Thursday, October 3, 2024
HomeArtikel6 Sebab Kenapa Bermain Gajet Sebelum Tidur Bahaya

6 Sebab Kenapa Bermain Gajet Sebelum Tidur Bahaya

Kebelakangan ini, teknologi canggih seperti telefon pintar dan gajet sudah menjadi satu keperluan bukan lagi satu kemahuan buat semua orang. Hal ini terjadi sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita, hampir semua institut belajar seperti sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke institut pengajian tinggi perlu ditutup.

Hal ini menyebabkan kanak-kanak sekolah rendah juga harus menggunakan gajet seperti tablet untuk meneruskan pembelajaran.

Namun begitu, terdapat banyak kesan buruk jika tidak dapat mengawal tahap penggunaannya lebih-lebih lagi kerap bermain 1 jam sebelum tidur!  

1.    Menjadi Pelupa

Penggunaan telefon pintar atau gajet dengan cara yang salah mampu menghilangkan memori. Penggunaan yang kerap sebelum tidur akan mengganggu waktu tidur kita dan antara punca utama menyebabkan sesetengah orang menjadi pelupa.

Apabila seharian sudah melakukan kerja, otak kita memerlukan rehat untuk memperbaiki semula kerosakan sel pada waktu siang hari sekali gus dapat membentuk sel baharu.

Menurut psikologis Jerman, Rosa Heine, beliau menemui bahawa mempelajari sesuatu yang baru di malam hari sebelum tidur menghasilkan ingatan yang lebih baik jika dibandingkan dengan belajar di siang hari. Tambahan, sewaktu tidur otak masih tetap menyerap informasi atau maklumat, bahkan membentuk ingatan baru.  

Namun, itu tidak boleh diaplikasikan kepada bermain telefon sebelum tidur. Hal ini kerana apabila kita leka bermain telefon sebelum tidur, cahaya yang dipancarkan di skrin telefon akan merosakkan  kitaran tidur, walaupun setelah mematikan peranti.

Apabila kitaran tidur diganggu, maka ia merangsang otak sehingga membuat kita aktif dan tetap berjaga  walaupun setelah menutup telefon. Akibatnya, otak kita tidak dapat membentuk sel baru untuk lebih fokus terhadap aktiviti hari esok.

2.    Kurang Melatonin Punca Sukar Tidur

Secara semula jadi, semua tubuh badan manusia mempunyai kitaran normal yang membolehkan mereka tidur di waktu malam dan berjaga di waktu siang. Namun, apabila kita seringkali menatap skrin telefon sebelum tidur, otak kita akan keliru sama ada perlu memproses waktu tidur atau sebaliknya.

Menurut kajian saintifik, terdapat satu hormon iaitu hormon melatonin yang akan dirembeskan oleh otak apabila tiba waktu tidur. Hormon ini berperanan untuk memberi isyarat kepada tubuh badan kita untuk tidur. Namun, akibat cahaya biru yang dipancarkan telefon pintar akan mengganggu pengeluaran melatonin ini. Cahaya biru ini akan menyebabkan kekeliruan pada otak untuk tidur, sekali gus boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Dalam satu kajian, 12 orang dewasa diminta sama ada membaca pada iPad selama empat jam setiap malam sebelum tidur atau membaca buku bercetak dalam pencahayaan yang redup. Selepas lima malam berturut-turut, kedua-dua kumpulan ini diteliti.

Apa yang ditemui oleh para penyelidik ialah mereka yang telah membaca pada iPad sebelum tidur menunjukkan penurunan kadar melatonin, iaitu hormon yang meningkat sepanjang malam dan menyebabkan rasa mengantuk. Ia juga mengambil lebih banyak masa untuk tidur, dan mereka mengalami kurang tidur sepanjang malam. Akibatnya, seseorang itu boleh menghidapi insomnia, sindrom susah tidur, penat waktu di siang hari sehingga mudah marah.

3.   Meningkatkan Risiko Kemurungan

Kajian yang dilakukan oleh Universiti Seoul, Korea Selatan telah membandingkan kesihatan mental remaja yang ketagihan menggunakan telefon pintar, berbanding rakan sebaya yang tidak ketagihan menggunakannya. Mereka mendapati bahawa remaja yang ketagihan terhadap teknologi ini menunjukkan tahap kegelisahan, kemurungan, insomnia, dan impulsif yang jauh lebih tinggi.

Menatap skrin telefon pada waktu malam bukan sahaja merosakkan mata tetapi juga kesihatan mental termasuk risiko masalah kemurungan. Selain itu, tahap kecergasan kita juga akan menjadi lebih rendah pada waktu siang ditambah lemah berfikir kerana kurang tidur yang menyebabkan lemah emosi dan mental.

Apabila mental dan emosi menjadi lemah dan sukar diurus, maka ini boleh dikategorikan sebagai salah satu simptom kemurungan. Terdapat beberapa simptom kemurungan yang kita semua harus ambil cakna iaitu penggunaan media sosial yang keterlaluan sehingga menyebabkan jadual seharian tergendala sehingga ke waktu tidur.

Bermula daripada lambat tidur sahaja, namun boleh meningkatkan kemurungan seseorang apabila bermain gajet sebelum tidur dijadikan tabiat dan tidak diambil tindakan. Hal ini kerana, apabila seseorang itu kurang tidur, ia boleh mengalami insomnia, dan akan membuatkan diri kurang bertenaga di waktu siang, di mana rutin dan tugas harian menjadi terlalu sukar untuk diuruskan, kurang berminat dalam menjalankan aktiviti walaupun hobi atau permainan yang diminati dahulu.

Seterusnya, kita akan sukar memberikan tumpuan sewaktu di dalam kelas dan terbeban dalam  membuat keputusan. Ini semua adalah simptom yang dihadapi jika anda sedang kemurungan, namun boleh diatasi jika berjumpa pakar psikiatri.

4.    Meningkatkan Risiko Kanser

Hakikatnya, satu kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei 2011, mengklasifikasikan gajet tanpa wayar seperti tablet dan telefon bimbit sebagai risiko ejen kanser disebabkan oleh radiasi yang dihasilkan. Radiasi ini juga berupaya melemahkan sistem imunisasi kanak-kanak jika mereka terdedah kepada radiasi yang tinggi atau erti kata lain terlalu lama terdedah sedari bayi lagi.

Menurutnya lagi, radiasi telefon bimbit juga dapat mempengaruhi sistem saraf manusia untuk menyebabkan kanser atau tumor otak, terutama pada anak-anak, yang kulit kepala dan tengkoraknya lebih tipis dari orang dewasa, dan lebih mudah terdedah kepada radiasi.

Seorang saintis kesihatan alam sekitar, Dr. Devra Davis, berkata pendedahan radiasi daripada telefon bimbit boleh menyebabkan kerosakan kepada sel-sel otak. Sel otak yang rosak meningkatkan risiko menyerang pelbagai jenis penyakit, kerana otak adalah pusat kawalan badan.

5.    Mata Rosak

Telefon bimbit mengeluarkan sejenis cahaya biru yang boleh menyebabkan berbagai masalah kesihatan termasuklah merosakkan mata. Cahaya biru ini merosakkan retina dan menyebabkan rabun.

Perunding Oftalmologi Hospital Columbia Asia Klang, Dr Siva Kumar Sundralingam berkata, tekanan digital terhadap mata adalah ketidakselesaan yang dialami organ penglihatan itu selepas lebih dua jam menatap skrin digital dalam jarak dekat. Ia biasanya dicirikan dengan gejala seperti keletihan, kemerahan, rasa kasar, penglihatan kabur, pening dan sakit bahu serta leher akibat postur skrin yang tidak betul.

Namun, rasa tidak selesa pada mata tersebut bukan sahaja disebabkan paparan skrin, bahkan pendedahan sinaran biru daripada gajet dalam jangka masa lama dan secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Sinaran biru ini mempunyai jarak gelombang yang sangat pendek dan ini membuatkan ia menghasilkan sejumlah tenaga yang lebih tinggi.

Kajian menunjukkan pendedahan pada sinaran biru secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata. “Ini kerana, sinaran biru menjangkau jauh ke dalam mata dan kesan kumulatifnya iaitu pendedahan sedikit demi sedikit dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kepada retina,” katanya lagi pada sesi bicara kesihatan mata anjuran Systane beberapa tahun yang lalu. Oleh itu, kita seharunya menghadkan penggunaan gajet atau telefon pintar dalam seharian lebih-lebih lagi sebelum tidur.

6.    Masalah Obesiti dan Perkembangan Fizikal

Seterusnya, akibat sering menghadap telefon sehingga larut malam, sistem tubuh akan terganggu di mana, rembesan insulin yang mengawal metabolisme menjadi tidak terkawal. Ini akan menyebabkan selera makan kita bertambah dan kita akan sentiasa rasa nak makan.

Jika ini berterusan, tidak mustahil berat badan meningkat sehingga ke tahap obes. Karow (2014) dalam kajiannya juga mendapati 75% kanak-kanak dari usia 9-10 tahun tidak cukup tidur disebabkan aktiviti penggunaan media. Faktor kekurangan waktu tidur yang cukup boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak serta menjejaskan perkembangan fizikal mereka apabila meningkat remaja.

Kesimpulannya, kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam waktu tidur setiap hari untuk memastikan mereka dapat membesar dengan sihat manakala remaja pula memerlukan sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Oleh itu, purata setiap individu memerlukan waktu tidur sekitar 7 ke 9 jam sehari kecuali individu yang memang secara genetik mampu untuk tidur kurang dari waktu itu dan kanak-kanak.

Tidur yang berkualiti memberi kesan yang positif kepada keseluruhan fungsi otak dan sistem tubuh manusia.Setiap organ di dalam tubuh mempunyai tugas khusus dan waktu kerja yang berbeza.  Tidur yang cukup, selewat-lewatnya jam 11:00 malam adalah keperluan untuk hampir kesemua manusia.

Dr Daniel J. Siegel, M.D, seorang profesor psikiatri klinikal dari UCLA School of Medicine, mendedahkan bagaimana kesan penggunaan telefon bimbit sebelum tidur. Beliau menasihatkan supaya menjauhkan alat ini sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur bagi mendapatkan rehat yang secukupnya. Hal ini kerana, sewaktu tidur, sel aktif neuron di otak akan berehat manakala sel glial iaitu sel penyokong otak (supportive cell) akan membersihkan toxins-toxins yang telah dihasilkan sel aktif neuron semasa seharian tadi.

Namun, toxins-toxins ini tidak dapat dibersihkan sepenuhnya jika kita tidak mendapatkan tidur yang secukupkan iaitu antara 7-9 jam sehari. Sebagai contoh, seseorang itu sering memperuntukkan 5 jam sahaja waktu untuk tidur, kesan yang akan dialaminya ialah tahap fokusnya akan semakin berkurangan, memori akan terganggu, kemampuan untuk berfikir menyelesaikan masalah akan menjadi lebih sukar, boleh menjadi obesiti, mendapat kemurungan dan banyak lagi.

Waktu yang terbaik untuk menghentikan segala aktiviti yang melibatkan gajet atau telefon pintar ialah pada pukul 9 malam. Berikan 1 jam sebelum tidur, bebas daripada sebarang jenis gajet. Ini adalah masalah yang sangat serius terhadap semua peringkat umur, kita harus cakna!

Penulis; Siti Zubaidah binti Zainurin, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. 
RELATED ARTICLES

Most Popular