Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelCabaran Pelajar Dalam Pendidikan Norma Baru: Cabaran dan Inisiatif

Cabaran Pelajar Dalam Pendidikan Norma Baru: Cabaran dan Inisiatif

Penularan wabak COVID-19 telah mengganggu kehidupan normal di seluruh dunia dan masyarakat terpaksa melalui hari-hari mereka dengan memenuhi norma baharu. Pelbagai langkah tegas telah diambil oleh kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berjangkit yang mungkin akan melumpuhkan negara.

Peristiwa ini tidak pernah dijangka dan memberi kesan besar kepada semua pihak terutamanya dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Beberapa perniagaan terpaksa ditutup, projek ditunda, dan institusi pendidikan juga terpaksa ditutup sementara waktu bagi mengelakkan kesan yang lebih besar. Walaupun institusi pendidikan ditutup, pendidik perlu meneruskan usaha mereka untuk menyampaikan ilmu kepada semua pelajar.

Ancaman COVID-19 yang menjejaskan keadaan bukanlah halangan untuk meneruskan matlamat kerajaan, iaitu melahirkan generasi cemerlang dan berakhlak. ‘Online distance learning’ (ODL) atau pembelajaran jarak jauh atas talian adalah satu alternatif pembelajaran norma baharu.

Pengajaran dari rumah haruslah digalas rapi dan dilaksanakan dengan baik agar tidak ada pelajar yang ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran. Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh semua pihak dalam merealisasikan pelajaran tanpa bersemuka dan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk melaksanakannya. Walau bagaimanapun, prosedur ini merupakan solusi yang ideal demi kebaikan semua pihak terutamanya pelajar.

Pada peringkat awal, pengajaran secara maya yang terpaksa dilakukan secara drastik sukar dilaksanakan kerana pendidik dan pelajar sudah terbiasa dengan kaedah bersemuka. Sebagai seorang pelajar, sangat sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian kerana mereka tidak dilatih lebih awal melalui simulasi atau praktikal.

Ramai pelajar menyatakan bahawa pendidikan norma baharu jauh lebih tertekan daripada pelajaran di dalam kelas. Tambahan pula, keadaan makin mencabar apabila timbul beberapa masalah daripada pihak tertentu seperti kekurangan data, kekurangan pengetahuan dalam menjalankan kelas dalam talian dan juga komitmen ibu bapa serta pelajar untuk memastikan proses pembelajaran jarak jauh berjalan dengan lancar.

Kelas biasa mungkin mencabar, namun, mempunyai rakan untuk berkongsi masalah menjadikan semuanya lebih tertanggung dan kurang membebankan. Pembelajaran dalam talian mengehadkan pelajar untuk berinteraksi dan menyebabkan mereka lebih mudah untuk mengalami tekanan.

Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pelajar, serta beberapa cadangan tentang bagaimana mengatasinya untuk berjaya dalam pembelajaran.

1.    Masalah Data Dan Capaian Internet

Pertama, halangan terbesar pembelajaran secara atas talian adalah masalah data dan capaian internet yang tidak stabil. Hal ini kerana capaian internet yang biasa digunakan di rumah mempunyai kapasiti dan kuota yang terhad.

Internet adalah keperluan utama kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran secara maya. Kebanyakan pelajar mengadu bahawa mereka mempunyai masalah rangkaian internet yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti cuaca buruk, tinggal di kawasan pedalaman dan juga tidak berkemampuan untuk membeli dan melanggan plan internet. Oleh itu, kekurangan kemudahan internet merupakan cabaran utama dalam pembelajaran norma baharu.

Oleh itu, alternatif tertentu perlu difikirkan untuk mengatasi permasalahan ini. Antara alternatif yang mampu untuk mengatasi cabaran ini seperti memperluas atau menaik taraf pusat internet komuniti yang ada supaya para pelajar khususnya di kawasan luar bandar supaya dapat mengakses internet secara percuma. Hal ini dapat memastikan bahawa proses pembelajaran tidak menjadi satu halangan bagi pelajar yang tidak mempunyai dan memiliki rangkaian Internet yang stabil.

Di samping itu, pensyarah disarankan untuk menyediakan bahan pembelajaran jarak jauh yang dapat diakses oleh semua pelajar terutamanya pelajar yang berada di luar bandar. Pensyarah boleh menggunakan platform yang menggunakan data yang rendah seperti Google Drive, Google Doc, WhatsApp dan juga Telegram.

Platform-platform tersebut lebih memudahkan pelajar untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian. Rakaman suara, biarpun tidak secanggih bersemuka, mampu mengurangkan penggunaan kos data peribadi pelajar. Tambahan juga, pensyarah haruslah merancang proses pembelajaran lebih awal agar tidak memakan masa yang terlalu lama agar pelajar dapat menjimatkan data internet mereka yang perlu digunakan untuk mengikuti kelas mata pelajaran yang lain.

Pensyarah perlu mempertimbangkan alasan pelajar yang mengalami masalah rangkaian internet yang tidak stabil dan mencari alternatif lain seperti merakam sesi pembelajaran yang dijalankan agar maklumat yang disampaikan dapat diakses kembali oleh pelajar tersebut.

2.    Persekitaran Pelajar Yang Kurang Kondusif.

Seterusnya, persekitaran yang kurang kondusif turut menjadi salah satu cabaran kepada pelajar untuk memberikan tumpuan semasa kelas dijalankan. Malahan, perkara ini juga disebabkan oleh sesetengah ibu bapa yang bersikap kurang peduli dengan menyuruh anak-anak mereka melakukan tugasan rumah ketika proses pembelajaran sedang berlangsung.

Oleh kerana rumah berfungsi sebagai kelas untuk pembelajaran atas talian, gangguan ini mungkin sukar untuk dielakkan. Anak-anak perlu menetapkan had dan memastikan ahli keluarga memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar supaya gangguan dapat dielakkan sehingga sesi pembelajaran mereka berakhir.

3.    Sikap Tenaga Pengajar Yang Kurang Memahami

Antara cabaran lain ialah sikap pensyarah yang kurang memahami keadaan pelajar. Segelintir pensyarah memberikan tugasan yang terlalu banyak untuk menggantikan ketidakupayaan kelas bersemuka.

Namun begitu, pelajar sudah dibebani dengan pelbagai tugasan seperti kuiz, ujian dan juga penilaian daripada subjek yang berbeza. Beban kerja yang diberi kepada pelajar dalam menjalani pembelajaran jarak jauh lebih berat berbanding kelas biasa. Malahan, terdapat juga pensyarah yang bertegas supaya pelajar membuat dan menghantar tugasan yang diberikan dalam masa yang singkat. Sikap pensyarah yang gemar mengambil masa rehat dan cuti hujung minggu pelajar untuk menjalankan kelas ganti telah memberi tekanan kepada pelajar.

Pembelajaran jarak jauh secara maya memaksa para pelajar menggunakan masa mereka untuk menatap skrin komputer. Terlalu banyak masa di hadapan skrin mendorong kepada masalah kesihatan. Hal ini menganggu emosi dan fizikal pelajar. Apabila mereka berada di hadapan komputer sepanjang hari, mereka cenderung untuk mengalami kemurungan. Pelajar boleh menjadi tertekan akibat daripada beban kerja yang tidak terkawal. Semangat belajar mula luntur dalam diri mereka apabila tertekan dan kemungkinan ada antara mereka membuat keputusan untuk berhenti belajar. Realitinya, masalah kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar universiti sangat membimbangkan.

Oleh itu, sangat membantu jika para pensyarah cuba untuk memahami beban kerja yang telah diberikan kepada pelajar. Tekanan tambahan dari wabak ini boleh menyebabkan pelajar mempunyai beban kognitif yang lebih tinggi seperti prestasi membaca mereka lebih perlahan, lebih mudah terganggu, dan mengalami kesukaran menguruskan waktu mereka.

Semua pihak khususnya tenaga pengajar amat dituntut supaya memudahkan proses pembelajaran agar dapat membantu masalah kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar universiti. Contohnya, pensyarah mempertimbangkan tugasan dan menetapkan tarikh akhir penghantaran tugasan yang sesuai.

4.    Sikap Pelajar Yang Kurang Disiplin

Selain itu, sikap pelajar yang kurang disiplin dan motivasi diri juga merupakan salah satu cabaran pembelajaran jarak jauh. Kebanyakan pelajar tidak memberi sepenuh perhatian ketika kelas sedang dijalankan. Mereka juga tidak pandai untuk menguruskan masa dengan baik dan menyebabkan mereka ketinggalan jauh berbanding rakan-rakan yang lebih fokus.

Sebagai contoh masalah disiplin yang berlaku adalah kerana setiap tingkah laku mereka terselindung di sebalik kamera yang tertutup dan paparan skrin komputer mereka yang sentiasa berada dalam mod senyap.

Oleh itu, sikap negatif tersebut menyebabkan mereka lebih selesa dengan kelakuan tersebut dan sering melakukan aktiviti lain seperti bermain media sosial, tidur dan lain-lain sehingga sesi pembelajaran berakhir.

Tugas pensyarah bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu, malahan juga pensyarah juga bertanggungjawab memikirkan inisiatif dalam usaha meningkatkan minat pelajar supaya mereka lebih fokus semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah pensyarah perlu menghasilkan nota yang lebih kreatif dan padat dalam sesuatu topik. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai juga mampu menarik minat pelajar untuk memudahkan mereka memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Tambahan juga, pensyarah haruslah sentiasa memberi semangat kepada pelajar yang kekurangan motivasi diri.

Walau bagaimanapun, pelajar juga perlu sedar dan berusaha sebaik mungkin kerana pelajaran merupakan elemen utama untuk berjaya di masa hadapan. Antara inisiatif atau usaha yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mengekalkan konsisten dalam pembelajaran dengan membuat jadual harian bagi memudahkan pembahagian masa mereka supaya lebih teratur. Jadual harian yang bersistematik sangat penting supaya tidak berlaku pertindihan di antara pembelajaran dengan aktitiviti harian yang lain.

Selain itu, mereka mampu membuat persediaan awal untuk menghadapi tarikh-tarikh penting seperti tarikh menghantar tugasan, kuiz, ujian dan juga peperiksaan akhir. Sikap positif juga dapat membantu pelajar untuk mengatasi cabaran yang dihadapi ketika pembelajaran jarak jauh dilaksanakan. Pelajar mestilah memahami bahawa tanggungjawab seorang pelajar adalah sangat besar untuk menjadi seorang modal insan yang berintelektual dan berkarisma.

Kesimpulannya, cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam pendidikan norma baharu tidaklah terhad kepada empat perkara ini sahaja. Pada era COVID-19 ini, sesuatu yang tidak pernah dijangka telah berlaku, dan kita semua haruslah mengatasi cabaran-cabaran ini.

Pelajar mungkin tertekan memikirkan bahawa situasi yang berlaku akan memberi kesan terhadap masa hadapan mereka. Rutin harian dan perubahan secara drastik memerlukan penyesuaian serta adaptasi untuk meneruskan hidup mereka.

Pelajar mestilah mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang berlaku semasa wabak pandemik bagi memastikan elemen atau aspek yang penting seperti pemikiran, emosi dan gaya hidup agar sentiasa berada dalam persekitaran yang positif dan tidak mudah terkesan akibat daripada bencana yang melanda di seluruh dunia. Dalam merealisasikan kaedah pembelajaran secara atas talian yang lebih baik untuk kepentingan negara pada masa akan datang, semua pihak mestilah berganding bahu dalam semua aspek.

Penulis: Anis Adriena Jane binti Hishamuddin, Pelajar tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular