Thursday, July 25, 2024
HomeArtikelFaedah Sukan Dalam Kesihatan Mental

Faedah Sukan Dalam Kesihatan Mental

Umum mengetahui bahawa menjaga kesihatan mental adalah tanggung jawab setiap individu yang bergelar manusia. Terdapat pelbagai kaedah atau cara bagi menjaga kesihatan mental. Sukan merupakan salah satu komponen penting bagi seseorang individu yang inginkan mental yang sejahtera dan terjaga. Selain daripada manfaat dari sudut fizikal, penglibatan dalam sukan memainkan peranan penting dalam menangani kesihatan mental. Sebagai contoh sukan dapat mengurangkan tekanan, memupuk hubungan sosial dan meningkatkan harga diri.

Bersukan memberikan manfaat yang banyak kepada fizikal dan mental kita secara langsung dan tidak langsung. Aktiviti yang sihat ini wajar digalakkan kepada segenap masyarakat tanpa kira usia kerana faedah di sebaliknya sangat banyak dan rugi jika tidak diamalkan.

Tiada halangan untuk kita bersukan pada hari ini kerana banyak infrastruktur sukan yang lengkap dan boleh digunakan sama ada di waktu siang atau malam. Sekiranya hujan ataupun udara di luar tidak sihat, kita mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di gelanggang yang bertutup dan teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha mencari jalan dalam mencapai apa yang dikehendaki.

1. Pengurangan Tekanan dan Pengurusan Kebimbangan

Salah satu manfaat sukan yang diketahui umum adalah kemampuannya untuk mengurangkan tekanan dan mengurangkan kegelisahan. Sewaktu bersukan, badan manusia akan memberi isyarat kepada otak yang akan merangsang pengeluaran hormon Endorfin.

Hormon Endorfin dapat membangkitkan mood seseorang manusia. Ia juga bertindak sebagai pelega tekanan semula jadi, membantu individu untuk berehat dan mengatasi tekanan harian kehidupan. Contoh aktiviti sukan yang dapat merangsang penghasilan hormon Endorfin adalah seperti berlari, berjoging,  bermain bola keranjang, melakukan yoga. Aktiviti seperti di atas dapat mengeluarkan peluh, meningkatkan kadar degupan jantung , meregang otot seterusnya dapat melepaskan tekanan di fikiran.

Selain itu, kita akan merasa letih dan penat setelah bersukan yang mana akan menyebabkan proses tidur yang lebih cepat dan awal pada waktu malam. Manusia perlukan tidur secukupnya agar dapat merehatkan minda. Seterusnya, aktiviti sukan menawarkan saluran sihat untuk melepaskan emosi terpendam dan frustrasi. Daripada membenarkan tekanan berkumpul, individu boleh menyalurkan tenaga mereka ke dalam aktiviti fizikal yang produktif yang mana dapat mengurangkan tahap kebimbangan secara berkesan dan drastik.

2. Meningkatkan Keyakinan Diri

Sukan mempunyai kesan yang mendalam terhadap tahap harga diri dan keyakinan diri. Apabila seseorang individu berlatih bagi menguasai kemahiran baru, secara tidak langsung mereka membina disiplin diri untuk konsisten bagi mencapai matlamat sukan masing-masing. Jika mereka berjaya mencapai matlamat tersebut, seseorang individu dapat membina kecekalan dan keyakinan diri.

Sama ada kecil atau besar, setiap pencapaian dalam sukan menyumbang kepada imej diri yang positif dan membina kepercayaan terhadap kemampuan diri sendiri. Tambahan pula, kemesraan dan sokongan yang ada dalam sukan memupuk rasa kebersamaan. Menjadi sebahagian daripada satu pasukan atau komuniti membuatkan seseorang individu rasa dihargai serta memupuk kasih sayang sesama ahli pasukan.

3. Menjalin Hubungan Sosial Dan Komuniti

Aspek lain yang berharga dalam sukan adalah kemampuannya untuk membentuk hubungan sosial yang bermakna dalam komuniti. Sama ada menyertai pasukan sukan tempatan, mengambil bahagian dalam kelas kecergasan berkumpulan, atau menghadiri acara sukan, terlibat dalam sukan membawa masyarakat bersama-sama, memupuk rasa kebersamaan dan kemesraan. Kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat.

Nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan.  Ikatan yang terbentuk melalui pengalaman yang dikongsi di padang atau gelanggang biasanya melangkaui bidang sukan, seperti membawa kepada persahabatan yang berkekalan lamanya. Hubungan sosial yang utuh amat penting bagi menjaga kesejahteraan mental, terutamanya ketika waktu yang mencabar.

4. Penambahbaikan Fungsi Kognitif Dan Daya Tahan Mental

Selain manfaat emosi dan sosialnya, sukan juga menyumbang kepada peningkatan fungsi kognitif dan daya tahan mental. Aktiviti fizikal yang berkala telah dikaitkan dengan peningkatan kemahiran kognitif, termasuk peningkatan ingatan, kepekaan, dan kemahiran membuat keputusan yang lebih baik. Dengan merangsang otak melalui gerakan dan pemikiran strategik, sukan membantu menjaga kecerdasan dan ketajaman minda.

Aktiviti sukan menyumbang kepada perkembangan minda. Permainan sukan seperti bola sepak dan badminton memerlukan pemain untuk mematuhi peraturan yang dikenakan dan mendapatkan kemenangan daripada pihak lawan. Pemain akan diuji dari segi fizikal dan juga mental untuk menggabungkan kemahiran diri dan menghasilkan gerakan yang terbaik untuk menendang bola atau membuat pukulan libas kepada bulu tangkis.

Dalam sebuah pertandingan sukan yang profesional, atlet akan mendapat bimbingan daripada jurulatih atau pengurus pasukan untuk melaksanakan strategi atau formasi terbaik bagi mendapatkan objektif permainan. Secara langsung minda kita akan terbuka untuk melihat potensi dan merealisasikan pergerakan-pergerakan tertentu berdasarkan kemampuan fizikal masing-masing. Perkembangan kognitif pada minda melalui latihan dan ingatan ini dapat mencerdaskan minda kita persis slogan badan cergas otak cerdas.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, peranan sukan dalam meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan tidak dapat disangkal. Dengan menggabungkan aktiviti fizikal ke dalam kehidupan kita dan menyertai sukan, kita dapat menjaga kesihatan mental kita, membina daya tahan, dan membina rasa kebersamaan antara masyarakat berbilang kaum. Sama ada melalui sukan berkumpulan, aktiviti individu, atau kelas kecergasan berkumpulan, mencari cara untuk kekal aktif dan terlibat dalam sukan adalah penting untuk mencapai kesejahteraan holistik dalam minda, badan, dan roh.

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai infrastruktur untuk kita melakukan aktiviti sukan seperti padang awam dan juga pusat rekreasi. Terserah kepada kita sebagai masyarakat umum sama ada ingin menjadi masyarakat yang sihat dengan menyertai aktiviti sukan atau hanya duduk di rumah menonton kandungan televisyen dan internet sambil memakan makanan segera. Tepuk dada tanya selera.

Penulis: Muhammad Aqil Haziq Bin Mohd Hasri, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
RELATED ARTICLES

Most Popular