Thursday, July 25, 2024
HomeArtikelHarimau Malaya: Pasukan Bola Sepak Kebangsaan

Harimau Malaya: Pasukan Bola Sepak Kebangsaan

“Harimau Malaya” sangat sinonim dengan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia. Dalam konteks bola sepak, harimau melambangkan ketangkasan, kekuatan, dan semangat yang tidak gentar di mana, kesemua ciri ini perlu diterapkan oleh pemain-pemain di atas padang. Tambahan pula, Harimau Malaya dipilih sebagai lambang skuad bola sepak negara kita. Hal ini kerana ianya membawa kepada kepentingan budaya dan identiti pasukan. 

Skuad Harimau Malaya dikawal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Menurut laman web rasmi FAM, bola sepak di Malaysia secara ringkasnya bermula dengan pengaruh British, dan ianya dengan cepat menjadi sukan terkemuka negara. Zaman kegemilangan bola sepak Malaysia adalah pada tahun 1970-an dan 80-an yang menampilkan pemain terkenal seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, dan Soh Chin Aun. 

Skuad Harimau Malaya secara kolektifnya telah menyertai pelbagai pertandingan serantau dan antarabangsa. Salah satunya adalah piala AFF. Momen yang paling berharga bagi skuad negara di piala AFF adalah pada edisi 2010, di mana mereka merangkul  kejuaraan pada ketika itu. Masih tersimpan dalam memori kita, pasukan negera berjaya menewaskan Indonesia di perlawanan akhir yang dijalankan secara timbal balik dan sekali gus menyaksikan keputusan agregat memihak kepada Malaysia dengan jaringan 5 berbalas 1. Pada waktu itu, skuad negara dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal, jurulatih yang tidak asing lagi dengan peminat bola sepak negara.

Kini, skuad Harimau Malaya tampil dengan wajah yang baharu dan dipimpin oleh jurulatih Kim Pan Gon atau lebih mesra dikenali sebagai KPG. Beliau bersama-sama pemain negara mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan sehingga menjadi tumpuan pelbagai pasukan gergasi Asia seperti Korea dan Arab Saudi.

Baru-baru ini, Malaysia beraksi di Piala Asia 2023 Qatar setelah 42 tahun tidak layak secara merit ke dalam kejohanan berprestij itu. Malaysia diletakkan dalam kumpulan E bersama-sama Korea, Jordan dan Bahrain. Hasil ketiga-ketiga perlawanan menyaksikan Malaysia mencapai sasaran yang diletakkan oleh FAM iaitu membawa pulang 1 mata ke bumi Malaysia. Menariknya, 1 mata yang diperoleh skuad Harimau Malaya adalah ketika mereka mengikat Korea Selatan 3-3 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Senario ini telah membuka mata dunia bahawa Malaysia bukannya pasukan yang boleh dipandang rendah bahkan mampu memberi saingan kepada mereka.

Dalam erti kata lain, penyertaan Harimau Malaya dalam pertandingan antarabangsa bukan sahaja mempamerkan kehebatan pasukan itu malah menjadi platform untuk mewakili Malaysia di peringkat global. Ia memupuk rasa bangga akan negara dan menyumbang kepada imej positif negara di persada antarabangsa. 

Namun, walaupun skuad Harimau Malaya mempunyai detik-detik kegemilangan yang tersendiri, mereka juga menghadapi pelbagai cabaran, termasuk saingan sengit daripada negara Asia lain yang juga sedang meningkat naik. Contoh yang terdekat adalah pasukan Indonesia, di mana mereka berjaya mencipta sensasi apabila melepasi peringkat kumpulan Piala Asia Qatar 2023 buat julung kalinya dan beraksi dalam peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi oleh skuad Harimau Malaya dapat diatasi dengan pelbagai usaha atau komitmen untuk membangunkan bakat bola sepak di peringkat akar umbi. Seperti yang kita sedia maklum kerajaan telah menambah peruntukan dana sebanyak RM5 juta kepada FAM. Jadi pelbagai perancangan boleh dilakukan oleh FAM untuk membangunkan infrastruktur dan menguruskan aktiviti-aktiviti bola sepak di Malaysia seterusnya meningkatkan lagi keupayaan skuad Harimau Malaya. Pendek kata, pelaburan dalam infrastruktur dan perancangan strategik boleh menyumbang kepada kemajuan Harimau Malaya.

Jadi persoalan yang berlegar-legar di gawang minda kita ialah,

“Apa seterusnya untuk Harimau Malaya?”

Jika dipandang ke hadapan, sudah tentu salah satu visi jangka panjang yang seringkali disebutkan adalah menyertai kejohanan yang paling besar, iaitu Piala Dunia. Meskipun terlihat sebagai angan-angan kosong sahaja, hal ini sebenarnya akan mendorong para pemain dan barisan kejurulatihan skuad negara untuk terus meningkatkan kualiti dan konsistensi permainan mereka demi merealisasikan misi tersebut.

Namun sudah tentu, realitinya skuad Harimau Malaya harus memberi penekanan terhadap Piala Asia terlebih dahulu. Mereka sewajarnya fokus untuk menyertai kejohanan Piala Asia secara konsisten dan secara merit bagi membiasakan diri dengan intensiti permainan dan suasana kejohanan. Dengan itu barulah impian beraksi di Piala Dunia menjadi realistik dan relevan.

Dalam rangka mencapai sasaran tersebut juga, perlu adanya kerjasama antara pemain, jurulatih, FAM dan penyokong serta orang ramai secara keseluruhannya. Hanya dengan bersatu dan bergerak maju bersama, Harimau Malaya dapat mewujudkan potensi sepenuhnya dan mengukir nama di kancah bola sepak global.

Hakikatnya, aspirasi beraksi di Piala Dunia tidak akan terjadi dalam semalaman. Ianya akan menjadi perjalanan yang panjang bagi skuad Harimau Malaya kerana perkara tersebut memerlukan dedikasi, kerja keras, dan komitmen yang tidak kenal lelah dari semua pihak yang terlibat. Dengan visi yang jelas, strategi yang tepat, dan tekad yang kuat, tidak ada alasan mengapa Harimau Malaya tidak dapat meraih kejayaan yang besar di pentas bola sepak dunia.

Kesimpulannya, Harimau Malaya mendapat tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia, sebagai lambang perpaduan negara, kebanggaan, dan kecemerlangan. Perjalanan pasukan bola sepak negara mencerminkan kekayaan budaya Malaysia dan aspirasi kolektif sesebuah negara melalui medium sukan. Harus diingat, bola sepak bukan hanya sekadar sukan, tetapi juga sebagai medium identiti, penyatuan dan inspirasi bagi sesebuah masyarakat.

Ramai yang berharap agar skuad Harimau Malaya terus berkembang dari segi evolusi taktikal, kualiti permainan, kemudahan stadium dan lain-lain. Hal demikian dilihat mampu dijadikan sebagai batu loncatan dan memberi ilham kepada generasi masa hadapan untuk tidak berputus asa menggapai sesuatu matlamat.

Semoga Harimau Malaya terus “mengaum” !

Penulis: Hafezul Rahman, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular