Friday, July 26, 2024
HomeArtikelKepentingan Menjaga Hubungan Sesama Jiran

Kepentingan Menjaga Hubungan Sesama Jiran

Sejak dunia dilanda pandemik covid-19 pada tahun lalu, gaya hidup manusia kini makin bergerak ke arah penggunaan teknologi secara atas talian dalam hampir seluruh aspek kehidupan seperti bekerja dari rumah, melakukan pemesanan makanan, pembelian barangan  dan lain-lain.

Hal ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pengabaian kepentingan kehidupan bermasyarakat terutama sekali dalam kalangan kejiranan. Hubungan kejiranan yang baik merupakan asas kepada masyarakat yang lebih bersatu padu, bertanggungjawab dan prihatin yang penting dalam menubuhkan negara yang stabil dari segi ekonomi, politik dan sosial khususnya negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. 

Dalam komuniti yang mempunyai semangat persaudaraan yang kukuh, salah faham dan pergaduhan dapat dielakkan selain dapat menangani masalah sosial seperti keganasan rumah tangga atau penderaan terhadap kanak-kanak apabila jiran saling peka dan peduli terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh, kes di Besut, Terengganu di mana tiga orang lelaki bertindak menyerang jiran baharu mereka akibat salah faham yang melibatkan tanaman milik suspek. Manakala di Ipoh, Perak, seorang lelaki dan wanita yang berjiran terpaksa dihadapkan ke mahkamah akibat pergaduhan yang berpunca daripada isu pembuangan sampah di kawasan kediaman. 

Begitu juga kes kematian kanak-kanak berumur tujuh tahun, Zubaidi Amir yang mati akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya di Melaka pada Febuari lalu.

Jika diperhatikan semula, adakah semua hal ini dapat dielakkan sekiranya jiran sekeliling saling menjaga hak jiran dan prihatin terhadap jirannya? Oleh yang demikian masyarakat perlulah mengambil cakna tentang prinsip kejiranan agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan di kawasan kejiranan kita. 

Justeru itu, bagaimanakah prinsip kejiranan yang sepatutnya diamalkan oleh masyarakat Malaysia?

Dalam melahirkan masyarakat yang berfikiran kelas pertama, ahlinya haruslah mampu untuk berfikir secara matang dalam pertimbangan sesuatu perkara dan melakukan pilihan yang membawa hasil positif bukan sahaja pada dirinya namun pada masyarakat sekeliling dan juga pada negara.

Oleh yang demikian, masyarakat amatlah digalakkan untuk mengamalkan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Peribahasa melayu di atas membawa maksud bahawa setiap orang itu mempunyai pendapat serta kemahuan yang berlainan. Hal ini melihat kepada perbezaan latar belakang kehidupan setiap individu. Tambahan pula dengan kepelbagaian budaya di Malaysia maka, tidak semua orang akan mempunyai gaya pemikiran yang sama seperti kita temasuklah jiran-jiran.

Namun, penting untuk kita berkongsi matlamat yang sama iaitu demi mendatangkan kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara. Jadi, sekiranya masyarakat jelas tentang hal ini, perbezaan pendapat seharusnya tidaklah menjadi penghalang bahkan peluang untuk kita tetap saling hormat-menghormati dan berbuat baik antara satu sama lain. 

Islam juga memerintahkan agar umatnya sentiasa berbuat baik terhadap jiran. Ianya termasuk dalam kewajipan sebagai orang yang beriman sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

Barangsiapa  yang  beriman  kepada  Allah  dan  hari  akhirat,  maka  hendaklah dia berlaku baik pada jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata yang baik atau -kalau tidak dapat berkata baik-maka hendaklah berdiam saja”  

Jiran merupakan mereka yang tinggal berhampiran dengan kita dan terlibat dalam kehidupan seharian kita secara langsung atau tidak. Oleh itu, kita hendaklah berwaspada dalam setiap tindak tanduk kita daripada melakukan perkara yang dapat menyakiti hati jiran tetangga baik dari segi perbuatan mahupun perkataan. Seperti menyambut perayaan secara berlebih-lebihan sehingga mendatangkan kesusahan terhadap jiran-jiran, memarkir kereta di kawasan rumah jiran tanpa keizinan atau melepak dan berbuat bising di hadapan rumah jiran. 

Masyarakat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang bersopan santun dan baik hati. Oleh itu sekiranya seseorang itu berasa tidak senang dengan jirannya, hal tersebut selalunya hanya akan dipendamkan di hati.

Namun secara tidak sedar, perkara inilah yang akan mempengaruhi nilai persaudaraan dalam kalangan jiran. Bermula dari kurangnya bertegur sapa, kepada semakin tidak peduli dengan hal jiran sehingga muncul rasa benci di hati terhadap mereka. 

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Tidak   akan   masuk   syurga   orang   yang   tetangganya   itu   tidak   aman   akan gangguannya” 

Ini membuktikan betapa beratnya tuntutan agama terhadap menjaga hak jiran dan larangan menyakiti mereka dalam apa jua cara sekalipun. Semua pihak wajarlah mengambil cakna dengan tindakannya terhadap jiran agar semangat kejiranan dapat diperlihara dengan baik.  

Ramai masyarakat yang terkesan akibat wabak Covid-19 ini seperti kehilangan perkerjaan terutama golongan yang bekerja di sektor penerbangan, percutian dan peniaga. Hal ini menyebabkan mereka kehilangan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan keluarga di rumah.

Selain itu, ramai juga yang turut terkesan dari segi kesihatan mental. Buktinya, kebanyakan kes-kes penderaan kanak-kanak kini berpunca daripada kesihatan mental yang terjejas sehingga menyebabkan individu tersebut hilang pertimbangan secara rasional dan melepaskan kemarahan terhadap kanak-kanak tersebut. Maka, dalam prinsip kejiranan apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh pihak jiran setempat?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang  Muslim  adalah  saudara  terhadap  Muslim  (yang  lain),  dia  tidak  boleh menganiaya  dan  tidak  akan  dianiaya  oleh  orang  lain.  Sesiapa yang  melaksanakan  hajat saudaranya,   maka   Allah   SWT   akan   melaksanakan   hajatnya.   Sesiapa   yang   melapangkan kesusahan  seseorang  Muslim,  maka  Allah  SWT  akan  melapangkan  kesukarannya  pada  hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat”. 

Hadis di atas menyatakan ganjaran yang akan diperoleh apabila seseorang muslim itu membantu meringankan beban muslim yang lain. Ini membuktikan bahawa tiada kemudaratan apabila seseorang itu menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan bahkan akan dibalas dengan lebih baik. Dalam konteks jiran, hendaklah kita menghulurkan bantuan kepada jiran yang mengalami kesusahan sama ada dalam bentuk pertolongan mahupun kewangan. 

Untuk mencapai matlamat ini, sifat empati haruslah ditanam terlebih dahulu dalam diri setiap masyarakat Malaysia. Perlakukan orang lain sepertimana yang kita ingin diperlakukan. Apakah yang anda inginkan sekiranya anda berada di tempat mereka? Apakah bentuk bantuan yang anda ingin dihulurkan oleh jiran? Bagaimanakah perasaan anda sekiranya jiran anda mengambil peduli tentang kemaslahatan hidup anda?

Justeru, nilai inilah yang semakin terhakis dalam diri masyarakat kini dengan alasan tidak ingin menjaga tepi kain orang lain. Masyarakat lebih memikirkan bahawa ianya lebih baik untuk tidak masuk campur dengan hal jiran melainkan apabila diminta pertolongan.

Namun, pemahaman sebeginilah yang membawa kepada masalah-masalah sosial atau ekonomi sekarang. Jadi, marilah kita bersama-sama menjadi komuniti yang lebih bersikap empati demi melahirkan rakyat yang berkasih sayang antara satu sama lain. 

Selain usaha pihak berkuasa dalam membendung penyebaran wabak Covid-19, mereka juga berdepan dengan masalah wabak berita palsu yang turut berleluasa malah lebih cepat berbanding virus Covid-19 sehingga mendatangkan kesan buruk kepada negara. Contohnya, ketika Malaysia sedang berlawan dengan pandemik ini pada awal-awal tempoh tahun lalu, telah tersebar berita-berita palsu mengenai penularan virus Covid-19 di beberapa kawasan sehingga telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan menjejaskan ketenteraman awam. Masyarakat seharusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam perjuangan memerangi pandemik ini dan membantu mengurangkan beban mereka bukan sebaliknya. 

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6) 

Demikian Allah memerintahkan agar hambanya sentiasa tabayyun dengan sesuatu berita sebelum ianya menjadi fitnah seterusnya mendatangkan mudarat kepada sekeliling. Justeru itu, sebagai jiran yang bertanggungjawab, haruslah kita menyemak kebenaran maklumat yang diterima sebelum mneyebarkannya kepada orang lain.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh setiap individu adalah kekal bertenang apabila menerima sesuatu berita dan mengenal pasti kesahihan sumber rujukan tersebut sebelum menyebarkan ke jiran-jiran yang lain.

Adalah sebaiknya untuk menyemak mesej-mesej yang diterima dan mengesahkannya di laman sesawang yang telah disediakan khusus untuk penyemakan maklumat berita palsu seperti portal Sebenarnya.my.  

Antara kesan buruk daripada penularan berita palsu adalah ia dapat mempengaruhi gaya pemikiran masyarakat ke arah sudut negatif. Hal ini kerana, apabila masyarakat terlalu mudah mempercayai sesuatu maklumat yang tidak jelas asal usulnya dan bukan daripada ahlinya, ini akan membuatkan masyarakat sering meragui kredibiliti pemimpin negara dan sukar mempercayai maklumat daripada pihak berkuasa yang lebih arif tentang hal demikian.

Sebagai contoh, ramai masyarakat yang lebih mempercayai maklumat-maklumat tentang vaksin daripada golongan antivaksin walhal perkara tersebut bukanlah bidang kuasa mereka. Disebabkan itu, terdapat segelinitir masyarakat yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun sudah dijelaskan bahawa manfaatnya lebih besar daripada mudaratnya. 

Akhir sekali, jelaslah bahawa mengamalkan prinsip kejiranan yang baik merupakan asas yang penting demi melahirkan masyarakat yang lebih kukuh perpaduannya dan akan membina negara yang gah di mata dunia. 

Penulis; Nur Hazirah Binti Mohd Asri, pelajar Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 
RELATED ARTICLES

Most Popular