Saturday, May 4, 2024
HomeArtikelBersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh

Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh

Sebut sahaja tragedi ngeri 13 Mei 1969, mesti ramai yang terkesima dan tidak mahu peristiwa tersebut berulang kembali. Peristiwa ini akan terus terpahat dalam memori generasi yang menyaksikannya. Barangkali apabila ditanyakan kepada seorang nenek tua atau pun seorang datuk yang lahir ketika itu tentang betapa dahsyatnya rusuhan kaum yang berlaku, mereka akan menjawab dan berharap agar peristiwa tersebut bernoktah di situ.

Apa tidaknya, peristiwa berdarah ini telah menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara kita apabila berlakunya pertumpahan darah dan kacau-bilau yang dahsyat sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan tergadainya 192 nyawa, terdiri daripada 143 kaum Cina, 25 kaum Melayu dan 28 bangsa lain.

Disebabkan wujud segelintir pihak yang menjadi tali barut dan juga musuh dalam selimut, perselisihan faham tercetus lalu menghakis sedikit demi sedikit kepercayaan dan perpaduan sesama kaum. Namun fenomena yang berlaku pada hari ini seakan-akan membuka ruang dan peluang “baharu” supaya kejadian dahsyat yang menimpa negara kita berulang kembali.

Baru-baru ini, satu lagi isu mempersendakan agama telah memenuhi dada-dada akhbar dan laporan berita. Kedai serbaneka KK Mart didakwa menjual sarung kaki atau stoking yang berlabelkan kalimah Allah. Menurut pemilik syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat, syarikat tersebut telah menerima stoking berkenaan tahun lalu di kilangnya, Batu Pahat, Johor. 1200 pasang stoking telah diterima dalam keadaan yang bercampur-baur dengan stoking lain yang beraneka warna dan corak termasuklah stoking yang bertuliskan kalimah Allah tadi.

Semestinya perkara ini membawa kepada perasaan tidak puas hati kepada pihak pengurusan KK Mart sama ada yang terlibat secara langsung atau pun tidak, lagi-lagi bagi umat Islam yang amat mengagungkan kalimah Allah sebagai Tuhan yang Esa. Isunya di sini bukanlah melihat kepada kecuaian dalam pengurusan dan penyelenggaraan, tetapi perlunya untuk kita berhati-hati supaya kebiadaban segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tidak menggoyahkan tembok perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Kita lihat betapa besarnya impak daripada isu tersebut sehinggakan dalam platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Tiktok, ramai orang Islam yang menyuarakan ketidakpuasan terhadap perlakuan mencetak kalimah Allah yang suci pada stoking yang sinonimnya dijadikan alas kaki. Dalam agama Islam sendiri, umat Islam diajar agar tidak berdiam diri ketika ada pihak yang mempersendakan dan memperolokkan agama.

Lantaran itu, ramai pihak yang mengajak umat Islam untuk memboikot produk KK Mart atau pun memasuki mana-mana cawangan terbabit walaupun permohonan maaf secara terbuka telah dibuat. Namun permohonan maaf sahaja tidak cukup untuk menutup dan menghentikan perbuatan kolot golongan yang sanggup menjadi tali barut yang mendambakan kehancuran dan pergaduhan sesama kaum. Buktinya makin banyak lagi isu yang mencabar agama seperti logo kasut yang menyerupai kalimah Allah, baju yang bertekapkan tulisan al-Quran dan banyak lagi.

Persoalannya, adakah perbuatan boikot ini memberi impak yang besar terhadap perpaduan di negara kita? Setakat yang dapat diperhatikan sehingga hari ini, berkemungkinan besar “iya”. Semestinya kaum Cina secara keseluruhannya akan tersinggung dengan perbuatan umat Islam yang majoritinya berbangsa Melayu. Kesannya, boleh sahaja mereka memboikot semula produk-produk tempatan orang Melayu yang pada akhirnya, memberi kesan kepada sektor ekonomi negara dalam jangka panjang. Inilah gambaran betapa dahsyatnya impak memperlekehkan dan memperolokkan agama kepada perpaduan negara.

Sebenarnya banyak lagi isu-isu yang dilihat boleh mengancam perpaduan kaum di Malaysia. Misalnya, isu bahasa kebangsaan yang masih hangat dalam perbincangan yang sehingga kini jauh sekali dari noktah pengakhiran. Agak mustahil untuk kita merealisasikan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta 1963 dan 1967 apabila ramai warganegara Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa Melayu.

Timbul isu yang mempersoalkan ekosistem pendidikan vernakular yang boleh melunturkan perpaduan di negara kita kerana sekolah vernakular cenderung memberi tumpuan kepada bahasa ibunda. Felow Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Zaini Othman menyatakan faktor utama masalah kemahiran berbahasa Melayu berlaku ialah kurangnya rasa cinta dan semangat kekitaan yang saban hari makin punah. Justeru bagaimana rasa cinta tersebut berputik sekiranya kita sebagai warganegara Malaysia masih lemah penguasaanya dari segi penulisan, pendengaran lagi-lagi pertuturan?

Kajian yang dibuat oleh Nora’azian Nahar dan Fadzilah Abd Rahman dari Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), mendapai 55.7% daripada 414 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Kuantan masih tidak fasih berbahasa Melayu. Justeru wajarkah penambahan bilangan sekolah vernakular di Malaysia meskipun untuk Akta Pendidikan dan juga Perkara152 mengiktiraf penubuhannya? Mungkin ada polisi yang perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa kerana belajar bahasa ibunda bukanlah suatu kesalahan. Malah pada hari ini, kita sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja perlu memartabatkan bahasa ibunda kita, kemahiran dan penguasaan bahasa internasional iaitu bahasa Inggeris merupakan suatu kemestian untuk dipelajari bagi menyahut arus globalisasi.

Oleh itu, fikirkan dulu sejenak adakah isu-isu seperti ini perlu dibiarkan terus berleluasa sehingga menghakis nilai-nilai perpaduan secara perlahan, yang akhirnya mengundang kembali peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969? Untuk melahirkan negara yang harmoni, semua masyarakat haruslah bersatu hati dalam menjaga perpaduan bagi merealisasikan pepatah “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh”.

Jangan pernah biarkan mana-mana epilog pergeseran yang diketuai oleh mana-mana entiti tidak kiralah pembesar negara atau pun rakyat jelata atau pun pemerhati dari alam maya mengganggu-gugat kesatuan masyarakat majmuk di negara kita yang telah dibina sejak puluhan tahun lalu. Adakah hari ini kita sanggup membiarkan retak-retak dinding menanti belah, memberi peluang kepada si tali barut untuk mencetuskan kembali peristiwa ngeri itu? Tepuk dada, tanya selera.

Penulis: Muhammad Ikmal Bin Arip, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular