Friday, July 26, 2024
HomeArtikelKurang Percaya Ahli Keluarga Punca Anak Suka Menyendiri

Kurang Percaya Ahli Keluarga Punca Anak Suka Menyendiri

Ibu bapa mana yang tidak risau jika anak mereka berkelakuan aneh dan suka menyepi di dalam bilik sahaja tidak keluar bergaul. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masa kini dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2019 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020, kebanyakan masa harian rata-rata rakyat dalam negara ini adalah bersama keluarga masing-masing. 

Muhammad Yusri Muzamir (2020) dalam artikelnya menyatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan telah memberi peluang baharu untuk ahli keluarga merapatkan hubungan mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah bersama. 

Ahli keluarga yang telah terpisah dek kerja atau pembelajaran di universiti dan sebagainya dapat menikmati hari-hari bahagia bersama semula. Akan tetapi, setelah setahun terperap di dalam rumah, timbul satu kerisauan dalam kalangan ibu bapa yang mengatakan bahawa anak mereka bersikap aneh seperti suka menyendiri di dalam bilik, tidak bergaul sesama ahli keluarga dan tidak membantu dalam urusan keluarga. 

Perkara ini bukan sahaja melahirkan kerisauan malah ada juga yang sehingga tercetusnya pergaduhan antara ahli keluarga. Lama-kelamaan, waktu yang seharusnya menjadi titik pembaik pulih hubungan kekeluargaan telah mengeruhkan lagi hubungan ini.

Maka timbullah pelbagai persoalan tidak tahu punca dan bagaimana hendak mengeluarkan anak mereka dari kepompong itu. Lebih merisaukan lagi, sedikit silap bicara sahaja mampu mengeruhkan keadaan dan menyebabkan anak-anak lebih rela terkurung di dalam bilik mereka tanpa makan atau minum. 

Apabila ditanyakan ‘Apa masalah kamu?’, mereka lebih selesa berdiam diri tidak mahu membuka mulut, seolah olah ingin merahsiakan sesuatu, tetapi dalam masa yang sama mengharapkan ahli keluarga dapat memahami ‘petanda’ yang diberikan agar dapat membantu mereka. 

Persoalannya, bagaimana ibu bapa hendak membantu menyelesaikan masalah anak mereka jika mereka tidak mahu membuka cerita? Mana mungkin ahli keluarga terutamanya ibu bapa sanggup membiarkan anak mereka terseksa dengan masalah yang tidak mereka ketahui apabila sememangnya jelas anak mereka itu terlihat sangat sedih dan terganggu dengan sesuatu. Bukan tidak mahu membantu, tetapi tidak tahu bagaimana hendak membantu. Itulah masalah yang mereka hadapi.

Mengapa mereka tidak mahu cuba menjadi lebih terbuka walhal dengan keluarga sendiri?

Pernahkah anda terfikir mengapa anak remaja lebih gemar berkongsi permasalahan mereka bersama rakan-rakan sekolah yang baru dikenali berbanding ahli keluarga yang telah bersama mereka sejak lahir? 

Ramai menganggap bahawa sikap ini adalah satu norma dalam proses pertumbuhan anak-anak kerana komunikasi di antara mereka yang  seusia lebih mudah difahami dan dihayati. Tetapi apabila ibu bapa tidak mengendahkan urusan luar rumah anak seperti tidak pernah ingin mengambil tahu tentang hari anak di sekolah, akan menyebabkan anak percaya bahawa perkara yang tiada kaitan dengan urusan dalam rumah seperti masalah pembelajaran tidak perlu diceritakan atau lebih baik dirahsiakan dan hanya diceritakan kepada orang yang lebih memahami situasi tersebut seperti rakan ataupun guru. 

Akan tetapi, tidak ramai yang sedar akan akibat daripada melepaskan kepercayaan anak-anak kepada orang luar adalah akan membesarkan jurang hubungan kekeluargaan. Hal ini kerana, apabila anak-anak telah menjadi selesa untuk menjadi lebih terbuka dan mula meletakkan harapan serta kepercayaan kepada rakan mereka, mereka tidak lagi menganggap keluarga sebagai pilihan utama untuk diceritakan masalah yang mereka hadapi. Walau sedemikian, pertamanya anak anak pasti tetap berharap ahli keluarga mereka memahami situasi yang mereka alami walaupun akhirnya mereka hanya percaya untuk berkongsi kepada rakan mereka.

Serapat mana pun hubungan antara rakan, tetap sukar untuk berhubung di masa penguatkuasaan PKP dibuat. Komunikasi adalah terhad dan hanya boleh dilakukan melalui talian telefon atau internet menggunakan alat peranti yang tidak pasti kestabilannya. 

Selain itu, hakikat semua orang mempunyai keluarga yang harus diberikan perhatian tidak patut dilupakan. Semestinya meluangkan masa bersama ahli keluarga adalah perkara yang semua orang ingin lakukan apabila berada di rumah. Ini ditambah pula dengan kerja atau urusan rumah yang tidak menang tangan perlu diuruskan. 

Oleh hal yang demikian, untuk sepenuhnya menumpukan perhatian kepada permintaan seseorang secara atas talian ini amatlah sukar untuk dilakukan. Maka dengan situasi yang dihadapi oleh rakan kepada anak ini, apabila rakan kepada anak tidak membalas sama ada terlupa atau terlambat membalas pesanan yang diterima, mereka iaitu merujuk kepada anak yang mempunyai masalah ini, merasakan seperti mereka bukan lagi seseorang yang diperlukan, mula hilang keyakinan diri untuk percaya kepada orang lain.

Di rumah, anak-anak ini akan berasa sepi dan sunyi apabila rakan mereka iaitu satu-satunya orang yang mereka percaya untuk diluahkan atau dikongsi cerita, tidak lagi mampu memberikan tumpuan kepada mereka. 

Maka, mereka cuba mendapatkan pertolongan daripada ahli keluarga dengan harapan yang sedikit ahli keluarga dapat membantu mereka sama ada dengan menjadi pendengar atau membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. 

Tetapi malangnya untuk sesetengah mereka, situasi bertambah buruk yang mengakibatkan keyakinan mereka mula hilang, apabila ahli keluarga mereka sendiri mempunyai pemikiran yang skeptikal atau jangkaan yang terlampau tinggi mengharapkan keputusan yang sempurna, sehingga tidak boleh menerima apa-apa kekurangan yang dimiliki anak-anak ini dan sentiasa menekankan bahawa latihan dan usaha akan memberi kesempurnaan seperti dalam petikan ‘practice makes perfect’. 

Penggunaan petikan ini sememangnya bertujuan untuk memberi semangat, akan tetapi, sekiranya digunakan dalam keadaan anak-anak yang sedang tertekan menginginkan ketenangan, petikan ini akan kedengaran seperti paksaan yang boleh mengeruhkan lagi pemikiran mereka.  

Ada juga antara mereka yang mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga kerana jurang hubungan yang terlampau jauh menyebabkan mereka berasa kekok untuk berbicara dari hati ke hati atau risau masalah mereka tidak akan didengari dan dilayan. 

Kesannya, perkara ini telah menjadi punca anak-anak lebih memilih untuk berdiam diri dan mengasingkan diri mereka dari orang ramai kerana menganggap pilihan mereka ini adalah paling selamat untuk diri mereka serta orang lain kerana tidak membabitkan sesiapa selain diri sendiri.

Namun, lari daripada masalah tidak akan menghilangkan masalah malah boleh mendatangkan masalah baru yang berkemungkinan lebih berat. Pilihan anak-anak untuk menyendiri, lama-kelamaan akan memakan diri sendiri kerana mereka perlu berfikir jalan penyelesaian serta menanggung segala beban derita masalah itu sendirian. 

Hingga tiba pada satu tahap di mana semua bebanan itu mula terasa berat tidak tertanggung, anak-anak akan mula berasa cemas lantas menyalahkan diri mereka atas segala apa yang berlaku. Perkara ini sekiranya dibiarkan berlarutan, bukan sahaja kebahagiaan anak-anak yang terbabit sahaja terjejas, malah juga boleh menjejaskan kebahagiaan seluruh isi keluarga kerana fakta bahawa setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu boleh memanipulasi satu sama lain sama ada dari sudut fizikal, mental atau emosi adalah tidak boleh boleh disangkal. 

Sebagai contoh, walau sekuat mana pun perasaan benci sehingga ingin menolak dan mengabaikan perbuatan atau emosi ahli keluarga yang lain, pasti ada walau sedetik, terdetik perasaan ingin tahu dalam diri tentang ahli yang lain seperti ‘kenapa dia mesti duduk di sini?’ atau ‘apa yang dia ingin lakukan?’ yang sebenarnya telah membuktikan bahawa masing-masing dipengaruhi oleh kehadiran satu sama lain.

Jadi apa yang perlu ahli keluarga lakukan?

Perlu ingat, bahawa sangat penting kepada ahli keluarga lebih-lebih lagi ibu bapa untuk sentiasa meraih kepercayaan anak- anak. Isu hilang kepercayaan ini bukan sahaja boleh berlaku kepada anak-anak remaja, bahkan juga orang dewasa. 

Ekoran daripada isu ini, siapa-siapa sahaja akan cenderung untuk menyendiri sekiranya mereka mengalami nasib yang sama. Maka, sebelum atau semasa situasi seperti ini berlaku kepada anak anak, cara yang terbaik adalah, ibu bapa seharusnya cuba meyakinkan anak-anak bahawa mereka mempunyai keluarga di mana mereka tidak perlu menyembunyikan apa-apa dan boleh menjadi diri mereka yang sebenar. 

Hal ini kerana, sama ada memberi atau pun menerima kepercayaan daripada seseorang bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh mengambil masa yang sangat lama. Namun, hilang kepercayaan boleh terjadi walau dalam satu saat sahaja. 

Walau bagaimanapun, kepercayaan hanya boleh dipupuk sekiranya berlaku komunikasi yang berkesan antara dua pihak. Jadi untuk ini, langkah pertama adalah dengan menarik perhatian anak anak dengan perkara yang mereka gemar. 

Perkara yang ibu bapa harus tumpukan perhatian ialah supaya anak anak bercerita bukan dengan paksaan tetapi atas kehendak diri mereka sendiri, kerana apabila komunikasi bermula dengan baik, tujuan sebenar suatu komunikasi itu pasti dapat dicapai dengan masa. Maka, ibu bapa perlu lebih sabar dalam menangani masalah ini.

Mempunyai ahli keluarga sememangnya adalah satu rahmat kerana hanya kepercayaan yang diletakkan kepada ahli keluarga sahaja yang akan kekal meskipun sedikit. Sedikit kepercayaan yang berbaki inilah sebenarnya yang membuatkan ahli keluarga terutamanya anak-anak berbalik menaruh harapan kepada ahli keluarga apabila mereka hilang tempat bergantung. 

Kesimpulannya, ibu bapa seharusnya lebih bersabar dan ingat, dalam mendidik anak ‘melepaskan sedikit supaya tidak terlalu mengongkong adalah untuk memberi peluang dan melatih anak anak berdikari bukan membebaskan sehingga menyebab anak anak terlampau jauh, hilang dari pandangan dan tersesat seorang diri’. 

Penulis; Nik Nurul Hana binti Mansor, Pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular