Jika ditanya kepada kanak-kanak dan remaja sekitar tahun 90-an dan awal 2000, pasti tidak asing bagi mereka apabila mendengarkan istilah “One Piece” mahupun nama karakter “Monkey D. Luffy” yang merupakan watak utama ataupun Main Character (MC) di dalam mahakarya tersebut.
One Piece, sebuah siri manga Jepun bergenre Shonen atau Action hasil ciptaan mangaka lagenda Eiichiro Oda atau lebih mesra dipanggil sebagai Oda-sensei. Ia telah diterbitkan di dalam majalah manga shōnen Shueisha, ‘Weekly Shonen Jump’ sejak Julai 1997, dengan setiap bab disusun di dalam 108 jilid setakat Mac 2024. Ia kemudiannya diadaptasikan menjadi siri animasi Jepun (anime) oleh Toei Animation dan mula bersiaran pada Oktober 1999 menerusi siaran Fuji TV. Pada tahun 2023 pula, manga ini terus menjadi fenomena apabila ia diadaptasi menjadi siri aksi nyata (live action) oleh Netflix dan kemudiannya mula ditayangkan di dalam laman penstriman tersebut pada Ogos 2023.
One Piece menjadi satu epik yang merentasi wilayah hiburan yang telah melampaui batas-batas sebuah manga dan anime dan kini memberikan satu ‘level of threshold’ baharu yang perlu dicapai oleh sesebuah manga dan anime. Rekod demi rekod telahpun dipecahkan oleh siri ini menjadikan ianya antara karangan terbaik yang mampu berdiri seiring dengan siri fiksyen terbaik dunia yang lain seperti Harry Potter mahupun Marvel Cinematic Universe (MCU). Menurut Guinness World Records, nukilan penulis superstar ini telah mencipta sejarah dengan memecahkan rekod sebagai salinan terbanyak yang diterbitkan untuk siri buku komik yang sama oleh seorang pengarang tunggal. Siri ini sudah pun mencapai 500 juta salinan dicetak di seluruh dunia pada tahun 2022.
Meskipun komuniti manga dan anime global kini sudah pun dilimpahi dengan siri baharu yang lebih ‘fresh’ dan berkonsepkan genre yang serupa, manga ni masih terus popular dan relevan dalam industri hiburan. Persoalannya, bagaimana One Piece, yang sudah bertapak dalam dunia hiburan selama hampir tiga dekad ini, masih mampu menjadi fenomena dan terus menjadi bualan hangat penggemar hiburan apatah lagi komuniti ‘otaku’ itu sendiri?
Secara ringkasnya, siri ini berkisahkan tentang pengembaraan sang watak utama, Monkey D. Luffy, seorang budak lelaki yang memperoleh kebolehan untuk memiliki badan bersifatkan ‘getah’ selepas secara tidak sengaja memakan sejenis ‘Buah Syaitan’ (Devil Fruit) yang digelar Gomu Gomu no Mi (Buah Getah)pada awal cerita. Bersama anak kapalnya, yang dinamakan sebagai Lanun Topi Jerami (Straw Hat Pirates), Luffy meneroka Grand Line untuk mencari khazanah mitos dunia peninggalan sang Raja Lanun, Gol D. Roger yang dikenali sebagai “One Piece“ untuk menjadi Raja Lanun seterusnya.
Namun, bersembunyi di sebalik layar-layar kapal lanun dan pengembaraan di lautan yang luas, terdapat banyak sisi cerita yang memiliki lapisan makna yang mendalam dan bisikan pesanan tersirat yang mampu menyuntik dan memegang jiwa para pembaca umpama berbicara terus ke dalam dunia realiti mereka. Hal ini sehingga membuatkan siri ini menjadi inspirasi kepada para penggemarnya. Jadi, bagaimana One Piece mampu se “keren” ini? Jadi, ini merupakan pendapat peribadi penulis tentang apa yang membuatkan One Piece ini bukan sekadar manga-anime biasa.
Isu Yang Dibawakan
Dalam penjelajahan Luffy melalui lautan Grand Line, Oda membawa kru Topi Jerami ke pelbagai pulau yang diperintah di bawah pemerintahan yang berbeza. Mereka kemudiannya dibawa alur cerita ke arah rahsia yang tersimpan di sebalik pulau-pulau yang dijelajahi tersebut. Bagi mereka yang merasakan anime dan manga adalah hiburan untuk kanak-kanak, pernyataan sebegitu adalah tidak berapa tepat apatah lagi bagi siri seperti One Piece.
Hal ini kerana, One Piece adalah satu penulisan yang menyentuh isu-isu berat dunia meskipun berteraskan tema cerita yang ceria, penuh semangat dan aksi. Salah satu keunggulan terbesar One Piece terletak pada keberaniannya dalam mengupas sisi gelap dunia yang selari dengan realiti sosial dan politik dunia. Antara isu-isu yang dikupaskan adalah:
1) Penjajahan dan Pemerintahan yang Zalim
Oda memperkenalkan kita dengan watak-watak antagonis yang merupakan sosok pemimpin yang kejam. Kru Topi Jerami yang tiba di kawasan jajahan mereka kemudiannya sedar akan kewujudan rejim yang zalim tersebut dan ketidakadilan yang menimpa masyarakat di sana. Keberanian sang hero kemudiannya disusuli dengan perjuangan untuk mempertahankan keadilan dan kebebasan penduduk.
Kisah ini dapat dilihat pada arc Dressrosa dan Wanokuni yang memunculkan antagonis Doflamingo dan Kurozumi Orochi. Kekejaman dan penindasan yang mereka lakukan kepada rakyat mereka jelas memberi kesan yang membekas di dalam nurani para peminat.
Jelas isu ini merupakan salah satu isu yang hangat kerana selain penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara seperti Tanah Melayu ketika perang dunia pertama dan kedua, kini, masih terdapat negara-negara yang dijajah dan diperintah oleh pemerintahan yang tidak adil dan ‘kuku besi’ seperti penjajahan Syria dan Palestin oleh Amerika Syarikat dan Israel.
2) Pembunuhan Beramai-Ramai / Genocide
Siri genocide ini jelas ditampilkan oleh Oda melalui watak Nico Robin, yang mana seluruh penduduk Pulau Ohara yang merupakan kediamannya di ‘wiped out’ oleh Kerajaan Dunia melalui panggilan ‘Buster Call’ hanya kerana mereka mengkaji sejarah yang disimpan oleh Kerajaan Dunia.
Di dunia nyata, tidak asing lagi bagi kita mendengar istilah genocide ini kan? Ya, itulah yang berlaku kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, Uyghur di China dan di Palestin. Selain itu, di Afrika juga, antara kes pembunuhan beramai-ramai yang popular dan tragis adalah yang terjadi di Rwanda dan Darfur. Mereka semua adalah mangsa dari sifat rakus dan ganas mereka yang tidak berhati perut yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Persis seperti kisah yang dibawakan sang pengarang di dalam siri One Piece ini.
3) Perkauman / Racism dan Penindasan
Di dalam dunia One Piece, terdapat pelbagai kaum dan bangsa manusia yang diperkenalkan. Antara yang sering disebut adalah kaum Manusia Ikan. Apa yang menariknya, kaum Manusia Ikan merupakan satu golongan yang unik kerana mempunyai kemampuan untuk hidup di dalam air dan di darat.
Namun, merekalah yang selalu diasingkan dan merupakan mangsa daripada racism ataupun perkauman di dalam dunia One Piece. Mereka dianggap hodoh, kotor dan menakutkan dan tidak layak untuk tinggal di atas muka bumi. Bangsa ini kemudiannya dijadikan hamba, ditindas, diseksa mahupun dibunuh dengan kejam seperti apa yang berlaku kepada kapten kru Lanun Matahari, Fisher Tiger, seorang dari bangsa Manusia Ikan yang diperhambakan di Mariejois dan kemudiannya terbunuh akibat dikhianati oleh manusia di akhir hayatnya.
Di dunia nyata kita tahu, perbezaan warna kulit sahaja pun sudah mampu untuk membuatkan sesuatu bangsa itu berasa anti terhadap bangsa lain. Hal ini dapat dilihat jelas akan pandangan mereka yang berkulit putih seperti orang Eropah terhadap mereka yang berkulit gelap seperti orang Afrika. Bagi mereka, terdapat perbezaan darjat antara mereka sehingga mereka mampu untuk menindas mereka dan mengabaikan mereka tanpa sebarang rasa kemanusiaan.
4) Senjata Biologi, Plague, Virus & Pandemik
Jauh sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. Oda telah pun terlebih dahulu membahas isu ini di dalam One Piece. Menerusi watak Trafalgar D. Water Law, dia merupakan salah seorang yang merasakan peritnya flu Amber Lead, bahkan dia jugalah satu-satunya manusia yang berjaya selamat dan sembuh dari wabak tersebut.
Diceritakan juga di dalam siri ini betapa virus juga mampu menjadi senjata biologi dikenali sebagai plague yang fatal melalui karakter Queen. Queen merupakan seorang bijaksana yang menggunakan kecerdikannya untuk menghasilkan senjata penghasil wabak yang mampu menjadikan seseorang manusia itu sebagai ‘monster’ dan ia mampu merebak dengan cepat.
Di dunia nyata, meskipun senjata biologi yang digunakan lebih ke arah bom nuklear dan radioaktif, seperti yang berlaku pada perang dunia kedua, namun, ura-ura untuk penghasilan senjata berbentuk plague yang mampu menjangkiti jutaan umat manusia, bukanlah sesuatu yang mustahil.
5) Rasuah dan Politik
Bukan sahaja di dunia nyata, di dalam siri ini juga, banyak contoh yang telahpun ditampilkan Oda tentang betapa tingginya kuasa duit dan ‘cable’ di dalam dunia One Piece ini. Contoh yang sentiasa diingati oleh peminat di dalam siri ini pastinya pada karakter durjana Lanun Arlong dan seorang komanden Angkatan Laut, Nezumi pada arc Arlong Park. Betapa besarnya isu ini sehinggakan Oda menyentuhnya di awal permulaan siri One Piece ini.
Dari isu politik pula, sistem Shichibukai yang diperkenalkan oleh Angkatan Laut telah pun disalahgunakan oleh lanun berpengaruh dengan memiliki kekuatan politik dan kedudukan untuk meluaskan lagi jajahan dan kerakusannya. Hal ini seperti yang dilakukan oleh Lanun Crocodile & Doflamingo.
Tidak perlu dibincangkan lagi di dunia nyata, sudah terang lagi bersuluh akan betapa korupsi dan ketidakseimbangan politik sangatlah berleluasa, apatah lagi di negara kita sendiri.
Sebenarnya banyak lagi isu-isu yang diangkat Oda dalam nukilannya seperti isu pemerdagangan manusia, perhambaan, eksperimen manusia, penyalahgunaan dadah terhadap kanak-kanak, pasaran gelap, kekuatan mutlak pemerintah dunia dan sebagainya. Namun, penulis mahu para pembaca meneliti dan merasai sendiri pengalaman membaca dan menonton One Piece.
Detail Tapi Mudah Difahami
Pada pendapat penulis, jalan cerita One Piece tersangatlah detail namun, ianya sangat mudah difahami dengan matlamat yang jelas dan simple. Meskipun sudah beribu bab dan episod yang dihasilkan, namun disebabkan jalan ceritanya yang menarik dan terperinci, penggemar tetap tidak pernah bosan dengan One Piece.
Tidak ada satu pun plot dan karakter yang dihasilkan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga, tetapi semuanya bersebab dan terdapat kesinambungan yang jelas antara satu sama lain. Bahkan ada informasi dan karakter yang penting dan berpengaruh untuk plot waktu hadapan. Kadangkala Oda turut menyelitkan foreshadowing dan plot twist yang mampu membuat penggemar terkedu ketika membaca dan menonton.
Tema dan Pesanan yang Menyentuh
One Piece mengangkat berbagai tema mendalam dan menyampaikan pesan-pesan yang bermakna kepada para penontonnya. Pengajaran yang berharga yang dapat dipetik dari One Piece bukanlah sekadar hiburan semata, tetapi satu refleksi mendalam tentang kehidupan.
Melalui perjalanan yang sukar dan ujian yang bertalu, manga ini mengajarkan tentang erti sebenar kesabaran, persahabatan, keberanian, dan pengorbanan. Kita ditunjukkan bahawa kekuatan sejati tidak terletak pada kekuatan fizikal semata, tetapi pada hati yang tulus dan semangat yang teguh.
Setiap watak dalam siri ini membawa satu pengajaran berharga, memberikan inspirasi kepada pembaca untuk mencari kebaikan dalam diri mereka sendiri. Setiap aksi dan bicara yang diberikan setiap karakter, ada makna mereka tersendiri yang menggambarkan nilai-nilai moral yang berbeza.
Tidak hanya itu, One Piece juga menyampaikan pesanan penting tentang kepelbagaian dan keadilan. Dalam dunia di mana perbezaan sering kali menjadi punca konflik, manga ini mengajarkan kita untuk menerima dan menghormati keunikan setiap individu. Kru Topi Jerami, yang terdiri daripada berbagai bangsa, latar belakang, dan kemahiran, menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan terbesar datang dari persefahaman dan kerjasama.
Perkembangan Karakter
One Piece merupakan satu siri yang bersambung dan berkembang dari satu episod ke satu episod, begitu juga dengan setiap karakternya. Lihat sahaja sang protagonis, Luffy yang berubah daripada seorang lanun hingusan 100 juta Berry ke atas (the worst generation), hingga kini menjadi antara Yonkou yang berkuasa. Masih menggamit di memori alkisah di Marineford, yang merubah 100% pandangan hero kita pada kekuatan sebenar makhluk lain di dunia, membuat dia sedar bahawa dia perlu terus berlatih untuk terus melindungi rakan-rakannya serta mengejar impiannya menjadi Raja Lanun. Tidak lupa juga setiap kru Mugiwara yang lain, bermula dari hanya mengimpikan untuk merealisasikan impian masing-masing sahaja, hingga pada akhirnya sanggup mati dan bertarung dengan sumpah setia demi melindungi Kapten dan kru yang lain.
Oda-Sensei
Ya, sudah pasti kehebatan dan keajaiban siri One Piece ini terletak pada Oda-sensei itu sendiri. Sosok yang dikenali oleh komuniti manga dan anime sebagai ‘genius’ ini adalah tunjang di sebalik kejayaan One Piece. Kreativiti yang Oda miliki tidak menjadi persoalan lagi melalui seni lukisan di dalam manga ini. Setiap garisan, corak bahkan kesan grafik semuanya dibuat Oda dengan sangat terperinci.
Kebolehan beliau untuk menerapkan penyampaian emosi berjaya direalisasikan melalui lukisannya, yang sangat memberi tamparan berbeza kepada pembacanya. Oda juga banyak mengambil iktibar dan ilham daripada dunia sebenar. Setiap karakter, contohnya kesemua Admiral Angkatan Laut, dinspirasikan daripada artis Jepun terdahulu. Oda juga menginspirasikan One Piece daripada beberapa siri animasi lain seperti Dragonball, Rurouni Kenshin dan Vicky the Viking. Betapa hebatnya acuan Oda terhadap siri lagenda hebat lainnya menjadi satu mahakarya.
Oda juga sangat komited dengan hobinya. Bukan hanya sekadar melukis manga, Oda juga seringkali memberikan colour spread untuk tatapan peminatnya. Setiap manga juga terselit cover page yang juga membawa kisah tersirat di dalamnya. Semangat yang dimiliki Oda untuk berinteraksi dengan para peminat One Piece melalui Volume SBS juga sangatlah luar biasa. Jelaslah beliau sangat bertekad untuk menjadikan One Piece sebuah mahakarya ajaib yang dunia pernah saksikan.
Kesimpulannya, jelas penulis merasakan One Piece adalah lebih daripada sekadar manga-anime biasa. Ia adalah satu karya seni yang mendalam yang menyentuh hati dan menginspirasi jiwa. Dengan menggabungkan pengembaraan yang menarik dengan pesan-pesan moral yang mendalam, Eiichiro Oda telah mencipta satu “masterpiece” yang tidak akan terlupakan. Ia adalah satu kisah tentang keberanian, persahabatan, dan impian yang membawa makna yang mendalam dan relevan dalam dunia sebenar. Saya akhiri dengan kata-kata sang baka senchou kita, “If you don’t take risks, you can’t create a future”.
Penulis: Muhammad Naufal Aimand, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.