Friday, March 29, 2024
HomeKoleksi PantunHimpunan Pantun Cinta Kasih Orang Melayu Dulu-dulu Yang Romantik

Himpunan Pantun Cinta Kasih Orang Melayu Dulu-dulu Yang Romantik

Pantun cinta kasih masyarakat Melayu dahulu bukan sahaja mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi bahkan mempunyai tatasusila yang beretika dalam menggambarkan kasih sayang. 

Masyarakat Melayu klasik juga bijak menyusun bait kata dalam ungkapan kasih sayang melalui pantun cinta kasih yang diungkapkan.

Selain itu juga, ungkapan dalam pantun cinta kasih ini sangat mengasyikkan melalui rima tengah dan akhir yang begitu tersusun. Kata-kata yang diungkapkan bukan sahaja ringkas, tetapi juga sarat dengan maksudnya yang tersendiri. 

Himpunan pantun cinta kasih kami pilih dan susun semula melalui buku “Kurik Kundi Merah Saga” yang menghimpunkan ribuan pantun Melayu masyarakat Melayu dulu-dulu. 

Indah sungguh ciptaan Tuhan, 
Kau lah impian di masa depan;
Andai takdir kita berpasangan, 
Doaku agar kita disatukan. 
Banyak itik anak itik, 
Turun ke sawah makan padi;
Tengok cantik di pandang cantik, 
Tambah pula berhati budi.
Apa guna pasang pelita, 
Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain mata, 
Kalau tidak dengan sungguhnya. 
Dari pauh permatang layang, 
Singgah berapat papan kemudi;
Dari Jauh abang datang, 
Mengenang adik baik budi. 
Intan baiduri di dalam puan, 
Gelang suasa dalam raga;
Bila ku pandang wajahmu tuan, 
Bagai terpandang pintu syurga.
Layang-layang bertali besi, 
Tanam selasih muka pintu;
Sekali sayang sekali benci, 
Orang berkasih memang begitu.
Sirih gagang tumbuh di batu, 
Buluh hutan buatkan galah;
Kasih sayang tak boleh tentu, 
Jodoh pertemuan di tangan Allah. 
Rumah batu pintu ke laut, 
Indah terbina di pinggir jalan;
Kerana senyum banyak terpaut, 
Ingin hati hendak berkenalan.
Banyak terbang si burung camar, 
Di pokok ara singgah menanti;
Banyak orang datang melamar, 
Hanya abang aku menanti. 
Baru sekali menebas lalang, 
Kaki luka tertikam duri;
Baru sekali adik dipandang, 
Cinta sudah melekat di hati. 
Buah rambutan masaknya ranum, 
Hendak ditaruh bulan puasa;
Abang lalu adik tersenyum, 
Hendak bertanya belum biasa. 
Cik Dayang berkain batik, 
Memakai tudung sutera Cina;
Semakin ku pandang bertambah cantik, 
Makan tak kenyang tidur tak lena. 
Datuk Bentara mudik ke hulu, 
Hajat membina sebuah kota;
Walau bahaya datang bertalu, 
Kerana cinta ku gagah jua. 
Dua tiga kucing berlari, 
Tidak sama kucing belang;
Sudah lama adik mencari, 
Tidak sama abang seorang.  
Kain batik koyak melintang, 
Tidak boleh dijahit lagi, 
Bila adik merajuk panjang, 
Tidaklah boleh dipujuk lagi. 
Kalau abang pergi ke Daik, 
Ikan gelama masak kelapa;
Kalau abang berhati baik, 
Sampai bila adik tak lupa.
Kalau ada cempedak di pintu, 
Cempedak di raga jangan dedahkan;
Kalau ada cita begitu, 
Jiwa dan raga hamba serahkan. 
Kalau merendam biji selasih, 
Mari minum dalam cawan;
Sudah jodoh bertemu kasih, 
Laksana paku lekat di papan. 
Layang-layang bertali benang, 
Putus benang berganti tali;
Siang malam duduk mengenang, 
Orang dikenang jauh sekali.
Limau manis batang berduri, 
Batang selasih dalam dulang;
Mulut manis kerana budi, 
Hati kasih kerana sayang. 
Lipat baju lipatnya kain, 
Bawa belayar tanah seberang;
Hati tiada pada yang lain, 
Hati ingat abang seorang. 
Membeli sirih dari pekan, 
Mengasah kapak menuju kebun;
Hati kasih kepada tuan, 
Sehari tak nampak rasa setahun. 
Pasir putih Pasir Linggi, 
Tempat abang bermain bayang;
Adik putih mahligai hati, 
Di situ tempat abang sayang. 
Petir guruh berselang-selang, 
Kilat menyambar si dahan jati;
Cantik sungguh tuan dipandang, 
Tidak tertahan asyik di hati.
Pukul gendang hari Khamis, 
Bunga Melati dalam raga;
Makin dipandang makin manis, 
Dalam hati menyala cinta. 
Rumah batu pintu ke laut, 
Indah terbina di pinggir jalan;
Kerana senyum banyak berpaut, 
Ingin hati hendak berkenalan. 
Kalau datang kapal serati, 
Naik bendera separuh tiang;
Kalau datang si jantung hati, 
Bulan mengambang ku sangka siang. 
Kalau dedak katakan dedak, 
Tidak aku tertampi-tampi;
Kalau hendak katakan hendak, 
Tidak aku ternanti-nanti. 
Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan,
Kalau sungguh bagai di kata,
Badan dan nyawa hamba berikan.
Kalau tuan pergi ke laut, 
Bawakan saya ketam betina;
Kalau tuan menjadi rambut, 
Saya menjadi sekuntum bunga. 
Kalau tuan pergi ke hulu, 
Petikkan saya bunga seroja;
Kalau tuan mati dahulu, 
Tunggu saya di pintu syurga. 

Semoga pantun cinta kasih ini dapat memberi manfaat dan menginspirasikan anda. Selamat membaca!! 


Baca juga Pantun Rindu Klasik yang sangat romantik ini.


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular