Penyebaran virus Covid-19 yang bermula sejak tahun 2019 yang berasal dari Wuhan, China telah mengakibatkan seluruh pelusuk dunia dilanda situasi pandemik. Virus Covid-19 ini menyebabkan kegagalan sistem pernafasan seseorang manusia hingga memerlukan bantuan alat pernafasan dan boleh membawa maut.
Penyebaran virus melalui udara telah menyebabkan World Health Organization (WHO) mengeluarkan saranan supaya masyarakat dunia mengehadkan interaksi secara bersemuka antara satu sama lain.
Keadaan ini telah menyebabkan beberapa buah negara telah melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat mengawal dan mengurangkan kadar sebaran virus berkenaan. Oleh sebab itu, Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ini telah memberi impak yang sangat besar kepada sistem ekonomi, perubatan, pendidikan dan politik di Malaysia.
Artikel ini akan membahaskan tentang kesan wabak Covid-19 terhadap sistem pendidikan dalam kalangan pelajar universiti di negara Malaysia. Hal ini demikian kerana, Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) telah menggesa pelaksanaan pembelajaran secara atas talian dalam kalangan pelajar universiti di negara ini sesuai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pembelajaran secara atas talian memerlukan para pengajar dan pelajar untuk berinteraksi antara satu sama lain melalui platform-platform seperti Skype, Google Meet, Microsoft Teams, Zoom, Whatsapp, Telegram dan sebagainya.
Pelaksanaan kaedah pembelajaran ini juga memerlukan para pengajar dan pelajar untuk mempunyai alat peranti seperti komputer, laptop, telefon, dan juga rangkaian Internet bagi menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.
Secara umumnya, pembelajaran atas talian mempunyai kebaikan, kekurangan, memberi kesan kepada kesihatan mental pelajar bahkan terdapat beberapa cara mengurus kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Kelebihan Pembelajaran Secara Atas Talian
Dengan adanya pembelajaran secara atas talian, para pelajar dapat menjalani aktiviti pembelajaran dalam keadaan yang selesa, fleksibel dan jimat dari segi kos. Hal ini kerana pelajar hanya memerlukan alat mudah alih seperti telefon bimbit dan komputer riba yang mempunyai sambungan Internet untuk belajar.
Bukan itu sahaja, pembelajaran atas talian juga memudahkan pelajar dari segi pergerakan kerana tidak perlu bergerak ke mana-mana kelas atau pusat dan tidak perlu mengikuti sebarang jadual kemasukan atau keluar.
Ini membolehkan pelajar untuk belajar secara autonomi mengikut irama dan memilih masa-masa tertentu serta tempat yang selesa. Pelajar juga boleh menghabiskan bahan pembelajaran mengikut kesesuaian masa dan tahap pemahaman sesuatu topik dengan memilih waktu belajar, tempat dan suasana yang mereka inginkan untuk pembelajaran mereka.
Ianya sangat efektif kerana pelajar tidak terikat dengan jadual pembelajaran yang ketat. Hal ini sekaligus dapat menjimatkan kos para pelajar kerana pelajar tidak perlu berbelanja lebih untuk pemakanan, pengangkutan, perjalanan, tempat tinggal dan kos-kos yang lain seperti kos untuk menghadiri kelas atau kursus di tempat yang jauh dari tempat tinggal pelajar.
Bahan rujukan juga boleh didapatkan melalui atas talian. Pelajar tidak perlu mencetak nota sekiranya tidak mahu kerana kandungan yang digunakan boleh dilihat semula hanya dengan membuka fail melalui telefon bimbit atau komputer riba.
Proses ulang kaji juga mudah kerana pelajar boleh mengulang kaji seberapa banyak kali yang diinginkan. Tuntasnya, pembelajaran secara atas talian telahpun diketengahkan oleh pihak menteri pendidikan sejak daripada PKP dilaksanakan dan mereka menggalakkan para pendidik untuk menyediakan ‘platform pembelajaran’ kepada pelajar dan memasukkan modul-modul pembelajaran kedalam platform tersebut untuk mengaplikasikan pembelajaran secara atas talian disamping memupuk kesedaran mengenai kelebihan pembelajaran tersebut.
Kekurangan Pembelajaran Secara Atas Talian
Walaubagaimanapun, pembelajaran secara atas talian juga mempunyai pelbagai kekurangan. Antara kekurangan pembelajaran secara atas talian adalah masalah data Internet.
Internet merupakan keperluan utama kepada pelajar untuk menyertai pembelajaran secara atas talian. Masalah rangkaian Internet yang perlahan yang dipengaruhi oleh faktor seperti hujan, berada di kawasan-kawasan pedalaman dan juga tidak mempunyai kemampuan untuk membeli data Internet merupakan masalah-masalah yang biasa diadukan oleh para pelajar yang tidak mampu menyertai pembelajaran secara atas talian.
Selain itu, kekurangan pembelajaran secara atas talian adalah pelajar tidak mampu memberi fokus terhadap pembelajaran yang sedang dijalankan. Hal ini kerana setiap perbuatan dan percakapan pelajar terselindung di balik paparan skrin yang sentiasa berada dalam mod senyap dan kamera tertutup.
Ini membuatkan para pelajar merasa selesa dengan perbuatan mereka kerana tidak dapat diketahui oleh pengajar yang sedang mengajar. Pelajar mungkin hanya mampu memberi fokus terhadap pelajaran 15 minit awal sahaja namun selepas itu, mereka mungkin sudah melakukan perkara-perkara yang lain seperti tidur, bermain media sosial, permainan permainan video dan sebagainya hingga tamat sesi pembelajaran.
Bagi pelajar yang sedaya upaya memberi fokus terhadap pelajaran juga mungkin mengalami kesukaran untuk memahami topik pembelajaran. Kekurangan bahan pembelajaran, tidak dapat menggambarkan apa yang dipelajari dan situasi tidak bersemuka bersama pengajar untuk bertanya soalan merupakan faktor-faktor kepada kesukaran pelajar untuk memahami topik yang dipelajari.
Pengajaran dan penjelasan daripada para pengajar juga merupakan antara punca mengapa pelajar sukar untuk memahami sesuatu pelajaran apatah lagi secara atas talian. Pengajar mungkin telah cuba menghasilkan bahan-bahan pelajaran yang lengkap kepada para pelajar, namun perkara tersebut masih belum mencukupi untuk para pelajar memahami secara jelas tentang sesuatu topik itu.
Kesan Terhadap Kesihatan Mental
Sehubungan dengan itu, pelaksanaan pembelajaran secara atas talian berpotensi untuk menjejaskan kesihatan mental pelajar seperti rasa tertekan (stress), takut (fear), cemas (panic), bimbang (anxious) dan murung (depress).
Pembelajaran secara atas talian telah memberikan komplikasi terhadap para pelajar kerana ia memerlukan mereka untuk menghadap skrin komputer atau skrin telefon dalam jangka masa yang lama.
Antara contoh kesan pelaksanaan pembelajaran secara atas talian adalah kesihatan mental, fizikal, emosi dan juga sosial pelajar-pelajar jika mereka tidak dapat mengimbangi penggunaan komputer semasa pembelajaran dan untuk menyiapkan tugasan.
Sejak berlakunya pandemik ini, terdapat ramai pelajar yang telah mengalami tekanan dan kebimbangan yang tinggi oleh sebab mereka terlalu letih kerana terpaksa menyiapkan tugasan lebih waktu untuk mengejar tarikh akhir yang ditetapkan oleh pensyarah atau guru yang akhirnya menyumbang kepada ketidakstabilan emosi.
Justeru, semasa pelajar berhadapan dengan krisis dan perubahan yang mendadak dalam persekitaran belajar, reaksi normal yang akan ditunjukkan adalah seperti perasaan takut, risau, bimbang, tertekan, sedih, keliru dan segala rasa-rasa yang negatif.
Hal ini berlaku oleh kerana perubahan yang berlaku dalam hidup para pelajar yang memerlukan mereka mengubah rutin seharian yang telah menjadi kebiasaan. Ini juga bertepatan dengan data laporan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu terdapat 465 kes cubaan bunuh diri antara Januari sehingga Jun 2020. Tambahan pula, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 mendapati bahawa sebanyak 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental.
Terdapat dapatan kajian yang menyatakan separuh daripada masalah gangguan mental ini bermula seawal usia 14 tahun dan tiga per empat daripadanya berlaku pada pertengahan usia 20-an. Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa pembelajaran secara atas talian telah memberi kesan terhadap kesihatan mental pelajar.
Seterusnya, kesihatan mental sangat penting terutamanya dalam kalangan pelajar kerana tekanan yang dihadapi oleh para pelajar pada masa kini sangat tinggi sejak pelaksanaan pembelajaran secara atas talian.
Pengurusan kesihatan mental dan emosi sangat penting untuk diketahui oleh para pelajar bagi memastikan pelajar itu sendiri berada dalam keadaan rasional dan stabil. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan bersosial.
Bersosial tidak mempunyai limitasi. Ini bermakna para pelajar boleh bersosial sama ada dengan berbual bersama dengan ahli keluarga terdekat, ataupun dengan berkomunikasi dengan kawan-kawan seperjuangan yang berada pada jarak yang jauh melalui platform-platform atas talian seperti Whatsapp, Google Meet dan Facebook.
Dengan bersosial, hormon oksitosin iaitu hormon yang berkaitan dengan rasa kasih sayang akan dirembes kerana pelajar dapat melepaskan tekanan dengan cara bergurau, meluahkan masalah, bercerita dan sebagainya.
Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk meluangkan masa bagi melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Contohnya dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti regangan, bersukan ringan, melakukan yoga, di mana aktiviti-aktiviti ini dapat merembeskan hormon Endorfin yang membantu untuk menaikkan rasa senang dan gembira.
Para pelajar juga boleh membuat jadual harian bagi membantu dari segi pembahagian masa supaya sentiasa bersiap sedia untuk sesi pembelajaran. Pembahagian masa sangat penting ketika pembelajaran secara atas talian supaya keterlibatan seseorang pelajar dengan pembelajaran mestilah tidak bertindih dengan aktiviti-aktiviti harian yang lain.
Dengan adanya jadual harian, pelajar dapat melakukan persediaan untuk menghadapi tarikh-tarikh penting seperti tarikh ujian, tarikh akhir untuk menghantar tugasan dan juga tarikh peperiksaan akhir.
Akhir sekali adalah perkara yang paling dipandang remeh oleh para pelajar iaitu tidur yang cukup. Tidur merupakan waktu yang sangat diperlukan oleh badan untuk berehat setelah seharian berjaga untuk melakukan tugas-tugasan dan tanggungjawab dalam kehidupan.
Pelajar mestilah waktu tidur mereka mencukupi. Jika banyak tugasan yang perlu disiapkan, pelajar boleh mengambil sedikit sahaja waktu tidur contohnya 1 hingga 2 jam daripada 8 jam waktu tidur untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, perubahan mendadak yang membawa pelajar daripada pembelajaran secara bersemuka kepada pembelajaran secara atas talian dalam tempoh yang lama telah memberi impak dan menganggu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Seseorang pelajar mungkin berfikir bahawa keadaan pandemik yang berlarutan boleh memberi kesan terhadap proses pembelajaran dan hubungan sosial dengan tekanan yang dihadapi. Rutin harian berhadapan dengan perubahan yang secara tiba-tiba ini menuntut adaptasi dan penyesuaian bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Sungguhpun demikian, pelajar hendaklah mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang berlaku sepanjang pandemik ini dan berusaha memastikan aspek emosi, pemikiran, tindakan dan cara hidup berada dalam keadaan yang baik supaya terus kuat dan tidak mudah terkesan dengan apa jua keadaan atau bencana yang berlaku.
Dengan penulisan ini, penulis berharap para pelajar khususnya pelajar universiti di Malaysia dapat mengetahui kebaikan dan kekurangan serta dapat mengetahui kesan-kesan pembelajaran secara atas talian terhadap kesihatan mental supaya para pelajar dapat mengambil tindakan untuk mengurus tekanan dan emosi yang dihadapi.
Penulis; Wan Hasanul Busyra.