Thursday, July 25, 2024
HomeArtikelMembongkar Narsisisme: Pengaruh dan Impak ‘Overt Narcissist’ dan ‘Covert Narcissist’ Dalam Kehidupan...

Membongkar Narsisisme: Pengaruh dan Impak ‘Overt Narcissist’ dan ‘Covert Narcissist’ Dalam Kehidupan Seharian

Secara umumnya, narsisistik atau istilah klinikalnya, Narcisistic Personality Disorder (NPD) adalah satu gangguan personaliti di mana seseorang itu suka bermegah dengan imej diri berlebih-lebihan, sering berperasaan mempunyai hak padahal tidak mempunyai hak ke atas sesuatu serta kurang empati terhadap perasaan orang lain.

Tahukah anda bahawa sifat narsisistik terdapat dalam beberapa kategori, dan kategori yang akan dibincangkan dalam artikel ini ialah narsisisme secara terang-terangan (Overt Narcissism) dan narsisisme secara terselindung (Covert Narcissism).

Secara dasarnya, dua terma ini tidak lari jauh dari definisi asal NPD, tetapi ada beberapa perkara yang membezakannya.

Seseorang yang mempunyai narsis secara terang-terangan mempamerkan sifat-sifat sombong dan bangga diri secara terbuka. Mereka sering bermegah-megahan dengan perkara-perkara seperti pencapaian, kemahiran serta perkara yang melibatkan harta benda. Hal ini digunakan sebagai paksi untuk mencari perhatian daripada orang lain.

Walaupun narsisis seperti ini sering kelihatan yakin, mereka biasanya akan lemah terhadap kritikan daripada orang lain dan tidak mendapat menerima kata-kata yang mencabar jati dirinya. Hal ini demikian menyebabkan muncul perasaan marah sebagai tindak balas defensif untuk diri mereka.

Manakala, narsis secara terselindung, juga mencari perhatian orang lain, tetapi dengan cara yang lebih halus.  individu seperti ini sukar untuk dikenalpasti malahan, mereka mungkin ada sahaja disekeliling kita tanpa disedari kerana tanda-tanda narsisis itu disembunyikan, tetapi kesannya sama merosakkan sepert tingkah laku narsis terang-terangan.

Kedua-dua kategori narsis ini secara kolektifnya berkongsi ciri-ciri yang lebih kurang sama, tetapi terdapat sedikit perbezaan dari segi ciri-cirinya.

  1. Narsisisme Terbuka:
  2. Keagungan:  Suka menganggung-agungkan diri sendiri seakan-akan dia lebih baik dari orang lain.
  3. Suka akan perhatian:  selalu mencari perhatian untuk meraih pujian dari orang lain dalam situasi sosial.
  4. Ego tinggi: mementingkan diri sendiri dan mengutamakan kehendak sendiri melebihi orang lain.
  5. Kurang empati: sukar untuk berasa kasihan terhadap perasaan orang lain.
  6. Agresif: menunjukkan tingkah laku agresif atau suka mendominasi apabila berinteraksi bersama orang lain dengan niat untuk menunjuk-nunjuk kehebatan diri.
  • Narsisisme Terselindung:
  • Hipersensitif: mempunyai reaksi yang kuat terhadap apa-apa yang boleh merendahkan imej mereka.
  • Sentiasa merendah diri: Walaupun individu ini sentiasa kelihatan rendah diri atau pemalu, mereka menyembunyikan perasaan mementingkan diri sendiri dan keinginan mendapat pujian yang menggunung, di sebalik wajah yang bersahaja.
  • Manipulatif: berbeza dengan narsisisme yang terbuka di mana mereka mencari perhatian dengan berkomunikasi secara langsung, individu seperti ini lebih cenderung untuk memanipulasi orang lain secara halus dengan menggunakan taktik pasif-agresif dan juga bermain dengan emosi untuk mendapatkan keinginan mereka.
  • Penganiayaan: individu ini sering memperlihatkan dirinya sebagai mangsa yang teraniaya, supaya dapat meraih simpati daripada orang sekeliling ataupun menyalahkan orang lain atas kekurangan mereka.
  • Agresif secara tidak langsung: berkelakuan pasif-agresif untuk mengekalkan persepsi orang lain tentang kehebatan kita, tanpa menarik perhatian kepada diri sendiri.

Penggunaan terma berkelakuan pasif-agresif adalah untuk menerangkan situasi-situasi seperti contoh, individu ini tidak setuju dengan suatu keputusan, jadi mereka menungkapkan ketidakpuasan mereka dengan menunjuk tentangan melalui tindakan-tindakan kecil atau sabotaj perasaan secara senyap-senyap.

Adapun ketika menghadapi masalah, individu ini akan mengelak perbincangan bersemuka atau secara langsung supaya tidak menimbulkan topik perbincangan tentang masalah yang dimiliki.

Dalam hal ini juga, terdapat satu perkataan yang popular dalam kalangan generasi ‘Z’ yang boleh digunakan untuk menggambarkan keperibadian seorang narsisis iaitu ‘terpaling’. Perkataan ini adalah persis kata penegas bagi setiap kata adjektif yang akan digunakan untuk memerli pihak yang lain. Misalnya, ‘terpaling sedih’, ‘terpaling cantik’, ‘terpaling hebat’ dan sebagainya. Perkataan ini kebiasaannya boleh digunakan sama ada dalam nada yang serius ataupun bersahaja.

Antara sebab terma ‘terpaling’ ini digunakan dalam konteks narsisis adalah untuk menerangkan seseorang individu yang hanya memfokuskan tentang dirinya, seolah-olah hidup ini hanya berkisar tentang dia sahaja.

Seterusnya, bagaimana pula jika anda berpasangan dengan narsisis? Dalam kehidupan berumah tangga, pasangan anda boleh jadi memiliki ciri-ciri narsisistik tanpa sedar. Disebabkan sikap overt narcissist ini lebih terbuka, mereka akan merendah-rendahkan orang lain dan kononnya menegakkan hak mereka.

Sikap mereka yang suka dipuji dan disanjung, menyukarkan lagi untuk memberi peluang kepada orang lain untuk dihargai atau diberi perhatian dan perasaan dalam hubungan itu. Mereka kurang mampu untuk menunjuk simpati, menyebabkan sukar untuk mereka memahami emosi dan keperluan pasangan mereka.

Di samping itu, covert narcissist dalam perhubungan boleh menimbulkan kekeliruan dan pergolakan emosi, kerana pasangan mungkin bergelut sesama sendiri untuk memahami hati dan perasaan pasangannya yang narsistik. ‘Gaslighting’ adalah satu cara yang tidak disarankan untuk mengelakkan diri dari menghadapi masalah. Dalam konteks narsisis, mereka akan ‘gaslighting’ pasangan mereka dengan membiarkan pasangan percaya bahawa mereka yang bersalah dalam situasi pergaduhan.

Perbuatan ini menghakis kepercayaan sesama pasangan dan mengganggu keintiman dalam hubungan perkahwinan kerana eksploitasi emosi berlaku dengan kadar yang berterusan sehingga menyebabkan kesihatan mental seseorang merudum.

Apabila berhadapan dengan narsistik sama ada yang terbuka atau yang berselindung, perlu ada cara yang betul untuk mengendalikan individu berperangai sebegitu sekali gus merawat hati dan perasaan diri kita. Apa yang dimaksudkan ialah: –

  • Elakkan bertindak balas dengan emosi.
  • Menghadkan hubungan.
  • Mencari sokongan dari ahli keluarga atau kawan rapat.
  • Sering peka apabila dimanipulasi.
  • Percaya naluri perasaan anda sendiri.
  • Elakkan bergantung pada narsissis.
  • Amalkan penegasan dalam menegakkan keperluan diri dengan hormat.
  • Mencari bantuan profesional.

Secara keseluruhannya, memahami ciri-ciri narsisis ini adalah penting untuk mengenal pasti dan menangani sifat narsisis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada hubungan sesama manuasia. Jika wabak narsisis ini semakin berleluasa, justeru menghancurkan keharmonian masyarakat sejagat. Adalah penting sebagai manusia untuk menjaga kesejahteraan diri dan mencari sokongan apabila diperlukan supaya boleh menjalani kehidupan yang sihat, fizikal dan mental.

Penulis: Izzah Syadiah binti Mahadzir,  mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.

.

RELATED ARTICLES

Most Popular