Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelJual Beli Dalam Talian: Manfaat Kepada Masyarakat

Jual Beli Dalam Talian: Manfaat Kepada Masyarakat

Pada era globalisasi, semua jenis transaksi boleh dilakukan secara dalam talian. Dengan perubahan gaya hidup yang semakin sibuk, transaksi dalam talian (online) kini mendapat tempat di hati pengguna. Berbanding dengan pembelian konvensional yang memerlukan individu mengambil barang di kedai, pembelian dalam talian lebih mudah dan menjimatkan masa kerana semua transaksi dilakukan secara maya.

Di negara maju, pembelian dalam talian sudah lama diamalkan dan trend ini semakin rancak berkembang dalam kalangan masyarakat tempatan. Melalui pembelian secara dalam talian, pembeli boleh melihat barangan yang ingin dibeli, membuat perbandingan dari segi harga, kualiti dan jenama sebelum membuat tempahan.

Membeli belah dalam talian menjadi satu realiti. Pada masa ini, dengan pertambahan masyarakat tempatan yang mampu memiliki telefon pintar dan juga mempunyai capaian internet yang lebih baik menyebabkan penggunaan internet semakin meningkat di Malaysia.

Masyarakat tempatan meluangkan masa purata kira-kira 6.6 jam sehari dalam talian dan telefon pintar merupakan peranti paling kerap digunakan. Memandangkan keinginan pembeli semakin meningkat, membeli belah dalam talian kini bukan hanya sekadar mengklik pada platform beli belah tetapi di Malaysia, membeli belah menerusi penstriman langsung menjadi semakin popular melalui pelbagai platform, terutama di Facebook, berikutan lebih ramai peniaga menggunakan aliran digital terkini untuk menarik perhatian pengguna.

Kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan remaja meluangkan masa mereka dengan melayari internet untuk melakukan aktiviti seperti bermain permainan atas talian, mencari maklumat serta berinteraksi dengan rakan-rakan. Secara tidak langsung mereka juga terpengaruh untuk melakukan pembelian dalam talian kerana kekerapan mereka terdedah kepada iklan semasa melayari internet.

Iklan merupakan salah satu strategi yang digunakan oleh para peniaga untuk menjangkau orang yang tepat pada waktu yang tepat. Hal ini menjadi semakin popular kerana ia adalah cara yang paling mudah bagi orang ramai membeli barang keperluan tanpa terburu-buru.

Seperti yang kita sedia maklum, pandemik COVID-19 (Coronavirus Disease 2019) menjadi krisis global sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakan sebagai pandemik yang berisiko tinggi pada 11 Mac 2020. COVID-19 adalah strain baru Coronavirus yang sebelum ini belum dikenal pasti.

COVID-19 berjangkit melalui titisan pernafasan iaitu melalui batuk dan bersin dan juga sentuhan pada permukaan yang tercemar atau dicemari virus daripada individu yang telah dijangkiti kepada individu lain.

Malaysia turut dilanda pandemik COVID-19 seperti negara-negara lain di dunia. COVID-19 telah menggerakkan rakyat Malaysia untuk saling bekerjasama dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Cara terbaik memutuskan rangkaian jangkitan ini adalah mengamalkan norma baharu dan kekal duduk di rumah.

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac hingga 9 Jun 2020. PKP ini dilaksanakan bagi melandaikan lekuk epidemiologi kes COVID-19. Sebanyak enam (6) arahan yang terkandung dalam PKP dan satu daripadanya adalah larangan pergerakan secara menyeluruh dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Sesiapa yang melanggar atau mengingkari arahan tersebut akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Pandemik COVID-19 yang melanda telah mengubah kehidupan masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Contohnya, rutin harian, aktiviti sosial, aktiviti keagamaan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya adalah terbatas.

Lazimnya, sebelum krisis COVID-19, aktiviti fizikal berstruktur dan tidak berstruktur boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tempat yang diingini. Namun, kemunculan pandemik COVID-19 menyebabkan rutin aktiviti fizikal berubah 360 darjah. Segala pergerakan adalah terbatas dan dikawal ketat oleh tentera dan polis.

Selain itu, PKP secara berterusan telah menjejaskan keseronokan aktiviti sosial yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia iaitu membeli belah. Sebagai permulaan, mereka yang membeli belah harus mematuhi jarak sosial. Peraturan baru semasa wabak ini mungkin memerlukan rakyat Malaysia utuk membiasakan diri mereka. Mereka juga perlu beratur untuk membeli barang keperluan dan bilangan pengguna yang memasuki premis adalah terhad demi menjaga jarak sosial.

Hal ini telah mengubah sedikit sebanyak tabiat orang ramai membeli belah secara bersemuka kerana pengguna terpaksa meluangkan banyak masa dan tenaga untuk menunggu giliran untuk membeli. Oleh itu, penjualan dan pembelian dalam talian merupakan inisiatif pilihan masyarakat tempatan untuk melakukan proses jual beli sepanjang wabak COVID-19.

Terdapat banyak kelebihan pembelian dalam talian terhadap pengguna. Antaranya, menjimatkan masa dan tenaga. Melalui pembelian dalam talian, pengguna lebih mudah untuk mencari barangan dengan ciri yang diinginkan di samping dapat membandingkan harga. Dalam masa yang singkat, pengguna boleh melihat produk yang dikehendaki dalam pelbagai kedai dalam talian. Manakala di bandar, pengguna memerlukan lebih dari sejam untuk pergi ke pasar raya. Pembelian atas talian memberi peluang kepada pengguna untuk berbelanja 24 jam.

Pembelian dalam talian juga boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja serta mempunyai masa yang fleksibel untuk membuat pilihan yang lebih tepat sesuai dengan citarasa masing-masing. Malahan, pengguna jugak boleh membeli belah di mana-mana sahaja di seluruh dunia dan bukan sahaja di dalam negeri atau bandar sendiri.

Terdapat banyak produk yang sukar dicari oleh pengguna di kedai-kedai biasa tetapi boleh didapati dengan mudah secara dalam talian. Kemajuan teknologi dan lambakan gajet seperti telefon pintar memudahkan pengguna mengakses sosial media seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp bagi membuat pembelian dalam talian.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan terutamanya semasa pandemik COVID-19, membuat pesanan makanan dalam talian telah berubah daripada kemudahan yang diinginkan kepada keperluan wajib untuk kelangsungan hidup para peniaga. Pesanan makanan dalam talian juga merupakan perbelanjaan dalam talian yang membolehkan pelanggan membuat pesanan pada bila-bila masa, dari mana sahaja dan sangat menjimatkan masa yang biasanya digunakan untuk mengambil makanan. Antaranya ialah menggunakan Foodpanda, GrabFood Car, dan DeliveryEat.

Selain itu, pengguna mendapati barangan yang dijual secara dalam talian adalah lebih murah berbanding di kedai luar. Tawaran harga yang lebih murah dan lebih baik ini adalah kerana barang yang datang secara terus kepada pembeli dari penjual atau pengilang tanpa melibatkan orang tengah. Kebiasaannya pengguna juga diberikan diskaun atau potongan harga dan juga kupon promosi khas contohnya sempena Jualan Mega 11.11 untuk mereka yang membeli secara dalam talian.

Pengguna juga mudah untuk mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai yang pernah membuat pembelian di online store tersebut sama ada dari segi kualiti produk, keadaan produk sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya dan juga layanan daripada peniaga adalah memuaskan atau tidak.

Melalui maklum balas yang diterima daripada para pelanggan, para peniaga dapat memperbaiki cara dan produk jualan mereka. Dengan melihat maklum balas yang diberikan oleh pengguna lain di ruangan maklum balas, orang ramai dapat membuat keputusan dengan yakin untuk membeli di kedai tersebut.

Pada masa ini juga, kaedah pembayaran yang ditawarkan dalam pembelian dalam talian adalah pelbagai dan terjamin. Pengguna boleh membuat pembayaran melalui pemindahan internet banking atau mungkin melalui sistem lain seperti Paypal, MOLPay dan E-money.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April 2020 lalu berikutan negara kita menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.

Sementara itu, menurut Lazada Malaysia, mereka juga mendapati bahawa terdapat peningkatan dalam penjualan mereka berikutan pengumuman perintah kawalan pada 17 Mac 2020 lalu. Mereka berkata bahawa pembeli Lazada bukan sahaja membeli lebih banyak barangan runcit, bahkan menyaksikan peningkatan permintaan untuk peralatan elektronik dan aksesori komputer selepas rakyat Malaysia diperintahkan untuk bekerja dan belajar dari rumah. Hal ini boleh membantu mereka mewujudkan persekitaran kerja dari rumah yang lebih kondusif dan produktif.

Menurut Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata syarikat itu beroperasi seperti biasa semasa PKP dan akan melaksanakan penghantaran makanan tanpa sentuhan dan jarak sosial. Didapati sejak PKP dilaksanakan, purata penghantaran bagi penghantar makanan sepenuh masa adalah antara 17 hingga 20 pesanan setiap hari yang menunjukkan tempahan penghantaran meingkat lebih daripada 30 peratus. Jelaslah bahawa wabak COVID-19 telah mempengaruhi tingkah laku setiap pengguna kini untuk membuat pembelian secara dalam talian.

Tambahan lagi, krisis COVID-19 ini telah menaikkan jumlah penggunaan e-dagang. Berikutan pelaksanaan PKP bagi mengawal penularan wabak COVID-19 menyaksikan peralihan trend pengguna yang mendorong peniaga untuk meneroka strategi baharu untuk berinteraksi dengan pengguna dan memudahkan proses urus niaga.

Menurut pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, pada tahun lalu tiada yang menjual dan membeli hasil segar seperti ikan, ayam, daging lembu dan juga durian di platform e-dagang. Namun, pada April sahaja, kira-kira sebanyak 1000 penjual hasil segar dan beku, termasuk petani dan nelayan, mula menjual di aplikasi Shopee.

Pengarah Shopee mendapati bahawa pengguna meluangkan lebih banyak masa di aplikasi Shopee kira-kira sebanyak 20 peratus dalam seminggu. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat tempatan mula menerima norma baharu dalam kehidupan mereka. Ho juga berkata aktiviti membeli-belah telah meningkat pada hari Isnin dan Selasa sejak beberapa bulan yang lalu.

Hal ini menunjukkan rakyat Malaysia gemar membeli belah pada awal minggu. Bermula pada tahun 2020, masyarakat tempatan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan mereka seperti bekerja dan berbelanja secara dalam talian sejak penularan COVID-19.

Kesimpulannya, pandemik COVID-19 telah mempengaruhi corak pembelian masyarakat kini yang lebih cenderung untuk membeli secara dalam talian selain daripada kecanggihan teknologi. Kita sebagai pengguna juga perlulah berhati-hati dalam membeli barangan atas talian kerana terdapat segelintir pihak yang mencurigakan seperti scammer yang mengambil peluang ini untuk mendapat keuntungan. Pengguna sewajarnya bijak memilih platform membeli belah yang dipercayai sebelum membuat transaksi atas talian agar tidak mudah tertipu.

Penulis; Aqilah binti Abdul Hamid, Pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan
RELATED ARTICLES

Most Popular