereka. Terus menyimpan sedikit atau sebanyak mana pun wang yang anda ada dalam apa jua situasi. Usaha anda pasti berbaloi!
5. Pantau Pinjaman Anda
Penangguhan pembayaran untuk sewa beli, kad kredit dan pinjaman lain adalah sumber kelonggaran sementara bagi berjuta-juta peminjam. Atau erti kata lainnya adalah moratorium.
Tetapi masyarakat dan peminjam perlu ingat bahawa terdapat beberapa polisi bank semasa tempoh moratorium ini yang faedahnya akan meningkat semasa tempoh yang disebut. Justeru, apabila pembayaran dimulakan semula, mereka mungkin lebih tinggi daripada sebelumnya.
Masyarakat perlu mengetahui juga bahawa, walaupun skim moratorium ini tidak akan dicatat pada rekod kredit anda dengan agensi rujukan kredit, ini mungkin mempengaruhi kemampuan anda untuk meminjam di masa depan.
Hal Ini kerana pemberi pinjaman atau institusi bank akan melakukan pemeriksaan kemampuan untuk memastikan anda dapat menguruskan dan membayar pinjaman baru di samping mengimbangi pinjaman yang ada setelah tempoh moratorium telah tamat.
Sehubungan dengan itu, gunakan atau ambillah kemudahan pinjaman moratorium yang disediakan oleh institusi bank sebagai pilihan terakhir. Juga, jika masalah wang anda kelihatan seperti masalah yang sementara dan hanya jangka pendek, antara solusi yang lain adalah anda boleh berbincang dengan pemberi pinjaman dan institusi bank anda mengenai pilihan-pilihan lain yang lebih efisien untuk jangka panjang anda.
Selain itu, anda juga boleh pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan dan nasihat daripada organisasi-organisasi pengurusan kewangan di medium lain seperti NGO dan media sosial.
Penulis; Ahmad Zarif Azhad Bin Ahmad Rosly, Pelajar Tahun 3 Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Sejauh mana pentingnya Takaful dalam kehidupan?