Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelIsu Perkauman Perlu Dihapuskan: Jom Kenali Cara Untuk Mengatasinya!

Isu Perkauman Perlu Dihapuskan: Jom Kenali Cara Untuk Mengatasinya!

Seperti yang kita sedia maklum, sikap perkauman tidak lagi asing di dunia ini. Sikap perkauman ataupun rasisme (bahasa Inggeris: racism) merupakan satu sifat, kepercayaan, sikap dan amalan di mana segelintir orang mendiskriminasi segolongan manusia dengan ciri-ciri perkaumannya.

Pada awalnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada kaum yang berbeza dan juga dapat membezakan bahawa nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakili.

Namun begitu, kepercayaan tersebut telah membawa kebinasaan terhadap manusia. Kini, sifat rasisme ini telah melibatkan banyak kaum dan bukan sahaja di Malaysia, di luar negara juga terdapat kepercayaan ini.

Selain daripada itu, sikap rasisme ini juga telah menghasilkan amalan yang buruk seperti diskriminasi kaum, pengasingan kaum, dan juga pembasmian kaum. Malahan amalan-amalan ini telah diikuti oleh anak-anak muda kerana kepercayaan ini telah dipupuk dalam diri mereka sejak mereka kecil.

Jenis-Jenis Rasisme

Selain daripada itu, sikap perkauman atau rasisme dalam bahasa Melayu juga berkait rapat dengan perkauman dan semangat “assabiyah”.

Terdapat 4 jenis rasisme: antaranya Rasisme Individu, Rasisme Struktur, Rasisme Ideologi dan Rasisme Berbalik.

  1. Rasisme Individu: amalan yang dilakukan perseorangan.
  2. Rasisme Struktur: amalan dijalankan melalui institusi sosial seperti perundangan dan pendidikan.
  3. Rasisme Ideologi: amalan yang disokong oleh justifikasi bersistem.
  4. Rasisme Berbalik: amalan rasisme yang tercetus sebagai reaksi kepada rasisme.

Cara-Cara Mengatasi Isu Perkauman

Seperti yang kita tahu, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita ataupun bahasa rasmi di Malaysia. Oleh itu, bahasa tersebut dapat dijadikan satu saluran rasmi yang dapat digunakan oleh semua rakyat Malaysia.

Namun begitu, masih terdapat kebanyakan kaum yang masih tidak dapat bertutur dengan lancar, ini termasuk kaum melayu ataupun bukan melayu. Hal ini disebabkan, Malaysia terdiri dengan masyarakat yang berbilang kaum dan wujudnya kepelbagaian bahasa ibunda masing-masing.

Ini menyebabkan sebilangan mereka sukar untuk menangani masalah bahasa rasmi dengan baik. Bahasa yang digunakan berdasarkan bahasa ibunda kaum masing-masing telah menjauhkan jurang antara kaum kerana berlakunya ketidaksefahaman dan prasangka di antara satu sama lain.

Justeru tanpa kita sedari, amalan yang telah dilakukan sejak sekian lama ini sedang menuju ke arah kewujudan polarisasi kaum yang sangat membimbangkan. Sekiranya kita tidak berhati-hati dan kurang ambil perhatian tentang masalah ini, warga Malaysia berkemungkinan akan berpecah-belah dan akan mewujudkan fahaman negara yang ekstrem.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, terdapat pelbagai cara yang dapat mengatasi masalah perkauman ini. Antaranya adalah:

1.     Didikan Ibu Bapa

Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan peribahasa Melayu yang sering kali digunakan apabila melibatkan ibu bapa.  Ibu bapa merupakan orang pertama yang paling awal mendekati anak-anak.

Disebabkan itu, fikiran dan kelakuan anak-anak dipengaruhi oleh sikap ibu bapa mereka. Sebagai contoh, anak-anak mereka akan didedahkan tentang kewujudan isu-isu kaum sejak mereka kecil lagi.

Terdapat segelintir ibu bapa di Malaysia ini masih mempunyai tanggapan yang salah terhadap isu-isu perkauman, jadi mereka cenderung untuk memberi fakta yang terpesong yang akan mempengaruhi anak-anak terhadap bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang lain di Malaysia.

Oleh itu, hal ini menyebabkan perpaduan dan persepakatan antara kaum dan bangsa sukar dicapai. Ibu bapa perlulah menunjukkan keikhlasan kita dalam menjalin hubungan dengan sesiapa pun terutama dengan jiran tetangga dan anggota masyarakat yang berbeza warna kulit, kebudayaan dan agama dalam kehidupan seharian.

Apabila ibu bapa mengamalkannya, justeru dapat menunjukkan impak yang positif terhadap anak-anak kerana ibu bapa merupakan ‘role model’ mereka ketika mereka masih kecil.

Selain daripada itu, jika kita meneruskan amalan sikap kekitaan, kita semua dapat mewujudkan satu suasana hidup yang baik dan dapat menguntungkan kita semua di samping dapat memelihara soal keselamatan hidup setempat yang terdiri dengan pelbagai kaum dan budaya. Ini juga dapat menjadikan satu contoh yang baik kepada generasi muda akan datang dan mereka juga akan terdorong untuk mengamalkannya.

2.     Sistem Pendidikan

Sistem pendidikan juga dapat memainkan peranan yang berkesan untuk menjamin keamanan sesebuah negara yang mempunyai pelbagai golongan etnik, kaum dan budaya. Sistem pendidikan ini boleh menjadi satu medium sosialisasi bagi memupuk keperibadian dan kesedaran semua di kalangan rakyat negara-negara yang terlibat.

Sistem pendidikan jugalah yang menjadikan sesebuah negara itu dapat melahirkan satu generasi yang menghormati satu sama lain, perpaduan harmoni dan persefahaman antara golongan etnik, budaya dan kaum.

Budaya pemikiran dan sikap perkauman ini dapat dikikis dan juga dihapuskan di kalangan para pelajar dengan pendidikan yang berkesan. Melalui pendidikan juga, pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan dapat dihilangkan.

Sebagai contoh, kerajaan perlu memikirkan satu cara di mana mereka dapat meletakkan pelajar-pelajar daripada pelbagai kaum disatu sekolah supaya matlamat untuk menyatukan dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Justeru, ia juga dapat mengubah persepsi generasi muda dan menghapuskan isu perkauman.

Selain daripada itu, Malaysia juga boleh mencapai perpaduan dan kesepakatan kaum melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi. Sebagai contoh, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kesenian, kebudayaan dan juga sukan dapat dilakukan bagi menampakkan hasil yang lebih positif. Tambahan juga, ia juga membantu lagi untuk merapatkan ukhuwah di antara pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bangsa.

Aktiviti-aktiviti yang sebegini boleh juga membangkitkan semangat tolong-menolong dan setia kawan serta saling percaya antara satu sama lain di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum dan budaya yang terlibat.

Penglibatan pelajar secara terbuka dan aktif dalam bidang ko-kurikulum ini akan melahirkan individu yang berfikiran terbuka dan matang dalam pergaulan, perhubungan dan bersosial antara pelajar berlainan kaum.

3.     Media Sosial/ Media Massa

Media sosial ini ataupun media massa bukan sahaja sumber pencarian atau maklumat utama kita, ia juga merupakan medium yang membekalkan fakta dan data tertentu. Dalam masa yang sama, setiap manusia di pelusuk muka bumi ini menggunakan teknologi yang paling terkini dan canggih di mana media sosial ini juga merupakan satu perkara yang tidak asing lagi buat masyarakat.

Tambahan juga, ia juga memberikan maklumat tentang pelbagai perkara, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, peristiwa pergaduhan di Plaza Low Yat pada 2015 yang telah memaparkan bagaimana satu insiden yang kecil bertukar mejadi satu insiden yang besar dan diketahui oleh masyarakat di negara ini khasnya dan juga di seluruh dunia menerusi penyebarannya yang meluas menerusi media sosial.

Kejadian ini juga tercetus yang telah membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan pembeli dan peniaga di pusat jualan itu dan melibatkan kaum yang berbeza dan ini menimbulkan kebimbangan terutama antara kaum yang lambat laun boleh membawa pergaduhan yang lebih besar di seluruh negara.

Media massa pula perlu lebih peka terhadap sesuatu perkara dalam menyampaikan sesuatu dasar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara dan isu yang sensitif di mana, media massa juga merupakan satu bentuk medium semua masyarakat termasuk yang kecil ke yang lebih tua.

Ini juga dapat mengelakkan timbulnya konflik dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini. Melalui matlamat yang tepat dan benar, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat suatu kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

Selain daripada itu juga, kepelbagaian dan ledakan teknologi kini juga merupakan satu cabaran dalam mengekalkan persepaduan kaum. Seperti yang kita tahu, kemudahan media sosial dan media massa mampu dan pantas untuk menyampaikan suatu teks atau video.

Penyebaran fitnah dan juga berita palsu juga semakin berleluasa dan menular terutamanya apabila ia melibatkan sensitiviti perkauman, budaya atau agama. Setiap individu perlulah berfikir dan menyahihkan tentang berita itu terlebih dahulu sebelum menyebarkannya. Setiap individu bertanggungjawab dalam menyampaikan atau berkongsi maklumat terutama yang menyentuh sensitiviti dan berkemungkinan tidak sahih.

Pihak berkuasa wajar untuk menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah yang mencetuskan isu atau sesuatu yang dapat mencetuskan pertelingkahan antara kaum dan masyarakat. Rantaian berita di aplikasi WhatsApp juga amat membimbangkan kerana kebanyakan masyarakat berandaian berita tersebut sahih dan menyebarkan secara rantaian kepada setiap kumpulan di dalam aplikasi tersebut.

Oleh kerana itu, sekiranya sesiapa yang ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan kemarahan sesebuah kaum atau penganut agama, adalah sangat wajar untuk kita laporkan kepada polis.

Walaubagaimanapun, di sebalik penularan video yang berunsur negatif, kita juga dapat peroleh penularan yang dapat dijadikan bahan bukti pihak berkuasa. Sebagai contoh, sebelum ini pernah tular beberapa video di mana terdapat seorang pelajar yang telah teruk dibelasah pelajar lain telah dijadikan bahan bukti.

Selain daripada itu, terdapat juga di luar negara di mana “#StopAsianHate” dan “#BlackLivesMatter” digunakan oleh semua pengguna media sosial di seluruh dunia bagi membuka mata sesetengah pihak yang masih menganggap kaum, budaya atau agama satu perkara yang perlu dibenci dan dihina.

“#SaveUghyur” dan “#SavePalestine” juga telah tular selama beberapa minggu tentang kekejaman satu pihak negara terhadap penduduk Islam di sana. Kita dapat simpulkan di mana penggunaan teknologi dan media sosial ini terdapat positif dan negatifnya dalam kehidupan harian kita. Penularan isu-isu yang menyentuh tentang perpaduan kaum telah menjadi satu isu yang tersangatlah besar dan menjadi satu bahan perbualan masyarakat hari ini.

Secara konklusinya pelbagai cabaran dan perkara yang timbul apabila melibatkan perpaduan kaum dalam negara kita. Pelbagai usaha dan cara yang telah diambil tetapi belum cukup untuk mengekalkan perpaduan kaum yang sangat mudah untuk dimusnahkan.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia perlulah menghindari sebarang Tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum lain. Walaupun kita sebagai rakyat telah diberi hak kebebasan bersuara, kita tidak harus mengambil kesempatan ini dengan mencetuskan sensitiviti dan kontroversi yang dapat merosakan kesepaduan yang telah dibentuk di Malaysia ini.

Dapat saya simpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum oleh seluruh rakyatnya. Bak kata pepatah “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” .

Penulis; Siti Nur Farahani binti Rahman dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular