Thursday, March 28, 2024
HomeArtikelPemupukan Perpaduan Melalui Animasi Malaysia Dalam Kalangan Remaja Dan Kanak-Kanak

Pemupukan Perpaduan Melalui Animasi Malaysia Dalam Kalangan Remaja Dan Kanak-Kanak

Animasi adalah salah satu bahan audio visual dari objek yang disusun dalam pelbagai posisi sehingga membentuk sebuah ilusi gambar bergerak. Terdapat beberapa animasi Malaysia yang kini telah berjaya mendapat nama di beberapa buah negara yang merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan tetapi apakah animasi Malaysia mampu memberikan input dan output yang baik kepada penonton dari segi aspek perpaduan negara?

Antara animasi Malaysia yang begitu popular di kalangan rakyat tempatan ialah animasi Upin dan Ipin, Boboiboy, Ejen Ali dan Kampung Boy. Pada masa kini, animasi bukan sahaja ditonton oleh kanak-kanak malah dari pelbagai peringkat umur juga minat untuk menonton animasi atau kartun ini disebabkan perkembangan animasi Malaysia yang cukup memberangsangkan.

Apakah hubungan antara perpaduan kaum dan animasi Malaysia? Di Malaysia kepelbagaian kaum adalah tidak janggal bagi penduduk tempatan mahupun sesetengah orang luar yang mengetahui Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan mempunyai lebih daripada 80 etnik.

Peristiwa hitam 13 Mei membuatkan negara Malaysia menitikberatkan perpaduan antara kaum supaya kejadian tersebut tidak diulangi lagi. Hubungan antara animasi dan perpaduan dapat dikaitkan melalui cerita atau sebuah kisah yang dipertontonkan melalui animasi tersebut, menunjukkan contoh nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan oleh rakyat Malaysia apabila bersatupadu antara kaum dan penyatuan antara semua etnik.

Animasi boleh dikatakan dapat menarik golongan kanak-kanak untuk menontonnya kerana ianya adalah hiburan bagi mereka. Justeru itu, kanak-kanak dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam konsep perpaduan kaum dari apa yang mereka tonton malah ianya lebih berkesan apabila kanak-kanak mendapatkan visual yang lebih jelas dan mudah untuk difahami.

Melalui bahan rakaman animasi, ianya merupakan salah satu medium yang mudah untuk menarik minat semua golongan untuk menontonnya kerana lebih menarik dan dari segi jalan penceritaan yang dihasilkan mudah untuk difahami.

Antara animasi yang paling popular di kalangan masyarakat ialah Upin dan Ipin yang menghasilkan pelbagai kisah mengenai nilai-nilai murni dalam perpaduan kaum dan mengenai perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia. Contohnya dapat dilihat melalui penghasilan animasi daripada perayaan utama yang terdapat di Malaysia.

Apabila sebuah perayaan tersebut berlaku, animasi Upin dan Ipin akan menghasilkan sebuah karya mengenai perayaan tersebut. Contohnya, Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Selain itu, animasi Malaysia juga turut membuat pengiklanan mengenai sesebuah perayaan seperti Boboiboy dan Ejen ali. Justeru itu, penonton seperti kanak-kanak dapat memahami konsep perayaan tersebut dengan lebih mendalam serta dapat memahami sebuah perayaan tersebut diadakan dan menghormati perayaan berbilang bangsa di Malaysia.

Seterusnya, animasi Malaysia juga turut memaparkan karakter berbilang kaum dan agama seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Ejen Ali, dan Kampung Boy. Tambahan pula, kebanyakkan animasi di Malaysia memaparkan watak yang mempunyai pelbagai etnik. Tamsilnya, animasi Boboiboy dapat dilihat melalui karakter yang ditonjolkan seperti Boboiboy, Gopal, Yaya, Ying dan Fang.

Animasi tersebut menunjukkan karakter pelbagai kaum yang membentuk sebuah persahabatan yang kukuh. Persahabatan yang ditonjolkan dalam penceritaan tersebut dapat dikatakan sebagai penyatuan kepada semua kaum yang dapat dicontoh oleh masyarakat.

Hal ini demikian kerana watak Boboiboy mempunyai kawan yang berbilang kaum. Persahabatan mereka yang terjalin dengan menghormati satu sama lain dan membantu antara satu sama lain dapat diterapkan dalam diri penonton.

Secara ringkasnya, semangat setia kawan yang ditunjukan di dalam animasi tersebut boleh dijadikan contoh kepada kanak-kanak supaya mereka akan sentiasa menolong rakan mereka dalam keadaan susah dan berkawan dengan etnik lain juga tanpa mengira perbezaan.

Selain itu, animasi Malaysia juga turut memaparkan kisah kehidupan bermasyarakat seperti di dalam animasi Kampung Boy dan Upin Dan Ipin. Contohnya, kedua-dua animasi mewujudkan suasana masyarakat yang pelbagai dalam sebuah kampung tersebut seperti animasi Upin dan Ipin yang memaparkan watak Tok Dalang, Uncle Muthu, Uncle Ah Tong dan Opah. Kedua-dua animasi tersebut turut memaparkan sebagaimana yang kita perlu lakukan jika hidup bermasyarakat dengan pelbagai etnik di dalam sebuah kampung.

Pendek kata, golongan muda dapat berfikir dengan lebih mendalam mengenai nilai toleransi yang perlu diamalkan agar tidak menyentuh berkaitan sensitiviti sesetengah etnik tersebut dan menghormati antara satu sama lain.

Jelaslah, animasi Malaysia membantu dalam pemupukan perpaduan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai manfaat yang diperolehi daripada bahan animasi tersebut lebih-lebih lagi yang diterbitkan oleh Malaysia.

Selain itu, animasi Malaysia turut menghasilkan suatu karya yang cukup memberikan impak yang baik kepada golongan muda sekaligus dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti nilai toleransi antara etnik, nilai saling hormat menghormati, nilai bersatu-padu dan nilai patriotisme.

Walaupun, animasi tersebut mengenai kehidupan kanak-kanak yang nakal akan tetapi pihak produksi juga menyelitkan beberapa nilai yang dapat diamalkan oleh kanak-kanak dan remaja. Lebih-lebih lagi, animasi merupakan medium hiburan bagi kanak-kanak maka mereka juga akan mengikuti tingkah laku seperti watak yang ditayangkan iaitu sentiasa berkawan tanpa mengira agama dan bangsa dan tidak melihat perbezaan antara adat, agama dan budaya. Sifat tolong menolong antara semua kaum di dalam animasi tersebut dapat menjadi rujukan yang baik kepada penonton. Ringkasnya, animasi Malaysia turut memberikan pengaruh yang besar kepada penontonnya.

Secara keseluruhan, animasi Malaysia mampu untuk memupuk perpaduan di kalangan remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana kisah-kisah yang dipaparkan mempunyai nilai-nilai perpaduan yang cukup memberikan impak yang besar kepada masyarakat. Tambahan pula, animasi tersebut merupakan hiburan bagi mereka.

Justeru itu, para pendidik haruslah memanfaatkan animasi Malaysia sebagai medium tambahan untuk mengajarkan konsep perpaduan kepada golongan muda agar mereka lebih mudah untuk mengamalkan dan memahami konsep perpaduan tersebut.

Penulis; Aneesa Faseehah Binti Ab Aziz, Pelajar Tahun 1, Kelab Integrasi Komuniti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular