Pantun Melayu klasik sarat dengan budaya dan nilai estetikanya yang tinggi.
Masyarakat Melayu menggunakan pantun dalam menyampaikan mesej penting yang terkandung juga unsur nasihat kepada masyarakat.
Pantun yang diungkapkan mempunyai pelbagai tema-tema tertentu yang mempunyai unsur nasihat, kasih sayang, kebijaksanaan, adat, adab dan budi perpaduan dan sebagainya.
Budaya berpantun ini akan lenyap daripada generasi muda sekiranya ia tidak diterapkan sepenuhnya warisan budaya yang telah lama sebati dalam masyarakat Melayu.
Adab dan Budi
Burung serindit terbang melayang, Terhenti hinggap di ranting mati, Bukan ringgit dipandang orang, Tetapi memandang bahasa dan budi. |
Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa, Tegak bangsa kerana budi, Runtuh budi hilanglah bangsa. |
Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga, Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa |
Sirih kuning gagang menguning, Mari tanam belukar sana, Seri sirih naik ke kening, Seri pinang naik ke muka. |
Payah kami menabur padi, Nenas juga ditanam orang, Payah kami menabur budi, Emas juga dipandang orang. |
Agama
Banyaklah rajut perkara rajut, Rajut bertali bunga bercanggah, Banyaklah sujud perkara sujud, Sujud sejati kepada Allah. |
Kalau merenda supaya indah, Tekat tenun beri berjambul, Kalau meminta kepada Allah, Lambat laun pasti terkabul. |
Apa tanda orang mulia, Berbaik sangka sesama manusia, Siapa hidup berbaik sangka, Dunia akhirat hidup sentosa. |
Bila todak melanda Singapura, Habis dikerat dicincang lumat, Bila khianat pada manusia, Dunia akhirat takkan selamat. |
Habis dikerat dicincang lumat, Patinya diaduk dijadikan ubat, Dunia akhirat takkan selamat, Kecuali minta ampun nasuha taubat. |
Nasihat
Baik-baik mengirai padi, Takut mercik ke muka orang , Baik-baik menjaga diri, Takut nanti diejek orang |
Apa guna berkain batik Kalau tidak dengan sucinya? Apa guna beristeri cantik Kalau tidak dengan budinya |
Bakul penuh berisi limau, Sangat berat tak boleh dijinjing, Biar mati ditangkap harimau, Jangan mati digigit anjing |
Hendak gugur gugurlah nangka, Jangan ditimpa si ranting pauh, Hendak tidur tidurlah mata, Jangan dikenang orang yang jauh. |
Buah cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan, Saya budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan. |
Kasih Sayang
Bila orang memakan bubur, Tentulah ada santan kelapa; Apabila abang segan menegur, Tentulah hamba segan menyapa. |
Beras bukan sebarang beras, Beras ditumbuk membuang antah; Panas bukan sebarang panas, Panas menengok abang menikah. |
Apa gunanya bertih direndang, Bila tidak dapat dimakan, Apa guna nya berkasih sayang, Bila tegak tiada sepadan, |
Apa guna pergi ke ladang, Bila padi tidak bertuai; Apa guna menanti abang, Bila adik tidak sesuai. |
Air pasang singgahlah dulu, Dapatlah berhenti di pulau karang; Hatiku bimbang bertambah pilu, Ingat kekasih di rantau orang. |
Adat
Kata tua kata bermanfaat, Banyak manfaat dapat dirasa; Hina bangsa tiada muafakat, Tidak muafakat umat binasa. |
Kata tua kata bertuah, Tuah melekat seisi alam; Hina bangsa kerana lemah, Lemah akibat tidak sefaham. |
Bukan mudah memasang jerat, Salah pasang orang yang kena, Bukan mudah memegang adat, Salah pegang orang menghina. |
Adat hidup Melayu terpuji, Sesama makhluk bersuci hati, Kepada orang bertanam budi, Memberi tidak mengharap ganti. |
Rumah bertiang dinding papan, Tanam selasih di tengah laman, Biar hilang segala harapan, Namun kasih hamba turutkan. |
Masyarakat Penyayang
Bila selasih di dalam peti, Sampai masanya dijerang jua; Sekali kasih didalam hati, Sampailah tua kukenang jua. |
Biji selasih rasanya lazat, Di makan serasi membuang panas, Sekali kasih sudah melekat, Sampai mati takkan kulepaskan. |
Gulai umbut pucuk paku, Nasi terletak di muka pintu, Lemah lembut puteri Melayu, Bijak memasak menjahit baju. |
Kalau hendak membeli cermin, Belilah cermin tembus cahaya, Kalau awak menjadi pemimpin, Jadilah pemimpin lurus bicara |
Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang hamba mengkuang layu, Dagang Pak Malau dagang bertempat, Dagang hamba musafir lalu. |
Pantun Perpaduan
Pergi ke hutan memburu rusa, Dapat saekor di bagi rata; Eratkan perpaduan tak kira bangsa, Menjaga keamanan bumi tercinta. |
Emas perak intan suasa, Cantik bersinar cahaya berkilauan; Biar berbeza agama dan bangsa, Mimpi bersama kukuhkan perpaduan |
Tumbuh melata buah bidara, Didalam acuan berbagai warna; Elakkan sengketa demi negara, Barulah perpaduan dapat dibina. |
Putik kemboja baru mengembang, Wangi mengharum di tengah laman; Erat perpaduan bangsa berbilang, Kemakmuran bersama satu tujuan. |
Burung kedidi dipohon nangka, Anak bayan hinggap di dahan; Orang berbudi kita berbahasa, Mesra ikatan erat perpaduan. |
Sebagai kesimpulannya, pantun melayu klasik mempunyai keindahan bahasa serta unsur-unsur nasihat yang tinggi yang menyatukan masyarakat.
Pantun melayu klasik juga perlu diterapkan dalam masyarakat kini agar warisan bangsa ini menghargai sejarah dan warisan bangsa yang hampir tidak dipedulikan lagi.
Rujukan
- http://www.malaycivilization.com.my/
- Nirwana Sudirman dan Zulkifley Hamid (2016) “Pantun Melayu Sebagai Manifestasi Sosiobudaya Dan Pensejarahan Melayu” Jurnal Melayu, bil. 15 (2).
- Kurik Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu edisi kedua. 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Norazimah Zakaria et. al. (2017) . Akal Budi Dan Cerminan Jati Diri Melayu Dalam Pantun. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, vol. 4, bil 2.
- Twitter Dewan Bahasa dan Pustaka @DBPMalaysia.
- Hj Mohd Rashidi Hj Md Idris (2012), Nilai Kebijaksanaan Melayu dalam Pantun. ‘Ulum Islamiyyah Journal, vol 9 (Disember) 2012.
- Zahir Ahmad, (2005). Pantun Melayu Sebagai Manifestasi Sosiobudaya dan Pensejarahan Melayu. Jurnal Pengajian Melayu, jilid 16, 2005.
Baca juga pantun pisang emas di bawa belayar ini yang mempunyai maksud tersirat disebalik ungkapannya.
JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI