Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelKepentingan Takaful Dalam Kehidupan

Kepentingan Takaful Dalam Kehidupan

Apa yang akan berlaku jika anda kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba?

Apa akan terjadi jika anda mendapatkan penyakit serius yang memaksa anda untuk berhenti bekerja atau mempunyai ahli keluarga yang memerlukan penjagaan jangka panjang?

Jika anda segera memerlukan rawatan perubatan di hospital swasta, mampukah anda membayar bil-bil dari poket anda sendiri? Jika tidak, sudah tiba masanya untuk melihat dengan lebih dekat keperluan kesihatan anda serta keluarga terdekat anda.

Kos penjagaan perubatan di Malaysia telah meningkat pada kadar yang membimbangkan iaitu melebihi 100% dari 1997 hingga 2016 dan sebenarnya, ia kini menduduki tempat kedua tertinggi di Asia. Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih 80% rakyat Malaysia terpaksa menggunakan pendapatan sendiri untuk perkhidmatan kesihatan manakala 35.8% daripadanya terpaksa menggunakan simpanan mereka.

Selain itu, bagaimana jika anda kehilangan pekerjaan kerana pandemik dan menyebabkan anda juga akan kehilangan perlindungan perubatan bersama-sama dengannya? 

Statistik menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia setakat Ogos tahun ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan rakyat Malaysia yang menganggur adalah lebih daripada 740,000 orang pada awal bulan Ogos akibat daripada pandemik. 

Jika anda telah bergantung kepada perlindungan kesihatan yang disediakan oleh majikan anda selama ini, sudah tiba masanya untuk anda mengetahui bagaimana untuk menguruskan kos perubatan jika anda kehilangan pekerjaan atau tidak lagi boleh bekerja kerana penyakit atau jika anda bersara. Oleh itu, anda memerlukan pelan sandaran iaitu dengan mengambil takaful.

Takaful ialah satu pelan insurans yang memiliki ciri patuh Shariah. Ini bermaksud di bawah Takaful, terdapat banyak produk patuh Shariah yang lain seperti Takaful perubatan, Takaful kenderaan, dan banyak lagi. Istilah Takaful juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berasaskan kerjasama bersama, di mana segala risiko dan dana dikongsi bersama. 

Dalam perniagaan takaful, ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Bantuan kewangan juga disediakan di bawah Takaful yang dikenali sebagai Tabarru’ (sedekah) dengan dana yang disumbang oleh individu dibawah perlindungan Takaful.

Syarikat Takaful pertama di Malaysia ditubuhkan pada tahun 1985 selepas penggubalan Akta Takaful 1984. Persatuan Takaful Malaysia (Malaysian Takaful Association MTA) ialah badan yang bertanggungjawab untuk menjadi rujukan untuk semua perkara berkaitan Takaful di Malaysia. Selain itu, industri Takaful di Malaysia turut dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Ciri-ciri Takaful

  1. Perkongsian risiko

Risiko tidak hanya ditanggung oleh syarikat insurans seperti mana insurans konvensional, tetapi turut ditanggung oleh semua pihak di bawah Takaful tersebut.

  1. Polisi ‘no claim cashback’

Jika anda tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh perlindungan tersebut, anda akan terima rebat tunai dari syarikat Takaful anda. Jumlah rebat tersebut ditentukan oleh syarikat Takaful dan tiada jumlah tetap.

  1. Patuh Shariah

Mematuhi undang-undang Shariah dan tidak terlibat dalam sebarang transaksi haram.

Jenis-jenis Perlindungan di bawah Takaful

Produk takaful dikategorikan kepada 2, produk Takaful Keluarga dan produk Takaful Am.

Produk di bawah Takaful Keluarga:

  • Takaful Keluarga: menawarkan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk individu dan keluarga.
  • Takaful berkaitan Pelaburan: Takaful keluarga yang menggabungkan pelaburan patuh Shariah dengan pelindungan Takaful.
  • Takaful Perubatan dan Kesihatan: perlindungan untuk tanggungan kos rawatan dan kemasukan ke wad di hospital swasta.
  • Takaful Pendidikan Anak: menyediakan perlindungan kewangan untuk anak anda sekiranya anda ditimpa malapetaka seperti kemalangan, kecacatan kekal, atau kematian. Pada masa yang sama, pelan Takaful ini juga bertindak sebagai simpanan jangka panjang untuk menampung pengajian anak anda.

Produk di bawah Takaful Am:

  • Takaful Kenderaan, Takaful pihak ketiga yang melindungi anda dari kerugian dan kerosakan ke atas kenderaan pihak ketiga yang disebabkan oleh kemalangan, kecurian, ataupun kebakaran. Takaful ini turut melindungi pemegang dari kerugian dan kerosakan ke atas harta, kecederaan dan juga kematian. Pelan Takaful Kenderaan yang menyeluruh akan melindungi pemegang dan juga pihak ketiga (contohnya penumpang) dari kerugian dan kecederaan akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran.
  • Takaful Rumah terdiri daripada 2 jenis iaitu Takaful Rumah (Houseowner) dan Takaful Isi Rumah (Householder). Takaful rumah melindungi struktur rumah pemegang dari kerosakan dan kerugian disebabkan oleh banjir, kebakaran, atau bencana lain. Takaful isi rumah (Householder) pula melindungi isi rumah, seperti   perabot, barangan rumah, peralatan elektrik, dan lain-lain dari kerosakan dan kerugian.
  • Takaful Kemalangan Diri melindungi anda dan keluarga dengan menyediakan pampasan sekiranya berlaku kematian, kecederaan, atau kecacatan yang disebabkan dari kemalangan.

Takaful terbuka untuk semua dan individu bukan Muslim juga boleh mendapatkan perlindungan Takaful atau menjadi ejen Takaful. Kurang tahap kesedaran dan salah faham antara sebab mengapa ramai berfikiran Takaful hanya untuk golongan Muslim, padahal perlindungan Takaful luas dan tanpa sepadan. 

Jadi, masyarakat perlu tahu terdapat banyak pelan insurans yang boleh dimohon selain pelan konvensional. Takaful dan insurans konvensional berkongsi prinsip asas dan objektif yang sama. Kedua-duanya melindungi individu dan badan korporat dari kerugian dan bahaya. Terdapat objektif sama iaitu untuk meringankan beban kewangan yang tercetus dari bencana dan kemalangan.

Oleh itu, terdapat pelbagai kepentingan takaful, antaranya ialah:

  1. Bersedia berhadapan dengan risiko

Hakikatnya, semua manusia berhadapan dengan risiko kematian, kelumpuhan dan penyakit (3D; death, disability & diseases). Cuma, bila dan bagaimana sahaja yang tidak ketahui. Tetapi, harus diingat, kebarangkalian untuk ketiga-tiga ini menjengah diri anda akan meningkat dari hari ke hari. Setiap hari berlalu, anda semakin mendekat dengan kematian yang telah ditentukan-Nya. 

Semakin banyak anda bergerak dengan kenderaan di atas jalan-raya, semakin tinggi kebarangkalian untuk kemalangan yang bukan sahaja boleh menyebabkan kematian, tetapi juga kelumpuhan. Semakin bertambah usia, semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit. Jadi, perlindungan takaful boleh menyediakan diri anda dari segi kewangan untuk berhadapan dengan ketiga-tiga risiko utama ini.

Apabila kematian, sekurang-kurangnya ada pampasan untuk isteri dan anak-anak. Apabila kelumpuhan, ada pampasan untuk menggantikan punca pendapatan yang terjejas. Apabila diserang penyakit, ada pampasan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan rawatan. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan.

  1. Malang tidak berbau

Syarat utama untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan skim perlindungan takaful adalah mesti dilindungi sebelum kejadian itu berlaku. Sebagai contoh, risiko penyakit. Seandainya anda telah diserang sesuatu penyakit, contohnya sakit jantung dan baru mula mengambil takaful, maka penyakit ini tidak dilindungi lagi. Maksudnya, segala bil dan bayaran berkaitan penyakit ini tidak boleh dituntut kerana tidak dilindungi. Oleh itu, dinasihatkan untuk mengambil skim perlindungan takaful semasa sihat (sebelum sakit).

  1. Melindungi harta atau aset

Jika anda membeli kereta baru ataupun memperbaharui cukai jalan (road tax), diwajibkan untuk mengambil insurans atau takaful kenderaan. Begitu juga jika anda membeli rumah menggunakan pinjaman atau pembiayaan bank, diwajibkan untuk mengambil insurans atau takaful tertentu.

Takaful akan melindungi harta-harta yang anda miliki jika berlaku musibah atau sesuatu perkara yang tidak diingini, contohnya kemalangan, kecurian atau kebakaran. Takaful bukan sahaja penting untuk melindungi diri, tetapi juga harta bernilai yang anda ada. Harta yang perlu dilindungi bukan sahaja yang berbentuk fizikal, malah yang bukan fizikal juga. Contoh utama aset bukan fizikal adalah perniagaan yang dijalankan, mesti dilindungi dengan takaful secukupnya. Jadi, perlindungan takaful adalah sangat penting untuk melindungi aset-aset yang ada supaya kerugian yang akan dialami atas sesuatu musibah dapat dikurangkan.

  1. Melindungi pelaburan

Apabila baru memulakan pelaburan dengan menggunakan duit simpanan yang ada, kebanyakannya akan mengalami rugi terlebih dahulu. Hal ini kerana masih belum berpengalaman dan banyak caj-caj yang perlu dibayar. Tetapi malangnya, ketika baru bermula ini, anda berhadapan dengan sesuatu musibah yang tidak diingini. Contohnya kemalangan atau ditimpa penyakit yang memerlukan kos rawatan yang tinggi. 

Walaupun anda mempunyai dana kecemasan tetapi masih tidak mencukupi dan anda tidak mempunyai simpanan lain kecuali yang telah dilaburkan tadi. Maka, anda akan mengambil keputusan untuk mencairkan pelaburan tadi untuk menampung kos yang diperlukan. Jika ini berlaku, bukan sahaja berdepan risiko kerugian kerana tempoh pelaburan yang belum matang, malah sedikit sebanyak boleh menjejaskan perjalanan matlamat kewangan yang ingin dicapai. Perlindungan takaful dapat menyelamatkan anda daripada mengalami risiko kerugian yang tinggi.

  1. Wariskan harta, bukan hutang

“Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan …..?”

Apabila anda telah meninggal dunia, alangkah baiknya jika pasangan dan anak-anak atau waris-waris tidak ditinggalkan dengan beban dan hutang yang banyak. Perit jika difikirkan apabila mereka yang sedang bersedih hati dengan pemergian yang dilalui dan ditambah pula dengan beban dan hutang yang harus diselesaikan. 

Maka sebaik-baiknya, tinggalkanlah legasi atau harta untuk sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan mereka terutamanya jika anda adalah punca pendapatan utama bagi keluarga. Masalah ini dapat diatasi dengan mengambil skim perlindungan takaful yang secukupnya. Hal ini agar jumlah pampasan yang akan ditinggalkan kepada waris nanti cukup untuk menampung keperluan mereka dalam jangka masa yang panjang.

  1. Jihad ekonomi Islam

Sebelum wujudnya skim takaful yang patuh syariah, skim perlindungan banyak dikuasai oleh produk-produk insurans konvensional yang mempunyai unsur-unsur riba. Namun begitu, terdapat banyak produk-produk takaful telah wujud untuk memberikan alternatif kepada umat Islam bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya. Malangnya, walaupun setelah beberapa tahun skim-skim takaful muncul, kadar langganannya masih lagi rendah jika dibandingkan dengan skim insurans konvensional meskipun di kalangan umat Islam sendiri.

Bahkan, ada segelintir umat Islam yang mempunyai pandangan skeptikal dan merendah-rendahkan produk-produk takaful. Bukan sahaja tidak menyokong, malahan diburuk-burukkan lagi dengan langsung tidak diberikan cadangan untuk penambahbaikan. Jadi, orang Islam haruslah menunjukkan sokongan kepada sistem ekonomi berteraskan Islam dan menjadikan salah satu cara untuk berjihad untuk ekonomi Islam.

  1. Niat murni membantu orang lain

Perbezaan antara insurans konvensional dan takaful ialah insurans berteraskan kontrak jual-beli manakala takaful berteraskan kontrak tabarru’ iaitu derma. Peserta-peserta yang mengambil takaful sebenarnya telah memindahkan sebahagian bayaran kepada tabung derma (tabarru’).

Syarikat takaful berperanan sebagai pengurus tabung ini. Apabila ada peserta yang ditimpa musibah, bayaran pampasan kepada peserta tadi diambil daripada tabung derma tadi. Maka, wujudlah konsep jamin-menjamin melalui derma. Oleh itu, perlindungan takaful yang diambil bukan saja melindungi diri dan keluarga tetapi dapat membantu orang lain yang ditimpa musibah tanpa mengira bangsa dan agama.

Maka tidak dapat dinafikan lagi terdapat pelbagai kepentingan yang diberikan oleh perlindungan takaful kepada manusia. 

Penulis; Wan Anis Irsalina binti Wan Affandi Azam, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM, Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular