Kemahiran literasi awal sebenarnya merupakan kemahiran yang amat penting untuk dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka belajar membaca dan menulis dan perlu diterapkan sejak bayi iaitu ketika baru lahir sehingga berusia lapan tahun. Kemahiran literasi awal membawa maksud segala proses perkembangan literasi asas kanak-kanak kepada pengetahuan dan tingkah laku membaca dan menulis.
Ibu bapa hendaklah mengambil tahu kepentingan literasi awal kepada anak-anak kerana literasi awal ini memberikan impak yang besar terhadap kemahiran membaca dan menulis. Tahap penguasaan kemahiran membaca dan menulis bergantung kepada kemahiran literasi awal yang didedahkan kepada kanak-kanak pada peringkat awal.
Sekiranya kanak-kanak tersebut sudah biasa membuat aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran literasi awal bersama ibu bapa atau guru di prasekolah, maka semakin tinggi dan lancar penguasaan membaca dan menulis mereka.
Terdapat beberapa aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan bersama kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran literasi awal mereka iaitu dengan membaca bersama, pengajaran berfokuskan fonik dan bermain permainan yang melibatkan perkataan.
Dengan melakukan aktiviti pengajaran berfokuskan fonik ini, ianya dapat membantu kanak-kanak memahami hubungan antara huruf dan bunyi serta membina kemahiran membaca yang kukuh. Selain itu, bermain permainan yang melibatkan perkataan seperti meneka perkataan yang bermula dengan huruf atau bunyi tertentu dapat membantu kanak-kanak mempelajari kosa kata baharu secara tidak langsung.
Selain daripada penguasaan kemahiran literasi awal, kanak-kanak belajar membaca dan menulis dengan memerhati dan bercakap dengan orang di sekeliling mereka, seperti orang dewasa atau kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa keadaan sekeliling sangat mempengaruhi kanak-kanak. Oleh itu, guru juga boleh membantu dengan mencipta bilik darjah yang mempunyai perkara menarik untuk digunakan oleh kanak-kanak, seperti buku dan alatan menulis yang menarik perhatian kanak-kanak.
Mereka juga boleh bercakap dengan kanak-kanak, membaca buku bersama-sama dan memastikan aktiviti bilik darjah dirancang dengan baik. Jika ibu bapa dan guru bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran yang baik untuk pembelajaran, kanak-kanak akan menjadi lebih baik dalam membaca dan menulis dengan cepat. Guru-guru di Malaysia harus memberi perhatian kepada perkara ini supaya kanak-kanak dapat belajar membaca dan menulis sebaik mungkin.
Kemahiran literasi awal wajib diberikan perhatian oleh ibu bapa dan guru. Perkembangan kemahiran literasi awal jelas memberikan kesan apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan atau taska. Apabila kanak kanak memulakan tadika, mereka mempunyai tahap kemahiran membaca yang berbeza. Ada yang boleh membaca dengan baik dan lancar, ada yang hampir bersedia untuk membaca, dan ada juga yang perlu mempelajari asas membaca kerana tiada asas pengetahuan membaca.
Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang boleh membaca dengan baik boleh mempelajari lebih lanjut dalam mata pelajaran seperti, sains dan sejarah. Sebaliknya, kanak-kanak yang tidak mempunyai banyak pengalaman membaca menghadapi masalah dengan perkara seperti membaca dengan kurang lancar dan tidak memahami perkara yang mereka baca. Mereka juga tidak membaca sebanyak rakan sekelas dan terlepas peluang untuk mempelajari perkataan dan bahasa baharu.
Namun begitu, penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak semakin berleluasa dan hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi kemahiran literasi awal mereka dek kerana kecanggihan teknologi yang tidak dinafikan semakin hebat. Ibu bapa sering menggunakan gajet untuk mengawal tingkah laku anak-anak di tempat awam yang menyebabkan semakin kurang masa yang diperuntukkan oleh ibu bapa untuk membuat aktiviti berfokuskan kemahiran literasi awal ini.
Antara kesan penggunaan gajet terhadap perkembangan kemahiran literasi awal di kalangan kanak-kanak adalah kurangnya interaksi sosial. Kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa dengan aktiviti digital ini lebih cenderung untuk bermain bersendirian.
Impaknya, kanak-kanak yang diberi kelonggaran untuk bermain gajet ini akan mempunyai peluang yang lebih rendah untuk berkomunikasi secara lisan. Apabila kurangnya penglibatan kanak-kanak dengan dunia sebenar, perkara ini secara tidak langsung akan menjejaskan kemahiran literasi awal dan kemahiran berbahasa mereka.
Selain itu, penggunaan gajet yang berlebihan juga akan memberi gangguan terhadap aktiviti pembacaan kanak-kanak. Hal ini kerana gajet mempunyai banyak aplikasi permainan dan video yang menarik perhatian kanak-kanak kerana mempunyai audio dan visualnya yang cantik berbanding bahan bacaan seperti buku yang hanya statik sahaja.
Oleh itu, selain daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran literasi awal bersama anak-anak, ibu bapa juga perlu prihatin akan penggunaan gajet oleh anak-anak supaya tidak mengganggu kemahiran literasi awal dan kemahiran membaca mereka. Melihatkan kepada kanak-kanak pada zaman sekarang yang sentiasa mempunyai akses terhadap gajet tanpa kawalan yang ketat oleh ibu bapa, isu ini harus dipandang serius dan hendaklah diuruskan dengan efisien oleh ibu bapa.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah memilih kandungan yang berkualiti sebelum memberi anak-anak menggunakan gajet. Ibu bapa hendaklah memilih kandungan yang berkualiti seperti aplikasi dan permainan yang mendidik dan berkualiti apabila membenarkan anak-anak menggunakan gajet. Aplikasi pembelajaran yang memperkaya kosa kata dan membangunkan kemahiran literasi sangat sesuai untuk perkembangan minda anak-anak. Natijahnya, anak-anak dapat menggunakan gajet di samping mendapat input yang baik.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menyekat masa penggunaan gajet terhadap anak-anak. Hal ini membolehkan ibu bapa meluangkan lebih waktu bersama anak-anak dengan menetapkan had masa yang sepatutnya untuk memberikan gajet kepada anak-anak. Antara aktiviti yang dapat dilakukan bersama anak-anak ialah membaca buku dan berinteraksi dengan mereka. Kesannya, waktu lapang anak-anak diisi dengan perkara yang bermanfaat serta meningkatkan kemahiran literasi oleh ibu bapa.
Pada era yang serba digital ini, tidak dinafikan gajet merupakan satu keperluan untuk manusia kerana gajet memudahkan hidup manusia dan mempunyai pelbagai kegunaan. Namun, ibu bapa perlulah tidak memandang enteng terhadap isu ini terutamanya, kerana gajet boleh mempengaruhi perkembangan literasi awal kanak-kanak.
Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam merangsang perkembangan kemahiran literasi awal kanak-kanak dengan mendedahkan pelbagai aktiviti menarik serta mengawal penggunaan gajet anak-anak. Intihanya, ibu bapa hendaklah mempunyai ilmu tentang kemahiran literasi awal kanak-kanak supaya anak-anak dapat mengadaptasi dan mengikuti pelajaran dengan baik ketika memasuki alam persekolahan.
Penulis: Nur Anis Adlina binti Hamidi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).