Sunday, April 28, 2024
HomeArtikelLambakan Pendatang Asing: Realiti Dan Dampak Negatifnya

Lambakan Pendatang Asing: Realiti Dan Dampak Negatifnya

Fenomena lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara Malaysia ini merupakan fenomena yang tidak asing sejak dahulu lagi. Sudah berapa kerap modus operandi yang digiatkan bagi penangkapan golongan pendatang asing tanpa izin ini tetapi hasilnya tetap sama.

Isu ini tidak memfokuskan kepada pendatang dari Bangladesh sahaja, akan tetapi termasuk juga kemasukan pendatang asing yang tidak terkawal dari negara seperti Rohingya, Indonesia, Myanmar dan Vietnam di mana permasalahan ini berpunca daripada kemasukan golongan PATI beramai ramai tanpa permit yang sah atau melalui sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab.

Menjadi persoalan, adakah disebabkan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia menjadi kredit bagi mereka untuk tinggal sewenang-wenangnya di negara ini? Ataupun mereka berfikir kepelbagaian bangsa di Malaysia boleh mengaburi mata rakyat Malaysia bagi mendapatkan hak kesamarataan yang sama seperti rakyat bumiputera?

Sudah semestinya tidak. Melihat dari segi penampilan dan tatacara sahaja, kita boleh nilaikan di mana kebanyakan pendatang asing tanpa izin ini bebas mempraktikkan cara hidup dan budaya dari negara asal mereka sendiri. Lihat sahaja di kawasan-kawasan bandar seperti Seremban, Muar, Selayang, dan Lembah Klang, jelas kita boleh lihat betapa ramai golongan ini bebas bergerak dan mengamalkan tabiat atau aktiviti yang melanggar undang undang negara. Signifikannya, isu lambakan pendatang asing tanpa izin ini merupakan isu yang sepatutnya diketengahkan dan dibincangkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Berikut merupakan beberapa impak negatif daripada lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara kita.

1. Mengancam Peluang Pekerjaan

Apabila dilihat senario hari ini, berapa ramai pekerja asing yang mula mendominasi premis-premis perniagaan seperti di restoran, kedai runcit hatta di tepi jalan sekalipun. Kita boleh lihat di sekitar Bukit Bintang dan Selayang, betapa ramainya golongan pendatang asing dari Rohingnya dan Myanmar ini menjalankan perniagaan secara haram dan ada juga segelintir yang berniaga secara berjalan di sekitar dengan menggunakan paksaan untuk membeli produk jualan mereka.

Perkara ini mengundang spekulasi bahawa bagaimana golongan ini sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan tanpa lesen premis perniagaan dan mendominasi perniagaan melebihi kuota rakyat Malaysia sendiri. Kawasan perniagaan juga tidak dijaga dengan baik akibat tabiat besar kepala pendatang asing ini yang bebas membuang sampah merata hingga menimbulkan bau yang tidak enak di kawasan sekitar. Bukan itu sahaja, kebanyakan majikan juga menggunakan khidmat pekerja asing terutama di kawasan binaan, kilang dan ladang kerana caj pembayaran gaji yang lebih murah berbanding pekerja tempatan.

Mungkin terdapat pihak yang berasa simpati kerana segelintir pendatang asing ini berhijrah dan sanggup melakukan kerja-kerja berat untuk menampung sara perbelanjaan keluarga di negara asal. Akan tetapi, bagaimana pula dengan masa hadapan dan kredibiliti pelajar berkemahiran di kolej-kolej kemahiran atau graduan lepasan universiti di mana hari ini peningkatan pengangguran dalam kalangan golongan muda semakin bertambah sekiranya sektor ini terus dimonopoli oleh golongan PATI ini dan tidak diambil sebarang tindakan? Sudah semestinya setiap daripada kita menginginkan negara ini diterajui dan didominasi oleh generasi muda yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lebih efisien dalam membentuk negara yang lebih maju.

2. Mengancam Hak Subsidi Rakyat

Seterusnya, pendatang asing yang sudah memonopoli kedai runcit telah membawa kepada impak negatif yang kedua iaitu pengancaman hak barang subsidi terhadap rakyat Malaysia. Mereka menggunakan peluang untuk menyorokkan barang subsidi seperti minyak, telur dan beras yang merupakan hak rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, terdapat juga pendatang asing yang berebut-rebut membeli barang subsidi untuk keperluan harian mereka sendiri seolah-olah mereka merupakan rakyat asal negara ini.

Ini menjurus mendatangkan kemarahan dalam kalangan rakyat kerana umum mengetahui setiap rakyat dikenakan cukai seperti yang ditetapkan tetapi hak mereka pula telah diceroboh oleh golongan pendatang asing ini.  Oleh itu, agensi kerajaan sepatutnya bijak dalam menangani isu hak subsidi seperti mengenakan syarat yang boleh dipakai guna terhad untuk rakyat Malaysia sahaja  bagi mengelakkan ketidakadilan dan kesalahfahaman.

Sementelahan itu, subsidi khidmat kesihatan yang telah diistimewakan kepada rakyat Malaysia turut menjadi permasalahan utama apabila segelintir mereka tidak ingin bayar yuran kesihatan yang dikenakan akibat kekurangan duit atau berkeras ingin mendapat kesamarataan harga dalam membayar yuran seperti rakyat Malaysia biasa.

Lebih malang lagi apabila terdapat segelintir yang terus melarikan diri apabila selesai dirawat tanpa menyelesaikan tunggakan bayaran kesihatan. Terlintas di fikiran, berapa banyakkah lagi duit perbelanjaan negara yang patut dikeluarkan untuk menampung kos rawatan percuma mereka sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung?

3. Isu Keselamatan dan Ketenteraman

Berhubung isu keselamatan, tidak disangkal lagi pada hari ini kita boleh lihat bahawa  bagaimana pendatang-pendatang asing mula menguasai kawasan-kawasan bandar dan pelancongan. Apabila bersiar-siar, seolah-olah kita berada di negara asal mereka pula kerana kepadatan daripada golongan ini.

Sebagai golongan muda yang sering bergerak sendirian, situasi ini mengundang perasaan tidak selamat terutama kepada golongan perempuan kerana golongan pendatang asing ini sering bergerak secara berkumpulan. Mereka juga sudah mahir menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, KTM dan bas untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain menyebabkan pergerakan lebih terbatas kerana takut akan perkara seperti gangguan seksual atau gangguan lisan secara lucah.

Lanjutan daripada itu, ibu bapa juga tidak terkecuali terkesan dengan isu lambakan golongan pendatang asing ini. Boleh dilihat pada hari ini, berapa banyak keratan akhbar dan isu viral mengenai jenayah pendatang asing akibat daripada jurang pemikiran dan perlakuan yang berbeza oleh golongan ini. Secara tidak langsung mendatangkan kegusaran kepada ibubapa untuk melepaskan anak-anak mereka bermain dengan bebas ataupun membawa anak melancong di sekitar negara. Tidak dinafikan juga, imej negara juga semakin terjejas akibat lambakan pendatang asing ini di mana mereka sering berkumpul beramai-ramai dan melakukan adegan trend Tik Tok tanpa rasa malu di khalayak ramai.

Natijahnya, lambakan pendatang asing tanpa izin ini memberikan impak yang sangat besar sama ada terhadap individu,  masyarakat atau negara sendiri.  Agensi kerajaan atau pihak berwajib sepatutnya cakna serta mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani isu ini.

Penulis berharap di masa hadapan, kemasukan pendatang asing dapat dihadkan di mana setiap individu memainkan peranan masing-masing sama ada agensi kerajaan, agen-agen syarikat mahupun majikan sendiri yang mengawal kemasukan golongan ini. Ini secara tidak langsung mengekalkan kelestarian serta identiti negara daripada dipandang rendah oleh negara-negara maju yang lain.

Penulis: Azra Syufiah Binti Azhar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular